PELAKON tinggi lampai, Hisyam Hamid dipantau seorang ustaz hanya untuk memastikan dirinya tidak melakukan sebarang kesilapan khususnya apabila menyampaikan ayat-ayat suci al-Quran.
Menurut Hisyam, itu penting bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
Pemantauan itu bukan bererti Hisyam sudah bertukar bidang daripada pelakon kepada pendakwah, sebaliknya ia khusus untuk drama terbarunya Imam Mudaku Romantik.
Drama bersiri 16 episod itu bersiaran di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135) sepanjang Ramadan ini bermula 6 Jun lalu.
Bergandingan dengan aktres, Syatilla Melvin, Hisyam diberikan peranan sebagai seorang ustaz.
"Saya agak  gementar untuk watak ini. Jujurnya, watak itu sangat besar dan berat. Lebih-lebih lagi, perkara yang berkaitan dengan agama ini, saya tidak boleh ambil mudah.
"Jadi, saya suarakan kebimbangan itu. Alhamdulillah pihak produksi menyediakan ustaz untuk memantau saya. Apabila ada ustaz ni, saya lebih berkeyakinan," katanya kepada Zass ketika ditemui di Majlis Sidang Media & Pra Tonton Program Ramadan Astro, baru-baru ini.
Dalam pada itu, demi membina kariernya di Malaysia, Hisyam Hamid mengakui tidak hanya mengejar populariti semata-mata.
Meskipun kurang popular, pelakon kelahiran Singapura ini tetap optimis kerjaya seninya sebagai pelakon akan terus berkembang.
Kerana itu, pelakon berusia 31 tahun ini berazam untuk bekerja lebih keras agar namanya terus kekal relevan dalam industri hiburan.
Katanya, semua itu dilakukan agar dapat membina kepercayaan daripada pengarah dan stesen televisyen.
"Berlakon adalah pendapatan utama saya. Dalam masa sama, saya risau bagaimana untuk terus kekal relevan dalam industri ini.
"Alhamdulillah, saya masih boleh bertahan bahkan ada lagi menerima tawaran untuk membintangi drama," katanya.
Pada masa sama, Hisyam turut bersyukur apabila namanya bebas daripada sebarang gosip sepanjang penglibatannya sebagai pelakon.
"Jujurnya, saya tidak bimbang jika kurang popular. Gosip itu bukan kita yang cari tetapi ia datang sendiri. Kalau boleh semua artis tidak mahu terpalit dengan gosip.
"Bagus juga berita saya tidak banyak keluar di media atau blog. Lebih baik tidak keluar apa-apa berita jika ia lebih bersifat negatif," katanya yang turut bimbang jika lakonannya dipertikai oleh segelintir pihak terutamanya pengguna laman sosial.