Tuesday, March 1, 2011

Jeti nelayan lima bintang


TRANSFORMASI TERHEBAT. Hampir 90 nelayan dari Kampung Merlimau lega dan gembira apabila Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM5.5 juta untuk kerja-kerja menaik taraf Jeti Nelayan Kuala Merlimau Pantai.


BERABAD lamanya, pada hari Selasa malam Rabu, Kuala Merlimau Pantai menjadi tumpuan rakyat di seluruh pelosok negeri. Di situ, berlangsungnya satu perayaan gilang-gemilang yang dipanggil Pesta Mandi Safar.

Para petani dan nelayan sejak awal pagi sudah menghiasi kereta lembu masing-masing. Kemudian, mereka akan bergerak beramai-ramai ke Kuala Merlimau Pantai untuk melakukan sesuatu yang bukan rahsia. Apakah dia? Mereka melakukan ritual keagamaan iaitu mandi. Mereka percaya dengan melakukan perbuatan itu, semua dosa yang dilakukan dapat ditebus. Sebab itulah perayaan tersebut juga dikenali sebagai Pesta Menebus Dosa.

Tapi, itu amalan orang lama. Sekarang ia sudah pupus. Bagaimanapun, kelibat-kelibat nelayan yang mencari rezeki di laut masih berterusan sehingga kini. Ada yang masih menggunakan sampan dan tidak kurang juga yang menggunakan bot moden.

Pada awal pagi dan lewat petang, jeti Kuala Merlimau Pantai akan meriah dengan suara-suara peraih melelong ikan segar di jeti itu. Daripada ikan kecil hingga ke besar semuanya ada. Menariknya, harganya sangat murah.

Baru-baru ini, para nelayan di Kuala Merlimau Pantai ketika ditemui tersenyum lebar. Said Bakar, 46, meluahkan betapa riangnya dia dan rakan-rakan seperjuangannya apabila kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta untuk menaik taraf kawasan itu.

Peruntukan lumayan

"Bagaikan mimpi jadi kenyataan, saya percaya selepas ini kehidupan para nelayan Kuala Merlimau Pantai akan berubah secara drastik," katanya yang sibuk bergotong-royong bersama nelayan-nelayan lain membersihkan kawasan di persekitaran kuala kerana bakal dikunjungi oleh satu rombongan besar.

Peruntukan yang lumayan itu akan menjadikan jeti nelayan Kuala Merlimau Pantai yang tercanggih. Tidak seperti jeti-jeti lain, jeti di kampung ini berbumbung. Pendekatan itu dikatakan sebagai yang pertama seumpamanya di negara ini.


SEGAR DARI LAUT. Setiap awal pagi dan lewat petang, para pelanggan termasuk yang datang dari Muar akan mengerumuni jeti ini yang menjual pelbagai jenis hidupan laut termasuk sayuran pada harga yang murah.


Memetik kenyataan Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, dengan terbinanya projek itu yang dijangka siap dalam tempoh satu tahun, ia akan menjadi satu lagi tarikan baru industri pelancongan di Melaka Bandaraya Bersejarah ini. Serentak dengan itu, ia juga akan mentransformasikan sosio ekonomi nelayan.

Jelasnya, secara keseluruhan, jeti itu akan mempunyai bumbung sepanjang 150 meter, garaj cuci bot, penimbang berat, surau, gerai makanan restoran dan taman permainan kanak-kanak.

Menariknya, sebuah menara tinjau turut diwujudkan bagi menjaga keselamatan nelayan-nelayan yang bekerja.

Sebuah kawasan rekreasi serta rumah rehat berkonsepkan nelayanstay dijangka dapat merubah wajah perkampungan sekali gus dapat memberi manfaat kepada para nelayan.

Tidak cukup dengan itu, sebuah Taman Hidupan Kucing dan Taman Hidupan Monyet turut dibangunkan memandangkan terdapat banyak kucing dan monyet terbiar di situ. Idea itu sebenarnya datang daripada pihak nelayan sendiri, beritahu Said.

Sesungguhnya, impak kepada gendang pilihan raya kecil (PRK) yang kian bergema di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau telah membuka lembaran dan harapan baru kepada kehidupan nelayan di Kuala Merlimau Pantai Harap yang dirancang bakal menjadi realiti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: