PETALING JAYA: Penyanyi Anita Sarawak, 58, menggesa kepada pasangan suami isteri di luar sana perlu saling hormat menghormati jika inginkan kebahagiaan dalam rumah tangga.
Menurut Anita atau nama sebenarnya Ithnaini Mohd Taib, tips tersebut merupakan kunci utama kebahagiaan suami isteri memandangkan di zaman ini ramai pasangan yang gagal dalam rumah tangga.
"Alhamdulillah, selama 12 tahun usia perkahwinan bersama Abang Mahathir, kebahagiaan yang muncul bermula dengan hormat antara satu sama lain dan ia merupakan perkara yang paling penting dalam sesebuah hubungan.
"Walaupun umum melihat kami sentiasa bersama kemana-mana saja dituju, tetapi bila di rumah, sekali sekala kami akan memberi ruang masa untuk bersendirian.
"Tapi tak boleh lama-lama, kerana nanti kami akan cepat merindui semula. Selain itu jika mempunyai masalah, kami tidak bergaduh, sebaliknya kami lebih suka berbincang dan berbahas jika mempunyai pendapat masing-masing.
"Lagi satu, jangan bawa amarah kita masuk ke bilik tidur. Bayangkan, andai kata ada sesuatu yang tidak diingini berlaku ketika tidur, tak fasal-fasal kita tak sempat untuk berdamai," tuturnya.
Tambah Anita, dia gembira kerana memiliki seorang suami yang penyayang dan memahami kerjayanya sebagai seorang penghibur.
Ditanya tentang perancangan Anita dan Mahathir untuk menerima seorang anak angkat sebagai teman bermain di rumah, pasangan tersebut selesa dengan kehidupan kini tanpa kehadiran seorang anak kecil.
"Cukuplah suami sudah memiliki dua orang anak. Lagipun kami mempunyai ramai anak saudara serta cucu saudara, mereka semua panggil saya Mama Nita.
"Dengan adanya mereka saja ia sudah cukup meriuhkan. Lagipun anak saya 'baby gorilla' (Mahathir) ada disini," selorohnya.
Anita bakal menghangatkan Minggu Setiausaha anjuran Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 6 April depan bersama Noryn Aziz dengan tema Divas Las vegas.
Selain dapat menyaksikan persembahan hebat dua penyanyi itu, tetamu yang hadir bakal berpeluang membawa pulang cenderamata menarik serta hadiah-hadiah lumayan bernilai hampir RM100,000 yang ditaja oleh Empire Classic Furniture dan Elegance Club.
"Pada persembahan itu nanti, saya akan memberi beberapa soalan kepada tetamu dan mereka pasti boleh jawab soalan itu jika mereka benar-benar peminat saya.
"Jika jawapan itu dijawab dengan betul, mereka akan mendapat hadiah. Malah mereka juga berpeluang memenangi cabutan bertuah yang lumayan nilainya." katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: