Monday, March 28, 2011

Anis chef jelita




DENGAN kasut bertumit tinggi lapan inci dan dress moden gaya terkini, Anis ligat menyudahkan hidangan soto buat tetamu petang itu. Dia tidak kekok, sentiasa tersenyum dan mulutnya tidak henti berceloteh. Ternyata si cantik manis ini bukan hanya bersandarkan rupa.

"MAAF, jangan panggil saya chef. Saya cuma Anis dan saya boleh memasak. Bukan kerana saya seorang chef bererti saya pandai memasak, anda juga sepatutnya begitu," kata pemilik nama penuh Anis Nabilah Umaruddin ini.

Mencintai dunia kulinari sejak kecil, dia masih ingat cubaan pertamanya menggoreng telur ketika berusia sembilan tahun walaupun dihalang nenek. Akibatnya, Anis teruk dimarahi ibu dan didenda.

Kini pada usia 25 tahun, lulusan diploma dari Institut Makanan Malaysia itu mungkin boleh dikatakan satu-satunya chef wanita muda yang semakin dikenali.

Dia pernah mengendalikan beberapa rancangan masakan televisyen dan sedang menjalankan projek bersama Food Network Asia dalam menghasilkan program khas masakan Malaysia.

Bagi Anis, walaupun berkebolehan memasak pelbagai jenis masakan antarabangsa, keunikan hidangan tradisional negara membuatkan dia jatuh cinta untuk mendalaminya sehingga ke akar umbi.

"Anis bukan setakat mempelajari resipi sesuatu jenis masakan, malah mendalami hingga ke peringkat penyediaan," katanya.

Peluang menangkap dan menyiang belut di Kelantan antara yang sukar dilupakan. Begitu juga pengalaman belajar menggiling rempah dan mengutip sayur-sayur liar untuk dimasak menjadi hidangan eksotik yang enak. Dari situ, hatinya terus terpaut untuk mendalami resipi-resipi lama yang semakin dilupakan.

Anis juga bercita-cita untuk menghasilkan buku masakan dengan gaya tersendiri suatu hari nanti. Kepada si cantik manis ini, semoga berjaya mencapai apa yang anda inginkan.

3 comments:

  1. kasut tumit tinggi 8 inci?! kalau nk tipu pun agak2 ar

    ReplyDelete
  2. Haha 8 inci..baek ckp 12 je tros..

    ReplyDelete
  3. Itu ayat metafora bro....inila keindahan bahasa melayu!!!melebih2kn benda yg x msk akal,bahasa sndri on x paham2..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: