|
|
UNTUK menjadi seorang artis yang dapat bertahan lama dalam industri hiburan bukan satu tugas yang mudah. Semua aspek perlu diambil kira dan jika hanya bakat sahaja yang diambil kira, ia tidak mencukupi. Malah, ia juga bukan satu jaminan untuk seseorang artis itu dapat mengekalkan kedudukannya.
Sebaliknya, seseorang artis itu perlu ada pakej lengkap untuk menjadi seorang penyanyi dan penghibur termasuklah personaliti serta aura tersendiri untuk menarik perhatian masyarakat.
Figura unggul dunia hiburan seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk Sheila Majid, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza boleh dijadikan contoh terbaik apabila dapat bertahan sehingga ke hari ini.
Mereka membuktikan bahawa bakat dan personaliti yang dimiliki sebenarnya merupakan kekuatan dan menjadi tunjang utama buat mereka untuk terus diminati.
Seorang lagi penyanyi unggul, Anuar Zain juga boleh dikategorikan dalam kelompok itu kerana lebih sedekad melayari lautan seni sebagai penyanyi solo, dia masih terus digilai dan dipuja peminatnya khususnya kaum Hawa.
Pernah seorang teman bertanyakan kepada penulis, mengapa ramai wanita begitu menggilai Anuar sehingga mereka sendiri tidak pandang pada penyanyi lelaki lain yang ada di negara ini.
Untuk memberikan jawapan yang tepat, barangkali ia begitu sukar kerana soal memuja dan meminati artis ini begitu subjektif. Pandangan setiap individu itu berbeza dan ia bergantung kepada mereka sendiri atas alasan apakah mereka meminati artis itu.
Dalam kes Anuar, mungkin ada peminat yang meminatinya kerana vokal mantap dan lagu-lagu nyanyiannya. Malah, tidak kurang juga yang menyukai personalitinya dan mungkin ada yang jatuh cinta kepada Anuar kerana wajah kacaknya.
Berpeluang bertemu dengan Anuar, penulis mengambil kesempatan itu untuk bertanyakan kepada tuan punya badan dan siapa tahu barangkali Anuar mempunyai pandangan tersendiri berhubung perkara tersebut.
“Jujurnya, saya sukar memberikan jawapan yang tepat kepada soalan itu. Saya tidak tahu di manakah kelebihan saya sehingga saya diminati, dipuja dan disayangi peminat sehingga ke hari ini.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih diterima peminat dengan baik dan kerana itu, saya akan melakukan apa sahaja yang terbaik buat peminat kerana tidak mahu menghampakan mereka,” ujar Anuar yang mula menempa nama sebagai penyanyi kanak-kanak menerusi lagu popular, Kain Pelikat bersama teman duetnya, Ellina ini dalam nada penuh rendah diri.
Anuar berkata demikian ketika ditemui usai sidang akhbar Amazing Anuar Zain April’s Affair yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC), Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Buat pertama kalinya, Anuar akan menjayakan persembahan Minggu Setiausaha bersama PNB Darby Park Executives Suites yang akan berlangsung pada 6 April ini di SDCC.
Emosi
Menyambung perbualan, pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini memberitahu, dia juga ada mendapat maklum balas daripada peminat setianya yang menyatakan minat mereka terhadap dirinya adalah kerana lagu-lagu nyanyiannya.
“Atas alasan itu, saya memang cukup menitik beratkan soal melodi dan lirik setiap kali mahu merakamkan album kerana saya tahu serta percaya, dengan lagu yang baik ia dapat menyampaikan jiwa dalam setiap lagu itu kepada peminat.
“Bagi saya, kalau lagu yang baik ia memudahkan penyanyi untuk menghayati dan menyelami serta larut dalam emosi lagu itu yang akhirnya akan sampai tepat kepada pendengar.
“Selain lagu yang baik, susunan muzik juga memainkan peranan penting dalam menjadikan sesebuah lagu itu lebih cantik dan sedap didengar. Saya tidak kisah kalau kalau album saya memakan masa bertahun-tahun untuk dihasilkan.
“Apa yang penting adalah kualiti dan dapat memanjangkan jangka hayat album tersebut untuk dinikmati dalam tempoh yang lama,” kata Anuar yang pernah diiktiraf sebagai Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali itu lagi.
Cerewet
Anuar memang dikenali sebagai seorang yang cukup mementingkan kesempurnaan dalam apa jua yang dilakukannya terutama penghasilan album solonya.
Sudah lebih 10 tahun menjadi penyanyi solo, sehingga kini Anuar hanya melahirkan tiga buah album iaitu pada tahun 1998, 2002 dan 2007.
Justifikasi Anuar mudah. Dia tidak mahu hanya melahirkan album berdasarkan kuantiti tetapi kualiti yang ternyata berjaya memberikan impak besar kepada karier seninya.
Anuar pernah menyatakan dia tidak mahu menunggu lama untuk muncul dengan album keempatnya selepas kejayaan album ketiganya yang memuatkan lagu popular seperti Lelaki Ini, I’m The Lucky One dan Ketulusan Hati.
Namun, empat tahun sudah berlalu dan sehingga kini, bayang album itu juga tidak muncul di pasaran walaupun Anuar memberitahu kesemua lapan lagu sudah siap dirakamkan.
Jelas Anuar yang kini cukup popular dengan lagu Sedetik Lebih, dia sendiri sudah tidak mampu untuk ‘berbohong’ kepada peminatnya yang terus sabar menanti sejak empat tahun lalu.
“Saya harus akui memang peminat sudah marah dengan saya dan kerap bertanya bilakah album terbaru saya akan muncul (ketawa). Memang album itu sudah siap tetapi ada sedikit masalah dari segi proses adunan bunyi (mastering) yang tidak menepati piawaian saya.
“Semuanya perlu diproses semula dan ia juga bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Saya tidak kisah berbelanja lebih asalkan hasilnya memuaskan hati saya dan apa yang saya lakukan juga demi kepuasan peminat saya sendiri.
“Saya sendiri sukar meramalkan bilakah album ini akan berada di pasaran. Sebaik sahaja siap lengkap semuanya, Insya Allah, ia pasti akan dipasarkan juga nanti,” jelas Anuar yang memberitahu proses adunan bunyi itu dilakukan di Sydney, Australia.
Album terbaru Anuar itu memuatkan lagu-lagu ciptaan komposer Indonesia dan Malaysia termasuk single pertama, Ku Berjanji Karna Cinta yang kini semakin mendapat tempat di corong radio.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: