Friday, July 1, 2016

AIM 22 Perkenal Lima Kategori Baharu



Pengerusi Ahli Jawatankuassa Anugerah Industri Muzik (AIM) ke 22 iaitu Rosmin Hashim (tiga dari kiri) bersalaman dengan penaja utama AIM iaitu Pengerusi SNA Wellness International Datuk Seri Suparadi Mohd Noh pada majlis Iftar dan sidang media pengumuman AIM 22. Turut kelihatan Pengerusi RIM Datuk Norman Abdul Halim (kiri) dan Pengurus Besar Hotel Park Royal Kuala Lumpur, Mark Losi. 
KUALA KUMPUR: Anugerah Industri Muzik (AIM)  bakal mempertandingkan sebanyak 24 kategori anugerah termasuk lima kategori baharu dalam penganjurannya bagi edisi ke-22 kali ini.

Lima kategori tersebut ialah Lagu Muat Turun Paling Tinggi, Lagu Strim Paling Tinggi, Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube, Lagu Nada Dering Jualan Paling Tinggi dan Penyanyi Malaysia Terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 22, Rosmin Hashim berkata, penambahan empat kategori baharu ini berasaskan jualan, manakala sebuah kategori iaitu Penyanyi Malaysia Terbaik dibuka kepada juri awam.

"Kategori baharu ini berasaskan jualan dan sumbangan besar syarikat rakaman yang menghidupkan industri muzik tempatan dan memberi peluang kepada orang ramai untuk terlibat dengan lebih dekat dengan AIM.

"Buat julung kalinya, satu kategori pilihan ramai diwujudkan iaitu kategori Penyanyi Malaysia Terbaik di mana orang ramai diberi peluang menjadi juri awam," ujarnya.

Rosmin Hashim.
Rosmin ditemui pada sidang media AIM 22 di Hotel Park Royal, pada Rabu.

Dalam pada itu, penyanyi yang tersenarai dalam lima pencalonan terbaik untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki & Wanita) secara automatik layak bertanding kategori Penyanyi Malaysia Terbaik.

Sementara itu, kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang dipersembahkan oleh Artis Luar Negara digugurkan tahun ini bagi memberi tumpuan kepada pengiktirafan artis-artis tempatan.

Tambah Rosmin, sistem penghakiman akan dibarisi pakar-pakar dalam bidang berkaitan dan diketuai oleh seorang ketua juri berpengalaman.

Pencalonan untuk lagu atau album Bahasa Malaysia dan Inggeris dibuka bagi lagu yang diterbitkan di Malaysia dari 1 Julai 2014 hingga 30 Jun 2016.

Tempoh pencalonan dibuka bermula pada 29 Jun sehingga 29 Julai 2016.

Borang-borang pencalonan telah diedar kepada semua ahli-ahli Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan boleh dimuat turun di www.aim.org.my

AIM 22 bakal diadakan pada 11 Disember 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: