Saturday, March 12, 2011

Cuba menyanyi

pix_gal0
Kim Kardashian rakam single pertama, tampil dengan siri realiti terbaru

NAMPAKNYA kisah kehidupan keluarga Kardashian akan terus menjadi perhatian orang ramai. Bermula dengan Keeping Up with the Kardashians, yang mempopularkan nama setiap anggota keluarga terbabit, terutamanya Kim, Khloe dan Kourtney, bermula 8 Mac lalu, E! Entertainment menyajikan pula siri realiti terbaru, Kourtney and Kim Take New York.

Menerusi program ini, penonton dapat melihat usaha dua beradik terbabit membuka butik di New York, seterusnya mengambil kesempatan di atas kegemilangan dan keseronokan yang wujud di kota berkenaan.
Kehidupan peribadi kedua-duanya juga cukup menarik untuk ditonton. Pada ketika mereka berusaha meluaskan lagi empayar Dash, dua wanita ini juga turut mengejar impian masing-masing. Jika Kourtney mendekati dunia lakonan menerusi penampilan sulung dalam drama One Life to Live siaran ABC, Kim pula merakamkan lagu yang diterbitkan oleh The Dream.Beberapa hari lalu, Kim mendedahkan, teman lelakinya, Kris Humphries, cukup menggemari lagunya yang berjudul Jam (Turn It Up) itu. Kim memperkenalkan lagu berkenaan kepada peminat pada minggu lalu, dalam rancangan radio kendalian Ryan Seacrest.

"Kris sangat menyukai lagu itu. Malah, dia menyanyikannya kepada saya dalam telefon," kata Kim seperti mana dipetik daripada majalah People.

Bagaimanapun, wanita berusia 30 tahun itu berkata, dia tidak mempunyai rancangan untuk menawan dunia muzik walaupun sudah mempunyai single pertama.
"Saya tidak mempunyai sebarang perancangan menghasilkan album. Percubaan pertama itu lebih kepada usaha saya untuk keluar daripada zon selesa sendiri," katanya yang menghasilkan lagu berkenaan untuk tujuan amal.
Sudah tentu berada dalam studio rakaman menjadi pengalaman cukup berbeza buat wanita ini. Dalam satu episod rancangan realiti itu nanti, penonton akan dapat melihat Kim berdepan masalah untuk mendapatkan vokal yang mantap ketika merakamkan lagu terbabit.

Pada satu ketika, dia kelihatan cukup tertekan, menyebabkannya meluru keluar dari studio begitu saja, meninggalkan penerbit lagu itu dalam keadaan tercengang.

Kemudian, Kim keluar makan bersama temannya, penyanyi Ciara, untuk mendapatkan sedikit kata perangsang. Ketika itu baru dia sedar, merakamkan suara bukanlah semudah disangka.

Apabila kembali ke studio, Kim mula menghayati lagu itu dengan lebih baik, seterusnya berjaya menamatkan proses memasukkan suara. Dia turut memberitahu kemudiannya, betapa dia puas hati dengan hasilnya.

Lagu berentak rancak itu dikatakan mempunyai persamaan dengan beberapa lagu terbitan The Dream yang lain, yang pernah dinyanyikan Rihanna, Beyonce dan Kanye West.

Suka jadi tumpuan

SEMENTARA itu, dalam temubual menerusi e-mel, Kim berkata, selama beberapa tahun dia pernah bekerja untuk syarikat muzik milik bapanya. Justeru, minatnya terhadap muzik sememangnya ketara.

"Begitupun, saya tidak pernah menyangka akan berpeluang merakamkan lagu. Ia umpama mimpi yang akhirnya menjadi realiti dan saya amat bersyukur diberikan peluang sebegini," katanya.

Mengenai pembabitannya dalam siri realiti pula, ketika ditanya apakah dia tidak pernah terfikir untuk ‘bersara’ daripada program sebegitu, ataupun penat dengan hakikat kamera sentiasa mengekorinya, Kim berkata, selalunya dia sukakan tumpuan berbentuk positif.

"Bagaimanapun, kadangkala kamu berasa seperti ingin bertindak balas dengan keadaan sekeliling tanpa kamera di sisi. Namun, inilah hakikat dunia realiti. Jadi, kamu kenalah membiasakan diri," ujar wanita ini.

Menyentuh pemilihan kota New York sebagai lokasi untuk mengembangkan perniagaan, Kim menjelaskan, dia dan Kourtney sentiasa melihat kota itu sebagai ibu kota fesyen. Lalu, kejayaan meletakkan jenama Dash di kota berkenaan tentu sekali pencapaian besar buat mereka. Lebih daripada itu, New York juga antara kota paling digemarinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: