|
|
Biarpun saban minggu Kampung Pengantin tidak pernah sunyi menganjurkan majlis-majlis perkahwinan, tetapi penajaan untuk juara dan tempat kedua pemenang Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Kedua tetap dijanjikan dengan kejutan istimewa.
Sehubungan itu, pemiliknya Syed Nahar Syed Hassan kini ligat memikirkan sesuatu untuk disesuaikan dengan konsep yang telah diusulkan oleh kedua pasangan itu supaya ia dapat direalisasikan seperti apa yang dipinta.
''Bukan sahaja untuk membuatkan semua tetamu yang hadir terpukau, malah mampu meninggalkan kenangan yang teramat manis kepada kedua-dua pengantin ini,'' katanya ketika ditemui di Kampung Pengantin yang terletak di Jalan Usahawan 3/23A, Off, Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sebelum itu, Syed Nahar telah bertemu untuk berbincang dengan pasangan terbabit iaitu Danial Hassan Basari, 25, dan Nurul Illyiana Nor Zaidi, 25, serta Farid Fikri Shukri, 26, dan Nur Natalia Ku Yusof, 21.
Perkahwinan pasangan juara akan diadakan pada 3 April ini manakala pasangan tempat kedua pula pada 20 Mac.
Setiap majlis kahwin itu akan dihadiri kira-kira 1,000 tetamu termasuk ahli keluarga pengantin.
''Masing-masing telah menyatakan konsep yang diinginkan. Kini tiba giliran saya pula untuk menterjemahkan mengikut kehendak mereka dengan sebaik mungkin,'' katanya.
Bagaimanapun, katanya, selaku perancang dan perunding perkahwinan yang diusahakan sejak 2005 beliau mendapati dua perkara perlu diberi perhatian dalam majlis perkahwinan.
''Perarakan masuk pengantin ke dewan dan upacara memotong kek merupakan dua acara kemuncak yang ditunggu-tunggu oleh tetamu yang hadir,'' katanya.
Kata Syed Nahar, untuk mencipta kelainan bukan satu tugas mudah. Ia memerlukan daya tumpuan dan kreativiti yang tinggi.
Lagi pun katanya, perkahwinan itu yang ditaja oleh Kampung Pengantin perlu diatur dengan cermat dan berjalan dengan lancar.
Bagi pasangan juara, Danial dan Nurul Ilyiana sudah menyatakan persetujuan untuk memilih konsep dalam taman ala Inggeris.
''Ini memang impian kami berdua yang secara kebetulan adalah sama,'' ujar Danial.
Pasangan dua sejoli itu mengakui suka dikelilingi oleh bunga-bungaan yang diharap akan menambahkan lagi seri dalam majlis kahwin itu nanti.
Bagaimanapun kedua-duanya masih belum dapat memutuskan sama ada ingin memotong kek atau digantikan dengan bahan lain yang didapati sesuai untuk menampakkan kelainan pada acara kemuncak itu.
Sementara itu, Farid Fikri dan Nur Natalia, sudah menetapkan akan memilih konsep kontemporari.
''Kami mahukan setiap tetamu yang hadir bukan sahaja bersantai dari pilihan pakaian sehinggalah semasa berada di majlis dari awal sampai hingga akhir,'' katanya.
Jelas kedua bakal pengantin ini, apa yang penting tetamu puas hati hadir ke majlis perkahwinan mereka.
Kampung Pengantin boleh dihubungi di talian 016-2518035.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: