LALUAN kerjaya seni mereka hampir sama. Liyana Jasmay dan Shaheizy Sam memulakan langkah masing-masing dalam persada seni pada usia muda. Liyana bermula pada usia 9 tahun, manakala Sam pula ketika usianya 12 tahun. Jadi 'kemasyhuran' yang dikecapi mereka hingga kini sudah lama dirasai.
Liyana pula mula berlakon drama Si Lembik dan di layar perak menerusi filem Castello. Pada 28 Mac lalu, genaplah usianya 23 tahun. Jadi, dia bukan lagi gadis kecil. Malahan pembabitan Liyana dalam arena seni bukanlah dianggap baru, tetapi sudah mencecah satu dekad.
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) sekali lagi meletakkan namanya dalam finalis Pelakon Filem Wanita Popular.
Sam pula semakin hebat apabila dia menjadi finalis ABPBH2010 untuk dua kategori iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular dan Pelakon TV Lelaki Popular.
Kedua-dua pelakon muda ini pernah disatukan dalam filem Niyang Rapik arahan Ahmad Idham. Jadi tidak susah menyatukan mereka kerana kedua-duanya cepat serasi. Malah sesi fotografi ini berjalan lancar sekali kerana masing-masing bijak memberikan mood dan gaya romantik.
Akui Liyana, dia memang menunggu peluang untuk digandingkan dengan Sam di layar perak. Sebelum ini, Liyana pernah beraksi di sisi Afdlin Shauki, Que Haidar, Zahiril Adzim dan Syamsul Yusof.
Liyana dan Sam membayangkan mereka berlakon dalam sebuah filem romantik yang bukan sekadar cinta kosong.
“Cinta yang saya maksudkan seperti dalam filem The Notebook,” jelas Liyana yang menggelarkan peminatnya sebagai Little Lovers.
Menurut Pelakon Terbaik Anugerah Skrin (ASK) 2009 dan Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) itu, Sam disifatkannya sebagai seorang pelakon yang cukup berbakat.
Menurutnya, seperti juga Sam, mereka tidak lagi mencari kemasyhuran sebaliknya hanya sekadar berkongsi bakat bersama peminat.
“Keghairahan kami dalam dunia seni ini tiada dua. Kami berlakon sejak usia muda. Jadi soal populariti dan wang ringgit itu tidak menjadi keutamaan. Rahmat juga dalam diri saya tidak naik terlalu mendadak. Apa yang lebih penting ialah untuk kekal bertahan dalam bidang lakonan.
“Saya bersyukur dengan apa yang diperoleh sekarang. Bakat kita dihargai itu sudah satu kejayaan besar untuk saya. Saya masih di landasan sebenar, jauh sekali menganggap apa yang dinikmati sekarang untuk bersikap besar kepala,” kata gadis itu sambil memuji Sam sebagai seorang pelakon yang berazam tinggi, lucu, kreatif dan bijak.
Tahun ini, selepas selesai tayangan Khurafat, Liyana menunggu pula filem Tolong Awekku Pontianak arahan James Lee dan Senjakala (Ahmad Idham) ditayangkan di pawagam. Hujung tahun lalu, si genit ini buat pertama kali terbabit dalam pementasan teater Natrah dan Siti Di Alam Fantasi di Panggung Sari, Istana Budaya.
Pengajiannya dalam Diploma Seni Persembahan & Media di sebuah kolej di Bandar Sunway pula difahamkan akan tamat sekitar tahun ini juga. Kalau jadi seperti yang dirancang, April depan, Liyana akan kembali meneruskan penggambaran filem Papadom 2.
Tahun ini juga boleh dianggap sebagai fasa permulaan untuk dirinya membabitkan diri secara serius dalam dunia penulisan skrip dan sekali gus mencapai hasrat untuk duduk di kerusi pengarah. Akui Liyana, selama ini pun dia sudah mula menulis sinopsis dan idea cerita.
“Saya sasarkan dalam dua tahun lagi, cita-cita untuk bergelar pengarah dapat direalisasikan. Saya nak jadi macam Afdlin yang berlakon dalam karya terbitannya sendiri,” katanya yang mensasarkan untuk muncul dalam tiga filem setahun.
Bakal Bintang Paling Popular?
BAGI Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM23, Sam melihat Liyana sebagai pelakon badan bersaiz kecil tetapi berjiwa besar.
“Kehebatan dan kemampuannya sebagai pelakon sudah terbukti. Dia (Liyana) antara pelakon wanita yang bagus ketika ini. Lakonannya sangat baik. Memang kalau ada peluang, saya mahu bergandingan dengannya lagi,” kata anak muda ini.
Dalam kerjaya seninya, nama Sam kini dilabel sebagai Hero Malaya Baru. Dia juga dilihat berpotensi besar untuk bersaing merebut gelaran Bintang Paling Popular pada ABPBH2010.
Tahun ini saja, lima filem lakonan Sam menanti giliran untuk ditayangkan iaitu 8 Jam, Aku Bukan Tomboy, Sekali Lagi, Kongsi dan Songlap. Barangkali ada hikmah di sebalik fasa diamnya selama ini hingga memberi tuah selepas dia membuat kemunculan semula empat tahun lalu.
Pembabitannya yang agak konsisten dalam kerjaya lakonan menjadikan dirinya turut dapat disaksikan beraksi dalam drama seperti Graduan, Impak Maksima dan KL Menjerit.
Selepas berlakon banyak filem dan drama, Sam tiba-tiba mahu memperlahankan kerjaya seninya. Alasannya, banyak perkara yang hendak dipelajarinya demi memantapkan lagi kredibiliti sebagai anak seni.
“Saya tiada arah atau pendidikan formal dalam dunia seni. Saya masuk uni-TV atau universiti depan TV saja. Kebanyakan masa di rumah, saya habiskan menonton drama dan filem di TV ataupun DVD. Saya juga tak segan bertanya dengan kawan pelakon mengenai ilmu lakonan.
“Dapat ilmu saya akan praktik untuk diri sendiri. Sepanjang saya tidak aktif berlakon, memang banyak masa dihabiskan sendirian di rumah, banyak mengkaji watak dan mempersoalkan kenapa karakter itu jadi begini dan sebaliknya,” katanya yang meminati Al Pacino.
Tambah Sam lagi, dia bersungguh-sungguh dalam kerjaya lakonannya kerana menganggap itulah punca rezeki yang membolehkan dirinya membantu keluarga.
“Kalau orang pernah memberi jolokan kepada saya sebagai Johnny Depp Malaysia, celah gigi pun saya belum tentu menyamainya. Tapi kalau boleh saya mahu jadi lebih bagus atau setara dengannya,” katanya.
Mengenai pencalonannya dalam ABPBH2010, Sam mengakui cukup gembira dan bangga kerana namanya turut melekat dalam senarai Top 5 anugerah ini. Tidak mempunyai kelab peminat, Sam hanya memiliki akaun Fanpage di laman sosial Facebook untuknya berkongsi perkembangan dan berinteraksi dengan peminat.
INFO: Liyana Jasmay
Nama Panggilan: Liyana atau Nana
Tarikh Lahir: 28 Mac 1988
Tempat Lahir: Kuantan, Pahang
Kerjaya: Pelakon, model, penyanyi
Pengiktirafan: Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22
Filem: Castello, Syaitan, Papadom, Histeria, Kami The Movie, Malaikat Maut, Gadoh, Pisau Cukur, Duhai Si Pari-Pari, Niyang Rapik, Histeria, Misteri Jalan Lama, Khurafat & Senjakala
Drama: Kami, Cinta Si Rempit, Laila Sari, Puaka Niyang Rapik
Album: Aku Tak Percaya Cinta
INFO: Shaheizy Sam
Nama Penuh: Shaheizy Abdul Samad
Tarikh lahir: 4 September 1982
Asal: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak bongsu daripada lima beradik
Filem: Sama Tapi Tak Serupa, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Syurga Cinta, Jangan Pandang Belakang Congkak, Adnan Sempit, Niyang Rapik, Evolusi KL Drift 2, Ngangkung, Kongsi, Sekali Lagi
Pencapaian: Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM23, Anugerah Khas Yasmin Ahmad Anugerah Skrin TV3 2010
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: