Wednesday, March 9, 2011

Iklan pelancongan domestik Adwave


PASUKAN Adwave 2011 mencabar peserta tahun ini menghasilkan iklan kreatif mengenai pelancongan domestik.


REPUTASI Adwave atau singkatan kepada Pameran Pengiklanan Pemenang Anugerah sebagai satu program kendalian pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang memang cukup disegani.

Memasuki usia penganjuran matang kali ke-14, pasukan Adwave 2011 yang menggelarkan diri mereka sebagai Adwave in-Spired menampilkan kelainan apabila memilih tema Colours of Fascination sebagai kempen pengiklanan mereka.

Misi kali ini adalah untuk mengetengahkan idea paling kreatif tetapi, berkesan yang dihasilkan sendiri oleh warga kampus bagi mempromosikan pelancongan domestik negara.

Menerusi pertandingan Marketing Communication Competition (Mar.Com2), peserta perlu menghasilkan sebuah video dan poster berhubung Bagaimanana Mempromosikan Pelancongan Domestik Malaysia Menerusi Gajet Perkhidmatan Internet Bergerak diikuti satu kertas cadangan.

Penyertaan secara individu atau sekurang-kurangnya empat orang dalam sebuah kumpulan dengan bayaran pendaftaran RM20 dikenakan untuk setiap penyertaan.

Hadiah tajaan Spice CSL memang cukup berbaloi kerana pemenang pertama mendapat habuan wang tunai RM2,000 dan sebuah tablet CSL spice Mi700 DroidPad bernilai RM1,599.

Wang tunai RM1,500 dan telefon pintar CSL Mi410 bernilai RM1,499 pula menanti pemenang kedua, manakala tempat ketiga masih boleh berpuas hati menerima wang tunai RM1,000 bersama telefon bimbit CSL Mi300.


SAMA seperti tahun-tahun sebelumnya, Adwave 2011 juga sarat dengan pelbagai aktiviti seperti pameran di luar kampus USM.


“Kami yakin warga kampus di luar sana mampu memberikan input-input idea yang bukan sahaja unik, tetapi berkesan dan berkualiti,” ujar Pengarah Koordinator Media Adwave 2011, Jasmine Leong Chui kepada Kosmo!.

Katanya, hasil kreatif itu akan diadili oleh para juri terdiri daripada pihak Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), Kementerian Pelancongan Malaysia (MOT), Spice CSL, Primeworks Studios Sdn. Bhd. serta pensyarah USM.

Ujar Jasmine, pertandingan itu dibuka kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta dengan tarikh tutup penyertaan adalah pada 20 Mac ini. Keterangan lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.adwave.usm.my.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya kempen Adwave 2011 telah pun dimulakan sejak awal Februari lalu menerusi siri jelajah ke-12 buah kampus di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

“Selain itu, Adwave turut bekerjasama dengan MOT dalam melaksanakan program yang dikenali sebagai IPT Buddies, khusus untuk warga IPT bermula 19 Mac sehingga 20 Mac nanti.

“Program ini bertujuan untuk mendekatkan pelajar IPT berkenaan modul-modul pelancongan yang diperkenalkan oleh MOT.

“Kemuncaknya nanti adalah pameran hasil seni kreatif Pemenang Anugerah Kancil pada 22 hingga 25 Mac termasuklah Bengkel Kreatif dan Hari Pelancaran Adwave.

“Minggu Adwave diteruskan dengan Adwave Domestic Tourism Fair (ADTF) di kompleks beli-belah Queensbay Mall, Bayan Baru selama dua hari bermula 26 Mac, diikuti acara penutupan keesokannya.


ADWAVE mempunyai reputasi tersendiri sebagai pertandingan dan pameran pengiklanan tahunan dalam kalangan pelajar universiti.


“Seperti tahun-tahun sebelumnya, Adwave 2011 kekal memilih berkolaborasi dengan akhbar kompak Kosmo! serta beberapa penaja seperti rangkaian web televisyen seperti Penang Channel, gua.com.my dan MYC!

“Tidak ketinggalan Adwave turut bekerjasama dengan majalah pelancongan Gaya Travel serta dua stesen radio iaitu One FM dan Fly FM,” tutur Jasmine penuh yakin kempen pengiklanan Adwave mampu melonjakkan sektor pelancongan dalam kalangan anak-anak muda.

Setiap aktiviti Adwave in-Spired 2011 pula boleh diketahui menerusi laman sosial Facebook Adwave yang sentiasa dikemas kini.

“Adwave 2011 berharap dapat menjadi pemangkin serta memberi ilham kepada para pelajar untuk memperluaskan minda dan menggarap pemikiran yang lebih kreatif dan berinovatif.

“Menerusi inspirasi yang dicetuskan ini, kami mahu membawa perubahan pemikiran kepada warga kampus bahawa melanconglah di dalam negara dahulu sebelum ingin melangkah ke negara luar.

“Selain laman sesawang, sebarang pertanyaan mengenai penganjuran Adwave 2011 juga boleh diperoleh terus melalui saya di talian 014-944 3886, 017-461 9270 atau e-mel jasmineleong.adwave2011@gmail.com,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: