Jika dahulu saya memang suka dia cemburu sebab mahukan perhatiannya, tetapi selepas berkahwin cemburunya semakin menjadi-jadi.
"Malah saya pernah diterajang di depan orang ramai semata-mata kerana ditegur oleh seorang lelaki tua yang hanya bertanyakan arah jalan,"ujar Siti Sarah (bukan nama sebenar) yang merupakan mangsa suami cemburu buta.
Katanya, perangai cemburu suaminya itu bermula sejak mereka berkenalan. Tetapi keadaan semakin teruk selepas mereka bertunang. Malah selepas bertunang, lelaki itu mula menguasai kehidupan Siti Sarah.
"Kadang-kadang hanya disebabkan tidak sempat mengangkat telefon, saya ditempelak olehnya,'' ujarnya .
Kerana cemburu buta, wanita malang itu sering menjadi mangsa keganasan suaminya.
Adakalanya perbuatan suaminya itu keterlaluan dan hanya berpunca daripada hal-hal remeh-temeh.
"Begitu kritikal cemburu suami saya, sehingga masa lampu isyarat merah, saya dilarang untuk memandang orang di sekeliling kerana bimbang 'terpaut' kepada lelaki yang berada di kereta sebelah,'' ujarnya meperihalkan kisah suaminya itu.
Menurut Siti Sarah, semasa bercinta dia memang sudah mengetahui teman lelakinya pada ketika itu kuat cemburu. Tetapi kerana sayang Siti Sarah tetap menerimanya seadanya.
"Memanglah ketika itu saya suka kerana seolah-olah dia terlalu sayangkan diri saya tetapi keadaan ini semakin keterlaluan,'' ujar wanita yang bergelar pendidik itu.
Malah, sehari selepas mereka berkahwin, suaminya sudah berani bertindak melampau dengan menamparnya.
Malah, hanya kerana disapa oleh seorang saudara lelaki, Siti Sarah teruk ditampar suaminya yang cemburu buta itu.
"Masa itu, Allah sahaja tahu perasaan saya apabila suami berkelakuan begitu. Tambahan pula ibu bapa saya juga ada ketika itu,"ceritanya .
Tambahnya, keadaan semakin teruk ketika dirinya sedang berpantang selepas bersalin anak pertamanya.
Dia diterajang hanya semata-mata tidak mengangkat panggilan telefon daripada si suami.
"Memanglah sakit kena terajang tetapi entah kenapa saya masih patuh padanya,'' ujarnya yang memberitahu suaminya seorang romantik dan penyayang ketika dalam keadaan normal.
Siti Sarah sendiri tidak faham apa yang dicemburui oleh suaminya biarpun ketika itu dia berpantang di rumah mereka sendiri.
"Apabila saya tanya kenapa dia sering cemburu kepada saya sehinggakan meninggalkan kesan pada diri saya, alasan yang diberikan ialah kerana dia terlalu sayangkan saya dan tidak mahu kehilangan saya dan anak-anak,'' ujarnya.
Apabila ditanya pernahkah dia berbincang dengan suaminya berkaitan sikap cemburu itu, Siti Sarah memberitahu, ada sahaja alasan yang diberikan suaminya.
Malah Siti Sarah juga pernah mendapatkan bantuan keluarga agar menasihati suaminya, tetapi dia pula akan dipersalahkan kerana dituduh menceritakan masalah rumahtangga kepada orang lain.
"Saya pasrah atas semua yang berlaku, tetapi di hati kecil saya tetap mengharapkan dia berubah suatu hari nanti," ujarnya mengharap.
Katanya, suaminya yang bekerja sebagai guru juga sering bergaduh dengan rakan di sekolahnya hanya kerana hal-hal yang remeh-temeh.
Malah, Siti Sarah memberitahu dia pernah dihubungi pengetua tempat suaminya mengajar dan meminta supaya menasihati suaminya agar tidak bersikap melulu.
"Dulu memanglah malu apabila orang memperihalkan kelakuan suami sendiri, tetapi kini saya sudah kalis dengan sikapnya itu,'' ujarnya yang turut mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan tradisional untuk mengurangkan perangai cemburu buta suaminya.
Siti Sarah juga mengakui, dia kini risau jika tindakan negatif suaminya itu ditiru oleh anak-anak mereka.
"Maklumlah mereka kecil lagi, sebab itu bila suami mengamuk, saya cepat-cepat suruh anak masuk ke bilik supaya mereka tidak melihat tindakannya,'' ujarnya yang mempunyai empat orang anak lelaki.
Katanya , suaminya bukan sekadar cemburu kepadanya sahaja tetapi anak-anaknya juga turut dicemburui apabila mereka rapat dengan orang lain.
Malah, pernah anaknya juga ditendang oleh suami gara-gara cemburu kerana mereka rapat dengan suami jirannya.
"Sekarang, anak-anak saya trauma apabila bapa mereka mengamuk.
"Mungkin akibat terlalu kerap ditampar dan dipukul suami, saya tidak boleh mendengar bunyi yang kuat, keadaan itu menjadikan saya berdebar-debar," ujarnya yang pernah mendapat rawatan psikiatri di sebuah hospital kerajaan.
Siti Sarah juga turut diberikan kaunseling supaya dapat menangani keadaan ketika suaminya naik angin.
"Sepatutnya, hanya suami yang diberikan kaunseling tetapi kerana kasihkan suami, saya sanggup temankan dirinya agar dia berubah,'' ujarnya tenang.
Terangnya, selama dua tahun dia berulang ke hospital dan menjalani kaunseling, kini, biarpun sikap suaminya masih tidak berubah tetapi terdapat unsur-unsur pengurangan pada dirinya.
Akuinya lagi, biarpun suaminya bersikap sedemikian, kasih sayang terhadap suami tetap tidak berkurangan.
"Setiap masa saya tetap berdoa supaya suami diberikan hidayat untuk berubah dan tidak lagi kuat cemburu,'' ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: