Monday, March 28, 2011

Aroma menu Arab di Al Abraj


Akdah kambing enak dimakan dengan roti Arab.


MENCUBA buat pertama kali nasi yang disumbat di dalam tomato dan lada di Restoran Al Abraj, Bandar Baru Bangi memang mengujakan. Nasi yang dimasak secara berasingan menggunakan rempah ratus mencetuskan rasa tersendiri apabila dimasukkan ke dalam tomato sebelum dibakar di dalam ketuhar.

Campuran rasa tomato dan nasi menampilkan rasa enak dengan aroma tersendiri. Itulah 'Mahsyi', menu terbaru Al Abraj yang sebelum ini mengetengahkan Zurbian ayam dan kambing sebagai hidangan utama berbanding restoran Arab lain yang rata-rata memilih Kabshah.

Sambutan menggalakkan terhadap menu Arab di restoran yang mula beroperasi sembilan bulan lalu, mendorong pemiliknya, Khairul Amir Samsudin menonjolkan hidangan baru.

Kelainan

Biar pun penyediaannya rumit, namun Mahsyi menjadi pilihan untuk mengisi menu baru Al Abraj supaya keenakan rasanya dapat dikongsi para pengunjung yang mungkin inginkan sedikit kelainan. Selain tomato dan lada, Mahsyi juga boleh disediakan dengan kubis. Nasi yang disumbat di dalam sayuran dimasak bersama daging cincang serta rempah-ratus menawarkan keenakan yang bukan sedikit. Sos istimewa mengiringi Mahsyi menambah perisa hidangan tersebut.

Turut mengisi menu baru adalah Khushari iaitu sejenis nasi yang menjadi kegemaran masyarakat Mesir. Nasi yang dimasak bersama kacang kuda dan ramuan lain itu dilengkapi sos yang diperbuat daripada puri tomato, yang kemudian dididihkan bagi menghasilkan kepekatan serta cita rasa tersendiri. Semestinya Khushari menambah lagi senarai nasi di Al Abraj yang turut menyediakan menu biasa restoran Arab yang lain iaitu Mandy dan Hanith.

Tidak lengkap jika tidak menjamah roti Arab yang dicicah dengan Akdah - daging ayam atau kambing yang dicarik-carik dan dimasak dengan rempah ratus dididih dalam sup sehingga kering - menuterkenal di wilayah Eden, Yaman. Padanan roti Arab dan Akdah mampu membuka selera penggemar roti.

Jika singgah di Al Abraj jangan lupa mencuba Buraek - 'murtabak' Arab 12 lapis yang memikat selera. Ramuan istimewa diapit di tengah enam lapisan bawah dan enam lapisan atas, rasai sendiri keenakannya.

Bagi yang inginkan pembuka selera, salad Arab dan salad Fathoush sedia menanti anda.

Kesemua menu baru akan disediakan mengikut hari tertentu dan untuk mengetahui jadualnya, apa kata singgah di Al Abraj.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: