|
|
PUTRAJAYA - Bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung skandal projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Kong Choy, 55, dituduh menipu Abdullah bagi meluluskan syarikat Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk melaksanakan projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian berjumlah RM1.9 bilion di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006.
Bekas menteri itu didakwa melakukan ketiga-tiga perbuatan menipu itu di Tingkat 4, blok utama Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini.
Kesemua pertuduhan terhadap Kong Choy didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dia berdepan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan tersebut.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan Kong Choy dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Mac untuk sebutan semula kes.
Kong Choy membayar wang ikat jamin itu. Dia yang ditemani isterinya, Puan Sri Ann Chan dan anak perempuan mereka meninggalkan mahkamah pada pukul 4.35 petang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: