Sunday, March 6, 2011

Elaine bukan sekadar model cantik


DARI pentas ratu cantik, Elaine kini layak bergelar ratu drama. Kemenangan sebagai Pelakon Wanita Drama TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa menjadi kayu ukur pencapaiannya dalambidang lakonan.


KEGEMBIRAAN masih terlukis pada wajahnya. Besar jiwanya juga tidak tergambar, seolah-olah dimahkotakan semula sebagai ratu cantik - gelaran yang pernah diraihnya lapan tahun lalu.

"Macam menang Miss Universe pula, tengok trofi senyum dan senyum," itu bicara pertama Elaine Daly sewaktu menadah wajahnya untuk dirias sebelum jurufoto membidik lensa.

Masih belum terlambat untuk dia bercerita penuh canda. Anugerah Pelakon Wanita Drama TV Terbaik yang diraihnya pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA2010), dua minggu lalu nyata satu lonjakan yang sangat tinggi nilainya kepada Elaine.

"Tercalon pun sudah satu anugerah. Saya bersiap dari rumah tapi yang seronoknya, selain jurusolek, dua teman baik saya, Yuen dan Carmeen Soo datang memberikan sokongan. Begitu juga ibu bapa saya.

"Walaupun berhadapan masalah kurang selera makan, saya tetap meminta ibu sediakan sedikit juadah, jadi boleh kami semua makan bersama.

"Suasana itu menyebabkan jurusolek saya mengusik, 'Elaine awak ni macam bersiap untuk majlis kahwin sahaja' dan kami semua ketawa."

Secara tiba-tiba juga, Elaine meluahkan keinginan untuk membeli gaun rekaan Rizman Ruzaini yang digayakan pada malam kemenangannya itu.

"Itu baju bertuah saya, orang Cina kata ada 'ong'," ujar dengan mata yang bersinar-sinar.

Itu kali pertama dia tercalon, kali pertama juga Elaine meraih sebuah trofi mengiktiraf kerja seninya.

"Ramai orang kata, industri ini susah untuk beri pengiktirafan kepada pelakon bukan Melayu, apatah lagi model macam saya.

Nilai bakat bukan rupa

"Kefasihan saya berbahasa Melayu akan ditanya dahulu sebelum ditawarkan watak. Kalau saya mahukan watak gadis kampung, ada yang kata kaki saya terlalu panjang, jadi tak sesuai.

"Hasilnya, dapatlah saya watak yang stereotaip seperti perempuan urban, cantik atau model," katanya.

Barangkali ada yang menganggap dia bukan pelakon yang serius, lebih banyak mengendalikan majlis ataupun program bual bicara selain model pakaian.

Atas sebab itu juga, penglibatannya dalam bidang lakonan kurang diperhatikan.

"Mungkin ada yang lihat saya berlakon untuk seronok-seronok, sebenarnya tidak. Saya seorang yang tidak boleh statik dan sangat menyukai bidang lakonan.

"Mungkin sebab itu juga saya tidak mempraktikkan lesen guaman saya.

"Selagi ada yang mahukan saya dalam bidang ini saya akan teruskan," katanya yang mencipta sejarah peribadi menerusi watak kisah benar, Sybil Kathigasu dalam drama bersiri Apa Dosaku.


MASIH solo di usia 34 tahun, Elaine tidak terdesak untuk segera berkahwin.


Pertalian darah dengan Sybil, jururawat yang banyak berjasa semasa Perang Dunia Kedua itu yang berstatus moyang saudaranya, menjadi satu kebetulan yang dianggap anugerah kepadanya.

Masih sebak kala cerita itu diungkit, Elaine memberitahu:

"Pihak produksi tidak tahu hal itu. Bernard Chauly (pengarah) sekadar membuat perbandingan antara gambar Sybil dengan gambar saya ada iras-iras.

"Jadi, apabila ditawarkan watak itu oleh Lina Tan (penerbit), saya memberitahunya hal sebenar dan mereka sungguh terkejut."

Mengharapkan impak daripada trofi terbaik yang digenggam, Elaine ingin terbang lebih jauh dan mahu dikenali sebagai pelakon berbakat.

Cahaya dikecam

"Saya seorang yang bercita-cita tinggi, selalu ada pertanyaan, apa lagi, lagi dan lagi selepas ini dalam kepala saya.

"Jadi, selepas ini saya harap keseriusan saya membuka mata penerbit atau pengarah supaya melihat bakat saya, bukan rupa semata-mata," katanya.

Bermula sebagai peragawati sejak usia belasan tahun, penyandang gelaran Miss Malaysia Universe 2003 serta mewakili Malaysia ke Miss Universe Pageant 2003 di Panama ini banyak menerima tawaran berlakon sekitar enam tahun lepas.

Cuma sejak akhir-akhir ini, namanya dipetik untuk membintangi karakter berat. Judul seperti Ku Mohon dan Menunggu Takbir Raya diterima selepas lakonannya menerusi Apa Dosaku disaksikan ramai.

"Inilah masa yang paling sesuai untuk saya bergelar pelakon yang matang dan berdisiplin. Rasanya tiada isu lambat atau cepat.

"Kalau dulu, diminta menangis pun saya tak pandai. Trofi itu juga tidak mengubah apa-apa tentang saya. Ia satu permulaan," katanya.

Bertanyakan status filem Cahaya yang masih terperap tanpa berita, ada keluh yang dilepas Elaine.

"Itu antara naskhah terbaik yang pernah saya jayakan. Jalan ceritanya sempurna, lakonan saya juga adalah yang terbaik.

"Bagi saya hasil kerja Johan John itu fantastik. Sayangnya, pihak penerbit enggan berbuat apa-apa lagi sedangkan filem itu sudah siap sepenuhnya," ujar Elaine sedikit terkilan.

Pernah digembar-gemburkan dengan kontroversi separuh bogel dalam filem berkenaan, Elaine tidak melihatnya sebagai satu isu besar.

"Bagi saya itu pelengkap jalan cerita. Saya melakonkan watak teman sosial kelas atasan tapi dalam masa yang sama saya bencikan pekerjaan itu.


TERUK dikecam selepas video promo filem Cahaya di laman Youtube, Elaine sedikit terkilan karya yang disifatkan terbaik itu terperap begitu sahaja.


"Sebab itulah ada babak menangis dalam bilik mandi, takkan nak pakai baju lagipun ia cuma beberapa saat dan saya membelakangi kamera," pertahan Elaine.

Dia belum berhenti berharap untuk menyaksikan filem lakonan bersama Khir Rahman itu dapat ditayangkan kepada umum.

Profil hidupnya hampir lengkap, bukan sahaja mencipta nama dalam bidang peragaan sehingga ke peringkat antarabangsa, layak bergelar peguam dan sekarang pelakon terbaik.

Namun, di sudut hati yang terdalam anak tunggal kepada Thilit Daly dan Fifi Cheong ini masih menyimpan satu kekurangan iaitu jodoh yang belum melayang jatuh ke pintu hatinya.

Bukan tidak pernah bercinta, bahkan banyak kali. Pada awal kemunculannya dahulu, dia juga pernah intim dengan pelakon popular Hans Isaac.

Kulit ular

Pernah juga dia dilaporkan bertunang dengan seorang pegawai bank, tetapi sampai sekarang hatinya kosong tiada terisi.

"Secara betul-betulnya, sudah enam bulan saya solo tanpa teman lelaki. Hubungan selama lebih setahun dengan seorang lelaki berasal dari Singapura sudah berakhir.

"Saya boleh katakan, kami tiada serasi. Dalam usia sekarang, kita tidak perlu menunggu lama untuk tahu siapa yang layak untuk dijadikan teman hidup," ungkap Elaine.

Tidak sesal atau berduka, Elaine mengakui bahagia bersatus bujang pada usia 34 tahun. Ibu bapanya juga tidak mendesak agar Elaine segera berkahwin.

"Saya pun mahu berkahwin, mahu ada anak tapi tidak mahu menamatkan zaman bujang semata-mata kerana usia sudah meningkat.

"Saya mahu dicintai oleh lelaki yang boleh menjadi kawan baik saya, bukan lelaki yang melihat saya sebagai Elaine Daly," katanya.

Menolak khabar kononnya mahu melebarkan sayap lakonan ke Indonesia, Elaine membuka satu perkhabaran baru.

Sedang berjinak-jinak dengan bisnes dan dalam diam-diam juga, dia baru sahaja melancarkan butik Internet kecil-kecilan.

Butik dalam talian itu hanya fokus kepada beg tangan yang diperbuat daripada kulit ular. Ia tidak terlalu mahal dan mampu dimiliki semua lapisan pembeli.

"Saya sendiri yang membuat rekaan semua jenis beg tangan dalam butik berkenaan dan kulit ular yang digunakan itu diimport dari Kalimantan.

"Saya juga sudah mendapatkan keizinan bertulis untuk perniagaan berkenaan supaya tidak timbul isu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: