Monday, March 14, 2011

Awetan kering lebih mencabar




DENGAN penuh berhati-hati, Namazie Lowe Amran, 35, membelah bahagian dada seekor tupai kerawak yang terbujur kaku di atas sebuah meja.

Menggunakan sebilah pisau kecil yang tajam, sekali torehan sudah mampu memperlihatkan isi perut haiwan berbulu hitam dan coklat itu.

Tanpa berlengah, dia terus mengeluarkan segala isi perut tupai yang baru saja dihantar ke Unit Taksidermi di Muzium Alam Semula Jadi, Presint 15, Putrajaya itu. Tugasnya dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengelakkan sebarang kesilapan sewaktu proses awal menanggalkan kulit haiwan tersebut.

Sementara itu, di satu sudut lain, dua lelaki yang lengkap memakai topeng penutup mulut kelihatan tekun memasang kulit kambing gurun yang sudah diawet di atas badan tiruan haiwan berkenaan.

Sesekali bau kurang menyenangkan yang terhasil daripada air rendaman bulu kambing itu pantas 'menyengat' deria hidu mereka yang berdekatan. Penulis juga tidak ketinggalan terhidu bau yang menyesakkan itu.

Menyedari tindakan penulis yang terpaksa menutup hidung, lelaki yang memakai apron berwarna hijau itu pantas mencelah.

"Maaflah sebab air rendaman bulu kambing ini memang agak berbau terutama bagi mereka yang baru pertama kali melihat proses awetan haiwan ini. Tetapi, bagi kami alah bisa tegal biasa. Dah lali sangat," ujarnya.

Itu antara rutin yang perlu dilaksanakan oleh para kakitangan Unit Taksidermi muzium tersebut. Mereka bertanggungjawab untuk melakukan tugas-tugas mengawet haiwan sama ada secara kering mahu pun basah bagi memastikan ia dapat dipamerkan untuk tatapan khalayak.


NAMAZIE (duduk) dan Mohd. Ridhuan meneliti tulang rusa yang hendak disusun semula.


Menurut Ketua Unit Taksidermi, Muzium Alam Semula Jadi, Mohd. Ridhuan Akhiruddin, 30, taksidermi adalah satu seni atau kaedah mengawet haiwan yang telah mati sehingga ia kelihatan seolah-olah masih hidup.

Ia merangkumi beberapa proses seperti mengulit, merawat dan mengawet contoh-contoh haiwan.

"Proses mengawet ini bergantung kepada spesimen itu sendiri. Jika melibatkan mamalia besar seperti harimau, kambing atau beruang, ia mengambil masa selama tiga hingga empat minggu.

"Tetapi, bagi haiwan kecil seperti burung, tikus, tupai dan sebagainya, kami cuma memerlukan tiga hingga empat jam untuk menyiapkannya. Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada pengalaman dan kemahiran seseorang tukang awet itu," ujar Ridhuan sambil tangannya pantas menjahit bulu kambing yang sudah dikeringkan.

Tambah Ridhuan yang sudah enam tahun bekerja di muzium tersebut, prosedur awal yang perlu dilakukan dalam proses mengawet haiwan adalah mendapatkan spesimen terlebih dahulu.

"Antaranya pihak muzium akan menjalankan misi menembak sasaran seperti burung atau memburu haiwan yang berkaitan di hutan.

"Kadang-kadang, kami turut menerima spesimen atau haiwan yang telah mati daripada individu tertentu yang menghantarnya," kata Ridhuan yang pernah terlibat dalam mengawet rangka ikan paus Bryde yang ditemui terdampar di Tanjung Aru, Labuan pada Februari 2005.

Kemahiran tangan

Taksidermi sebenarnya berasal dari dua perkataan Greek iaitu taxis yang bermaksud susun atau penyediaan manakala derma bererti kulit. Ia merupakan salah satu bidang yang memerlukan seseorang itu menguasai seni kemahiran tangan.

Tujuan taksidermi dilakukan adalah untuk manfaat pendidikan atau penyelidikan, pameran muzium dan juga mengelakkan pembaziran iaitu haiwan tidak dibuang begitu sahaja.

Ia terbahagi kepada dua teknik iaitu awetan basah dan awetan kering serta melibatkan awetan penuh atau kulit sahaja.


PELBAGAI jenis hidupan boleh diawet untuk kegunaan akademik dan pameran di muzium.


Dalam pada itu, Ridhuan memberitahu proses awetan kering lebih mencabar dan agak rumit berbanding awetan basah.

"Proses menanggalkan kulit iaitu kaedah untuk membuka bulu-bulu daripada badan haiwan memerlukan ketelitian agar tidak merosakkan spesimen tersebut. Bahagian sensitif seperti mata, hidung, bibir dan telinga perlu dijaga dengan baik sewaktu melakukan proses mengulit atau skinning.

"Sewaktu proses itu juga, pengawet perlu memastikan spesimen betul-betul bersih daripada sebarang kekotoran. Kemudian ia akan diletak boraks iaitu sejenis garam bagi mengelakkan spesimen berkulat atau dihinggapi lalat.

"Bagi mengawet kambing gurun contohnya, selepas dilapah, tulang haiwan itu perlu ditanam dalam tempoh sebulan bagi membolehkan dagingnya terurai sendiri. Kemudian, barulah digali dan dibersihkan semula sebelum direndam dengan hidrogen peroksida seterusnya menyiapkan badan tiruan untuk melengkapkan proses awetan.

"Bagaimanapun untuk awetan basah, spesimen hanya perlu disuntik dengan cecair kimia yang dinamakan formalin yang akan menyerap ke dalam rongga haiwan sekali gus menjadi keras dan kemudian direndam terus ke dalam alkohol," jelas Ridhuan panjang lebar.

Minat sewaktu kecil

Sementara itu, Namazie yang merupakan pembantu muzium merangkap kakitangan Unit Taksidermi, Muzium Alam Semula Jadi berkata, minatnya melibatkan diri dalam bidang tersebut bermula ketika berusia sembilan tahun.

Waktu itu, dia sering melihat ayahnya, Amran Abdullah yang bertugas sebagai penolong kurator kanan di Unit Ilmu Kejadian, Muzium Negara membawa pulang haiwan untuk dilapah.

"Mula-mula memang saya tertanya-tanya apa yang dilakukan oleh ayah. Rasa pelik pun ada. Tetapi selepas ayah menerangkan tentang skop tugasnya, barulah saya mengerti dan terus berminat untuk mendalami bidang taksidermi," tutur Namazie sambil menunjukkan cara menanggalkan kulit seekor burung punai yang baru mati.

Sejak bertugas di unit berkenaan bermula tahun 2006, anak jati Kuala Lumpur itu sudah mengawet puluhan haiwan seperti burung-burung kecil, tumbuhan botanik, ular dan katak. Projek terbesar pernah disertai Namazie ialah mengawet ikan arapaima sepanjang 2.4 meter di Melaka tahun lalu.

Cabaran dan keseronokan


RIDHUAN menunjukkan seekor ikan arapaima yang telah diawet.


Seorang lagi kakitangan, Mohd. Ali Mohaideen, 29, mengakui tanpa minat tidak mungkin seseorang itu boleh melakukan tugas mengawet dengan baik.

"Tugas sebegini mempunyai cabaran dan keseronokan tersendiri. Jika orang lain bekerja menghadap komputer di dalam pejabat berhawa dingin, kami pula terdedah kepada persekitaran yang dikelilingi haiwan-haiwan mati untuk 'dibedah siasat'," ungkap Ali sambil tersenyum.

Terangnya lagi, kepuasan hanya dapat dirasai setelah melihat hasil kerja masing-masing dipamerkan di muzium untuk tatapan masyarakat.

Ditanya sama ada dia pernah melalui pengalaman terkena badi haiwan, Ali lantas menggeleng kepala.

"Alhamdulillah, setakat ini kami tidak pernah mengalami pengalaman sedemikian rupa. Apa yang penting, sebelum memulakan tugas, kita perlu ingat pada Allah sambil membaca beberapa ayat suci al-Quran untuk menghindari daripada perkara yang buruk," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: