![]() |
| ZAINAL berjaya mengubahsuai motosikal yang menjadi kenderaan utamanya sejak 10 tahun lalu. |
Melihat tubuh kaku suami di katil hospital, Nurliah Bakar, 53, mula memikirkan masa depannya.
Hilang tempat tergantung, wanita itu perlu meneruskan kehidupan bersama suami demi anak-anak. Walaupun sedih mengenangkan nasibnya, dia yakin mampu mengubah kehidupan keluarganya.
Nada suaranya lembut dan bersahaja ketika menyingkap sisi kehidupannya 26 tahun lalu.
Pada usia muda, sementelah anak ketiga menunggu masa untuk dilahirkan ke dunia, fasa bahagianya direntap dengan tragedi yang tidak siapa pun boleh menjangka.
Berat mata memandang, berat lagi memikul. Mungkin ramai yang tidak percaya, Nurliah mampu bertahan dalam rumah tangga hampir tiga dekad bersama suami yang lumpuh.
Tidak mahu mengharapkan simpati masyarakat sekeliling, Nurliah bangkit daripada kekecewaan membesarkan anak-anak dan pada masa yang sama menjaga suami.
"Hampir setiap hari makcik menangis di katil hospital tanpa mempedulikan orang yang lalu lalang. Ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sedihnya makcik melihat tubuh kaku suami di katil hospital.
"Hanya kerana terjatuh daripada pokok rambutan kira-kira 26 tahun lalu, dia lumpuh selama-lamanya hingga ke hari ini," ujar Nurliah memulakan bicara.
Yang membuatkannya tabah ialah anak-anak yang perlu diberi makan minum dan pendidikan sempurna.
Anak sulungnya pada waktu itu baru bersekolah tadika. Kudrat wanitanya dikerah dengan kerja-kerja di ladang. Dialah bapa dan ketua keluarga. Tidak pernah menyesal atas nasibnya, wanita ini reda ketentuan Ilahi untuk memikul tanggungjawab tersebut.
Berdikari
Melihat ketabahan isteri, Zainal Ali, 55 tidak mahu berputus asa walaupun lumpuh kekal.
Dia tidak hanya berpeluk tubuh, sebaliknya secara perlahan-lahan membantu isterinya.
Di sebalik nasib yang menimpa mereka, Zainal menyifatkan dugaan dan fitnah yang datang bertimpa-timpa sejak peristiwa malang itu sebagai dugaan.
Hakikat dia tinggal di rumah menjaga anak-anak, sedangkan si isteri terpaksa bekerja mencari rezeki seawal pagi pada awalnya sangat menghibakan hatinya.
Justeru, Zainal belajar berdikari bagi menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat terutama apabila anak-anaknya mula melanjutkan pengajian ke kolej dan ada yang bersekolah.
"Jika dikenang kembali memang dugaan datang cukup hebat. Tetapi pakcik tak boleh duduk diam dan jangan membiarkan kekurangan diri membataskan segala pergerakan," katanya yang pernah membuka bengkel membaiki kenderaan di rumahnya yang terletak di Felda Bukit Senggeh, Melaka.
Malah, dengan kemahiran yang ada, Zainal berjaya mengubahsuai motosikal yang menjadi kenderaan utamanya sejak 10 tahun lalu. Dengan motosikal itu, Zainal boleh ke kebun dan melihat kerja-kerja di ladang.
"Tak boleh tinggal ladang, kena datang tengok orang kait buah. Pakcik ubah suai motosikal ini pun untuk memudahkan pergerakan sebab susah kalau bawa kereta ke ladang," ujarnya.
Katanya, selain rawatan perubatan, kesihatannya banyak dipengaruhi sokongan positif daripada ahli keluarganya.
"Benarlah kata orang kesihatan bermula daripada mental dan keluarga. Dengan adanya sokongan isteri dan anak-anak, saya berjaya merubah diri walaupun lumpuh. Kini saya mampu tersenyum seperti orang yang sempurna bentuk fizikalnya," ujarnya yang sentiasa menjaga pemakanan pada usia emas.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: