Monday, March 28, 2011

Apabila Awie menjadi Lat


JALIL Hamid (bertopi) melakonkan watak bapa Lat dan Daniel (kanan) yang melakonkan watak Lat sewaktu kecil.


SELAMA bergelar kartunis sejak berusia 13 tahun, Datuk Lat telah melukis pelbagai watak masyarakat berbilang kaum di Malaysia menerusi karya-karya kartunnya.

Namun, selepas 47 tahun melakar watak-watak orang lain, kini tibalah masanya karakter kartunis berusia 60 tahun itu dilakonkan pula oleh orang lain di atas pentas teater.

Lat atau nama sebenarnya Mohd. Nor Khalid menyaksikan Awie melakonkan karakternya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur dari 18 Mac hingga 5 April ini.

Dengan judul Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM) ia merupakan naskhah yang memaparkan perjalanan hidupnya dari kecil sehingga bergelar kartunis terkenal tanah air.

Menurut Lat, dia bukan sahaja memberi kebenaran Awie melakonkan wataknya, tetapi turut menghormati gaya vokalis kumpulan rock itu melakonkan karakternya.

"Saya pun tidak tahu bagaimana mahu mengajar Awie supaya dia boleh menyerupai gaya atau karakter saya. Semua itu saya serahkan kepada daya imaginasi dan pemerhatian Awie untuk menghidupkan watak saya," katanya seusai pementasan malam pertama LKBSM di Panggung Sari, IB baru-baru ini.

Bukan setakat watak atau karakternya, malah anak kelahiran Kota Baru, Perak ini turut menyerahkan kepada Hans Isaac dan Harith Iskander selaku pengarah muzikal itu.

Jelas Lat, dia menceritakan tentang perjalanan hidupnya kepada dua pengarah itu sebelum ia diolah menjadi sebuah skrip dan terpulang kepada mereka bagaimana ia hendak dipersembahkan.

"Saya menceritakan tentang kisah hidup saya sejak kecil hingga sekarang kepada Hans dan Harith sewaktu mereka berkunjung ke rumah saya di Ipoh pada tahun lalu.

"Ia berdasarkan pengalaman hidup saya yang sebenar dari zaman kanak-kanak sehinggalah dewasa. Kebanyakan adegan yang dipaparkan adalah antara yang penting dalam hidup saya.

"Antara adegan kegemaran saya ialah sewaktu bertugas sebagai wartawan di New Straits Times di bawah Allahyarham Pak Samad (Tan Sri Samad Ismail) sebelum saya menjadi kartunis," ujarnya.

Semua adegan itu bukan sahaja mengimbau nostalgianya, malah ia turut membabitkan individu-individu lain yang masih hidup seperti yang digambarkan dalam naskhah tersebut.

Antaranya, watak bekas guru bahasa Inggerisnya, Mrs. Hiew yang masih hidup dan hadir menyaksikan pementasan itu pada 23 Mac lalu serta beberapa bekas teman sekelasnya.

"Watak sebenar Mrs. Hiew itu masih hidup dan ketika ini umurnya sekitar 75 tahun. Dia antara guru yang banyak memberi galakan kepada saya dalam lukisan kartun.

"Ada juga kawan-kawan sekelas dengan saya yang masih hidup tetapi ramai yang uzur dan tidak dapat datang menyaksikan pementasan teater muzikal ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: