SETIAP kali menjelangnya hari raya, pasti pelbagai momen yang tercipta di bulan mulia ini terbayang di mata kita. Sama ada babak suka ataupun duka, sedikit sebanyak ia pasti membuatkan kita tersenyum sendiri.
Bagi pelakon, pengarah dan penerbit tersohor ini, dia terlalu merindui suasana raya dulu-dulu kerana kemeriahan yang dirasai ketika itu tidak sama dengan apa yang dirasai sekarang.
Akui Erma Fatima, perbezaan dan jurang yang tercipta kini jelas kelihatan apatah lagi dengan kewujudan laman sosial yang semakin mencuri tumpuan anak-anak muda.
“Bayangkan dulu kalau raya, memang seronok nak tunggu waktu malam raya. Biasanya, orang-orang daripada masjid akan berkumpul bersama anak-anak muda untuk takbir dari rumah ke rumah.
“Tetapi sekarang ia semakin berkurangan, lebih-lebih lagi di sekitar Kuala Lumpur dan perumahan-perumahan elit,” katanya.
Jelas Erma, kemeriahan malam takbir ditambah dengan keseronokan dia membantu emak menyediakan juadah untuk mereka.
“Saya memang suka tolong emak memasak. Waktu inilah saya rasa sibuk sangat kerana rumah penuh dengan tetamu,” katanya.
Kata Erma, hari raya dahulu juga meriah dengan aktiviti kunjung mengunjungi, berbeza dengan keadaan hari ini.
“Perubahannya sangat terasa apabila masing-masing sibuk dengan kerja dan memilih untuk bercuti apabila tibanya musim perayaan.
“Walhal dahulu, masing-masing tidak sabar ke rumah sanak-saudara. Tidak kiralah sama ada dijemput atau tidak, kita tidak ada perasaan segan kerana sudah menjadi adat dan budaya umat Islam untuk berkunjung ke rumah jiran dan saudara-mara.
“Tetapi sekarang kalau nak beraya, ada yang kena jemput dahulu, itupun ada yang dijemput masih tidak datang,” katanya yang menganjurkan rumah terbuka setiap tahun.
Kongsi Erma, dia masih ingat kenangan apabila dapat mengumpulkan duit raya yang banyak.
“Masa kecil-kecil waktu dapat duit raya adalah yang paling best. Tak kiralah berapa jumlahnya, asalkan kita dapat.
“Tapi sekarang, budak-budak dah semakin bijak, bila dapat sedikit mereka akan merungut,” katanya sambil ketawa.
Main bunga api di malam raya
Sentiasa menikmati detik-detik indahnya berhari raya bersama adik-beradik, menurut Erma, sudah menjadi aktiviti wajib mereka untuk berkumpul setiap tahun di rumah emak.
“Saya ada enam adik-beradik dan masing-masing memang akan pulang beraya. Paling menggembirakan dan membuatkan kami tidak sabar bersama sebenarnya aktiviti malam raya.
“Kalau nak tahu, daripada kecil sampai sekarang kami masih main bunga api. Tak kiralah dah tua bangka macam ni pun, saya dan adik-beradik lain tak pernah lepaskan peluang main bunga api.
“Bagi saya, inilah yang merapatkan kami. Walaupun kami sering bertemu tetapi perasaan meraikan raya itu sangat lain,” kata kakak kepada Datin Seri Umie Aida dan Betty Rahmad ini.
Selain itu, mereka adik-beradik tidak lupa untuk menghias rumah emak setiap kali tibanya Syawal.
“Paling seronok saya dapat buli adik-adik lelaki. Tak kiralah cuci rumah, pasang langsir, semuanya adik-adik lelaki yang buat. Kami yang perempuan ni hanya jadi mandur dan beri arahan,” katanya.
Meskipun tidak mempunyai kampung dan beraya di Kuala Lumpur, Erma bersyukur kerana kemeriahan tetap dirasai.
“Lebih-lebih lagi apabila emak dan ayah masih ada bersama kami. Kami adik-beradik tidak pernah beraya tanpa mereka.
“Alhamdulillah, emak juga yang sediakan juadah hari raya setiap tahun. Sebab pada hari raya sahaja emak akan memasak pelbagai juadah wajib untuk kami.
“Jadi memang semua emak yang uruskan tanpa bantuan kami. Biasanya, emak akan masak lontong, ketupat, rendang ayam dan daging serta kari ayam dan daging yang menjadi menu kegemaran kami adik-beradik,” katanya tiada air tangan lain mampu menandingi emaknya apabila hari raya.
Bercerita rutin hari rayanya, kata Erma, seperti biasa selain beraya bersama keluarga, dia juga akan ke rumah mertuanya.
“Ini juga aktiviti wajib saya setiap tahun, selain rumah mertua, saya lebih selesa bersama anak-anak menunggu tetamu di rumah,” katanya tidak melupakan tradisi pemberian duit raya.