|
|
BUNGA lambang kasih, simbol penyatuan rasa dan tanda penghargaan. Ia mampu membuatkan penerimanya tersenyum namun bunga juga ada duri dan racun berbisa. Sesuatu yang melucukan, apabila sejambak bunga boleh membenihkan curiga dan menyalakan api kesumat.
Itu yang terjadi apabila dua pelakon teater muzikal Terima Kasih Cinta (TKC), Norish Karman dan Farahdhiya yang tidak dihadiahkan jambangan bunga oleh salah seorang pelakon teater itu sendiri, Deja Moss yang dikatakan bersekutu dengan Safura Yaacob.
Deja juga teruk dikecam, kononnya sengaja berniat memalukan Farahdhiya dan Norish apabila hanya menyediakan 10 jambangan bunga walaupun ada 12 pelakon yang menjayakan TKC. Isu itu terjadi pada pementasan sehari sebelum TKC berakhir, Ahad lalu.
Mereka turut bertengkar secara sinis ketika ujian bunyi dilakukan keesokan harinya. Berlaku juga adegan sindir-menyindir antara Deja, Norish dan Farahdhiya.
Deja ada membuat penjelasan kepada sebuah portal hiburan di Internet namun kenyataannya diselar pula oleh Farahdhiya menerusi laman Twitter.
Dakwa mereka, Deja menipu serta menokok tambah cerita malah mereka-reka cerita meminta maaf. Ada yang menyifatkan isu itu timbul bukan kerana bunga, sebaliknya dasar profesional sebagai seorang pelakon.
SENSASI BINTANG: Bagaimana reaksi Deja apabila konflik semakin merebak?
DEJA MOSS: Saya hanya ketawa apabila ditanya soal remeh-temeh itu. Bagi saya pembaca atau peminat sekarang sudah bijak. Itu cakap budak-budak, biarlah. Saya yang sudah matang ini buat apa hendak buruk-burukkan orang begitu, banyak lagi benda yang harus saya fikirkan, saya ada suami, ada perniagaan dan ada undangan nyanyian yang harus saya penuhi. Saya tiada masalah, orang mengata saya, saya dapat pahala.
Farahdhiya seolah-olah mahu Deja membuat kenyataan maaf dan tidak bersetuju dengan kenyataan Deja sebelum ini.
Tak perlulah saya nak memohon maaf kepadanya, saya sudah membuat permohonan maaf secara terbuka selepas pementasan persembahan TKC baru-baru ini, saya minta maaf kepada semua pihak baik kepada pelakon mahupun krew, dia tak dengar ke? Saya cuma boleh berdoa agar hidupnya dirahmati.
Apa yang berlaku kepada Deja dan Norish seperti rentetan kepada masalah dalaman kalian berdua sejak lama dahulu.
Saya tak mahu ingat dan kenang semula. Tapi semasa ditawarkan watak dalam TKC, namanya tiada dalam senarai, tiba-tiba apabila tahu dia juga tersenarai dalam pementasan TKC, saya mahu tarik diri kerana lebih baik mengelak sebelum tercetus sebarang masalah. Atas dasar profesional saya gagah untuk TKC tetapi sepanjang proses latihan dan persembahan kami tidak pernah bercakap walaupun sepatah, tidak berkawan, makan dan lepak bersama. Jadi apa masalahnya bila saya tidak berhasrat memberikan mereka bunga.
Betullah kalian tidak 'sebulu'?
Memang tak berkawan. Nasi beriani dan kek lapis masakan saya yang dibawa ke tempat latihan pun tidak pernah mereka jamah, mungkin jika saya bagi bunga, entah-entah kena campak. Safura pula masak lauk kambing, pun mereka tak makan tapi semasa Maulidurasul baru-baru ini, saya menghadiah semua orang kecuali Norish senaskhah surah Yasin, semua okey tak keluar jadi isu pula.
Tony Yusoff dan Shajiry diminta mengambil semula jambangan bunga mereka yang telah diserahkan kepada Norish dan Farahdhiya, betul ke?
Tony dan Shajiry tergolong dalam senarai kawan saya tetapi kalau mereka tidak mahu menerima bunga itu di atas pentas, saya boleh hantar ke bilik, tak perlu nak beri kepada orang lain pula. Ketika Norish dan Farahdhiya dapat bunga, kami tak kata apa-apa, jadi bila saya beri bunga kenapa nak kecoh.
Kenapa boleh jadi kecoh?
Apa yang berlaku adalah masalah dalaman yang tidak sepatutnya dihebohkan. Kalau saya nak buka mulut, banyak lagi masalah lain yang wujud, kenapa apabila ada pelakon yang naik marah dan sindir penonton dari atas pentas ketika pementasan sedang berjalan tidak ditulis bahkan ada pelakon tambahan yang sindir penerbit dengan dialog yang tiada dalam skrip.
Menyesal beri bunga sebab orang tidak bercakap tentang impak TKC sebalik konfrontasi sesama-sendiri?
Tidak. Sebab saya tidak berniat untuk sakitkan hati sesiapa. Safura tahu niat saya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: