Tuesday, March 1, 2011

Ady Putra dampingi Shah Rukh Khan


ADY PUTRA yang terbabit dalam filem Bollywood, Don 2 membawa karakter peguam kepada Shahrukh Khan.


WALAUPUN hanya satu babak, pelakon popular, Ady Putra, 30, bangga apabila diberi peluang menjayakan watak sebagai peguam kepada hero Bollywood pujaan ramai, Shahrukh Khan bagi filem Don 2 yang menjalani penggambarannya di Melaka baru-baru ini.

Bagi sekuel filem Don itu, Ady membawa watak sebagai peguam yang telah membantu Shahrukh Khan membebaskan diri daripada hukuman penjara.

“Saya tidak pernah terlintas langsung untuk bergandingan dengan Shahrukh Khan. Ini adalah satu pengalaman manis buat saya.

“Malah terlibat dalam pembikinan filem yang berskala besar ini, saya anggap sebagai takdir dalam perjalanan kerjaya lakonan saya yang kini semakin mendapat perhatian dalam industri hiburan,” katanya yang menjalani penggambaran babak di penjara yang dirakamkan di Sungai Udang, Melaka.

Don 2 mengisahkan lakonan Shahrukh Khan sebagai Don iaitu anggota polis yang menyamar dalam sindiket penyeludupan dadah manakala Priyanka Chopra melakonkan watak teman wanita Don sebagai Roma.

Ady sebelum ini terkenal dengan beberapa drama antaranya Chinta, Akukah Tanggang? dan filem tempatan seperti Anak Halal, Histeria dan Haq bangga apabila terpilih oleh produksi Bollywood walaupun bakal muncul satu babak sahaja.

“Dapat berlakon bersama Shahrukh Khan sudah membuktikan ia satu penghormatan untuk pelakon tempatan. Saya sendiri tidak sangka apabila terpilih, oleh itu peluang yang diberikan ini digunakan sebaik mungkin untuk melebarkan kerjaya seni saya.

“Pemilihan saya ini diharap dapat membuka mata masyarakat di luar sana untuk melihat bakat saya malah dalam masa yang sama mengetengahkan bakat pelakon Malaysia,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar drama terbaru slot Seram TV3, Mantera Anjasmoro di Garden Cafe, One Utama baru-baru ini.

Dia yang teruja menceritakan pengalamannya bekerja dengan produksi luar itu berkata, meskipun tampil hanya untuk satu babak sahaja, ia dianggap satu pengalaman yang sukar diperoleh oleh pelakon lain.


SHAHRUKH KHAN


“Babak yang akan dipaparkan kepada penonton ialah babak yang dirakamkan di penjara. Lebih istemewa babak itu dilakukan terus tanpa sebarang latihan.

“Walaupun teknik penggambaran mereka sedikit berbeza namun penggambaran itu berlaku dengan mudah sahaja,” ujarnya.

Katanya lagi, penggambaran filem yang mengambil masa dua hari itu cukup memberi impak kepada perjalanan filem tersebut kerana wataknya itu yang menyebabkan Don dibebaskan dari penjara.

Menceritakan lebih lanjut, Ady yang kini dalam proses mengurangkan berat badannya untuk sebuah filem aksi komedi berkata dia dilayan sama rata dengan pelakon-pelakon lain ketika di set penggambaran, malah mereka juga tidak memperlekehkann gaya lakonannya.

Dalam pada itu, Ady yang sudah lapan tahun berada dalam industri lakonan berkata, dia belum puas dengan kerja yang dilakukan dan mahu meningkatkan mutu lakonannya dari semasa ke semasa.

Mengulas mengenai penglibatannya dalam drama bersiri Mantera Anjasmoro, Ady mengakui agak susah untuk dia menjayakan watak tersebut kerana ada bahagian di mana dia perlu berimaginasi sedang sakit seperti ada sesuatu yang berat di atasnya serta membayangkan dirinya dicangkuk dengan besi.

“Tetapi walaupun agak mencabar, saya tertarik dengan kesan khas visual yang sebenarnya agak baru bagi saya,” kata Ady yang menyifatkan drama tersebut sarat dengan mesej khas untuk masyarakat zaman ini.

Drama bersiri 13 episod arahan Aidilfitri Mohamad Yunos itu bakal memberi pengajaran kepada mereka yang masih lagi mengamalkan ilmu hitam pada zaman moden ini.

Selain Ady Putra, barisan pelakon drama yang menggunakan banyak teknik imej janaan komputer (CGI) ialah Eja, Fauziah Gaos dan Raja Norbaizura.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: