Thursday, March 17, 2011

Idea kreatif 360 darjah


MOHAMAD NAZRAN mahu menjadikan hasil kerjanya boleh dikongsi oleh pengguna iPad pada tahun ini.


BERBEKALKAN sebuah kamera DSLR, tripod, komputer riba dan beberapa perisian komputer di sisi sudah memadai buat Mohamad Nazran Abdul Aziz berkarya dengan ideanya yang jarang diberikan tumpuan penuh oleh para penggiat visual atau fotografi lain.

Bagi sesetengah pihak, memotret foto secara normal sudah memadai tambahan banyak perisian komputer yang boleh mencantikkan gambar.

Namun, tidak bagi Mohamad Nazran dari Bandar Baru Bangi, Selangor apabila dia lebih puas dengan visual 360 darjah yang diminatinya sejak 10 tahun lalu.

Melalui laman interaktif www.maya360.com, ia pasti menarik perhatian mereka yang inginkan maklumat tambahan mengenai sesuatu tempat yang belum dijelajahi.

Walaupun tidak mempunyai latar belakang pendidikan multimedia, Mohamad Nazran berusaha mempelajari menerusi sumber-sumber Internet dan mendapatkan tunjuk ajar mengenai teknik fotografi daripada rakan-rakannya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai laman tersebut, dia yang selesa dipanggil Bulp oleh rakan-rakannya memberitahu, dia mula membangunkan Maya360 sejak empat tahun lalu kerana minat mendalam terhadap bidang multimedia interaktif.

"Menerusi Maya360, pengguna boleh melihat sesuatu tempat secara radius yang merangkumi sudut atas dan bawah.

"Bukan itu sahaja, dalam imej tersebut, pengguna turut diberi pilihan melihat ruang di dalam bangunan seolah-olah mereka berada di tempat tersebut," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Antara lokasi yang menjadi pilihan Mohamad Nazran adalah Litar Antarabangsa Sepang, Tugu Negara, Bangunan Keretapi Tanah Melayu Berhad, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Penjara Pudu, Bandar Baru Bangi dan banyak lagi tempat menarik.

Imej lebih hidup

Menurut lelaki berusia 31 tahun itu, kali pertama dia melihat karya 360 darjah adalah pada tahun 2000, namun teknologi itu belum berkembang disebabkan kelajuan Internet yang agak perlahan dan kemampuan perisian Adobe Flash masih terhad.

Bagaimanapun ujar Mohamad Nazran, menjelang tahun 2008, dia mula mencari program perisian yang bersesuaian untuk menghasilkan imej 360 darjah dengan cara tersendiri memandangkan imej tersebut nampak lebih hidup berbanding foto biasa.


MELALUI pandangan 360 darjah, seseorang akan lebih memahami subjek dan lingkungan yang hendak disampaikan.


Jelasnya, selain foto, dia turut memasukkan elemen multimedia lain seperti audio, video serta peta Google di dalam imej 360 darjahnya.

"Sistem audio yang terdapat dalam laman ini disesuaikan dengan imej 360 darjah apabila bunyinya direka khas dalam format 3D," dedahnya.

Pada masa sama, Mohamad Nazran berkata, walaupun Maya360 menggunakan perisian Adobe Flash, pengguna komputer tablet iPad tidak perlu risau kerana ia juga boleh dilihat melalui gajet tersebut setelah proses ubah suai dilakukan.

"Pada tahun ini juga saya akan menjadikan Maya360 mampu dilihat secara menyeluruh di iPad memandangkan kini ramai pengguna memiliki komputer tablet itu.

"Maklum balas yang diterima daripada pengguna amat menggalakkan dan mereka menyukai hasil kerja saya.

"Rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara turut berterima kasih di atas usaha saya merakam tempat menarik secara terperinci malah usaha itu bagi mereka dapat mengubat rindu di tanah air," katanya bangga.

Terang Mohamad Nazran yang bekerja di sebuah syarikat berkaitan teknologi maklumat, di negara Barat terutamanya di Eropah, konsep 360 darjah sangat berkembang pesat dan ada sesetengah daripada rakannya di sana menjadikan media kreatif ini sebagai kerjaya.

"Tetapi, pendedahan mengenai konsep ini di Malaysia masih kurang dan ada yang belum mengetahuinya.

"Saya juga pernah mengintai peluang untuk bekerjasama dengan sektor awam dan swasta bagi membangunkan kios di tempat masing-masing dengan imej 360 darjah beserta penerangan secara interaktif, tetapi belum ada rezeki," tuturnya sedikit kecewa.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai Maya360 boleh die-melkan kepada admin@studiobulp.com.my atau hubungi Mohamad Nazran 017-263 5006.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: