![]() |
| |
Kenangan indah dan suasana damai. Mungkin itu antara yang dirasai oleh para tetamu sebaik melangkah melewati taman perkahwinan Villa Sangkot. Aura daun pandan membangkitkan ketenangan membuatkan hati ikut 'berbunga'.
Mengambil masa 30 minit menyusuri Ampang, Cheras ke Dusun Tua, Hulu Langat, Villa Sangkot menjanjikan pemandangan yang berbeza dengan kota metropolitan, Kuala Lumpur.
Setibanya di Villa Sangkot, kita akan terbau haruman daun pandan yang mungkin tiada di kediaman sendiri.
Jika kita merasakan cuaca panas terik di bandar, di sini cuma ada sinaran matahari yang diiringi tiupan angin.
Walaupun kolam air panas terletak betul-betul di hadapan Villa Sangkot, kedamaian masih dirasai.
Perkahwinan taman
Kawasan Sangkot diilhamkan untuk memberi inspirasi kepada mereka yang mengidamkan sebuah perkahwinan berkonsepkan taman.
Bayangkan, dari jauh tersergam indah pelaminan dengan sang puteri dan arjuna hati melangkah dalam debar dikelilingi persekitaran penuh dengan tumbuhan hijau.
Di luar negara, perkahwinan taman sudah menjadi suatu kebiasaan tetapi di negara kita, trend itu baru sahaja bermula. Melangsungkan perkahwinan dalam taman bukan sahaja memberi peluang kepada tetamu menghirup udara segar, malah para tetamu dan pasangan pengantin itu sendiri dapat menikmati keindahan alam.
Perkahwinan berkonsep taman menitikberatkan nilai-nilai sentimental yang memberi makna dalam kehidupan mempelai untuk diabadikan sebagai sebahagian daripada singgahsana hari bahagia mereka dengan mengambil kira konsep yang ingin diketengahkan.
Menurut pengasas Sangkot, Zolhaili Latiff, Sangkot diambil sempena nama panggilan ibunya iaitu sebutan orang Menggiling.
"Saya mahu taman atau kediaman ini berkonsepkan Malaysia. Pada pendapat saya, Sangkot menggambarkan budaya tempatan. Selain sesuai untuk majlis perkahwinan, mereka yang berminat mengadakan majlis atau upacara tertentu boleh ke Sangkot. Di sini, kami mempunyai sebuah rumah kecil untuk berehat atau bermalam, kafe dan spa. Landskap yang bertemakan Malaysia juga memberi ketenangan yang tidak diperolehi di bandar," ujarnya.
Berkongsi idea dengan rakannya, Zari atau lebih dikenali sebagai Zari Malaysiana, mereka memilih landskap identiti Malaysia.
Seni kraf
Mahu lari daripada bayangan tema Bali dan Thailand, landskap Sangkot dihiasi dengan pokok-pokok hutan Malaysia.
Semuanya nampak indah termasuklah pokok puding dan daun-daun hijau di setiap sudut taman.
Kawasan spa pula terdiri daripada taman botani tradisional dilengkapi dengan laluan batuan kecil dan kolam air panas.
Dalam pada itu, setiap sudut taman itu menampilkan ketinggian kualiti seni kraf pertukangan tempatan yang asli rekaan arkitek tempatan.
Pastinya selepas sibuk dengan majlis dan upacara perkahwinan , percutian romantik dua hari di lokasi indah yang terletak hanya kurang satu jam dari Kuala Lumpur ini adalah cara terbaik bagi mereka yang mahu melengkapkan malam pertama atau bulan madu.
Beri tumpuan kepada kehijauan persekitaran, bunyi aliran dan kocakan air, kicauan burung dan sahutan serangga kerana suasana hijau taman itu sendiri bagaikan satu meditasi yang membantu merehatkan fikiran.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Zari di talian 03-90212378 atau melayari www.facebook.com/sangkotplace.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: