Monday, March 21, 2011

Lasak dengan gaya klasik


JAKET putih berbutang depan menyerlah gaya wanita moden.


SAMA ada Signature Navy atau Sail White, kedua-dua koleksi terbaru Nautica untuk lelaki itu dilengkapi palet warna ceria seperti biru langit, kardinal dan kuning. Warna-warna itu mencipta penampilan yang klasik tetapi berkuasa.

Dengan rekaan yang diperhebat tetapi, sesuai dipakai untuk pelbagai aktiviti, penekanan warna yang digunakan dipadankan pula dengan perincian seperti logo, cetakan dan aplikasi grafik.

Selain kedua-dua siri berkenaan, koleksi Knit Avtives pula tampil dengan cetakan-cetakan yang unik. Bagaimanapun, garisan polosnya dengan warna kontras nyata menyerlahkan rekaan itu.

Elemen-elemen yang disatukan dengan koleksi rekaan musim bunga itu banyak dipengaruhi oleh sentuhan gaya dari pantai selatan Amerika Syarikat (AS). Kemeja terbarunya untuk lelaki sama ada dalam rekaan klasik atau bergaris tampil dalam warna biru, merah dan kuning.

Koleksi itu juga dihasilkan dalam fabrik kapas poplin yang tahan kedutan sama ada untuk kemeja berlengan pendek atau panjang. Siri Jetstream Bomber pula menjadi kegemaran ramai kerana ia dibuat menggunakan kapas dan nilon yang tahan lasak dan berpoket.

Rekaan terbaru Nautica itu boleh dipadankan dengan kemeja T di dalamnya atau seluar pendek untuk kelihatan santai. Kemeja T terbaru Nautica pula tampil dengan potongan leher V dengan warna logo yang kontras seperti warna merah, biru dan kelabu.

Tidak ketinggalan, rekaan terbaru untuk wanita tampil rileks dan kasual melalui dres polonya atau rekaan gaya feminin. Kedua-duanya tampak terkini dan klasik.


JAKET putih Nautica yang ideal digayakan bersama seluar pendek corak jalur ataupun seluar pendek berkotak.


Mengambil inspirasi dengan udara musim bunga, panaskan diri anda dengan jaket ala tentera atau dres paras lutut yang menggunakan palet warna seperti putih, kelabu, biru dan merah.

Untuk tampil bergaya, lipatan, pin dan ropol memberikan sentuhan feminin untuk koleksi rekaan gaya kasual itu.

Untuk musim kali ini juga, Nautica menyuntik sedikit elemen kait dan garisan pada dres polo yang menggunakan fabrik satin bagi memberikan sedikit kelembutan kepada pemakainya. Tidak ketinggalan kilauan seperti air untuk melengkapkan gaya musim bunga.

Perincian yang dikenakan juga dititik beratkan dalam koleksi kali ini sama ada menggunakan cetakan dan trim. Lapisan ringkas seperti fabrik kait yang ringan, kain kapas, French terry dan pique sesuai dipadankan dengan seluar denim atau seluar panjang mahupun pendek.

Warna-warna seperti crisp, Americana, navi, putih, merah, biru amparo dan matahari adalah warna-warna yang dapat dilihat bagi koleksi musim ini. Bersedialah untuk menikmati musim panas pula dengan denim putih dan berwarna.

Gaya lasak itu dapat dilihat dalam rekaan tetapi, ia dilembutkan dengan tambahan elemen ropol, bunga- bungaan, cetakan, jaring dan lipatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: