SELEPAS 15 tahun berkecimpung dalam industri nasyid, tidak dinafikan kumpulan Inteam kini berada dalam kelasnya tersendiri.
Mula dikenali dengan lagu Kasih Kekasih pada awal kemunculan, Inteam terus mengorak langkah memperkukuh kedudukan dan dakwah mereka biarpun diuji dengan pelbagai cabang hiburan yang lain.
Kini, Inteam bukan hanya sekadar sebuah kumpulan yang memperjuangkan nyanyian nasyid, malah telah memperluas pengaruh dalam pelbagai bidang dan menjadi empayar yang kukuh.
Dengan kejayaan itu, kumpulan yang dianggotai Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Abdul Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisham Ahmad juga tidak lupa menggunakan kelebihan sedia ada membantu memeriahkan lagi nyanyian nasyid tempatan.
Baru-baru ini, Inteam menganjurkan Pertandingan Nasyid Piala Inteam di Kolej Islam Antarabangsa sebagai usaha mencari pelapis dalam bidang itu.
“Dalam pertandingan ini, juara terpilih akan ditawarkan untuk merakamkan sebuah single.
“Inteam memang sedang mencari bakat-bakat baharu tidak kiralah sama ada mereka ada lagu sendiri atau tidak.
“Kepada yang belum ada single, kami akan menghasilkan lagu untuk mereka tetapi bagi mereka yang sudah ada single namun kurang berkualiti, kami akan bantu untuk merakamkan semula di studio kami.
“Setiap lagu kami akan satukan dalam sebuah album kompilasi dan untuk projek ini kami akan mengumpulkan 10 hingga 15 kumpulan,” kata Hazamin.
Diminta mengulas mengenai perkembangan industri nasyid, Hazamin menyedari kemunculan bakat baharu kini dilihat kurang memberi impak malah gagal mempertahankan nama dalam jangka masa yang lebih panjang.
“Memang hari ini banyak kumpulan nasyid baharu yang tampil tapi kemunculan mereka kurang mendapat perhatian peminat dan disebabkan itu juga mereka tidak mampu bertahan lama di dalam industri.
“Ada juga dalam kalangan mereka ini memiliki dan mampu menghasilkan karya yang bagus serta berkualiti namun nasib masih tidak menyebelahi mereka oleh kerana kurang pendedahan,” katanya.
Prihatin dengan keadaan itu, Hazamin turut menggalakkan bakat baharu untuk mendapatkan nasihat dan pandangan daripada mereka yang lebih berpengalaman.
“Sebagai orang yang lebih berpengalaman, kami bersedia memberi tip dan berkongsi pengalaman atau mereka boleh menyertai Munsyid Malaysia untuk berinteraksi dengan mereka yang lebih senior.
“Jika dibandingkan situasi dahulu, mungkin tidak banyak persaingan yang ada berbanding sekarang, jadi mereka seharusnya menjadi yang terbaik.
“Pada masa yang sama, sebagai anak seni, mereka tidak boleh mengabaikan imej dan penampilan agar sentiasa tampil menarik di mata masyarakat,” katanya.
Tahmid Lebaran
Beralih pada perkembangan Inteam sendiri, Hazamin memberitahu sempena menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal, mereka telah menerbitkan single lagu raya, Tahmid Lebaran yang menampilkan kolaborasi kumpulan Raihan, Hijjaz, Fareast dan Lah Ahmad.
“Kalau diikutkan, sudah lama juga kami tidak tampil dengan lagu raya yang mana kali terakhir pada lima tahun lepas.
“Kali ini kami ingin jadikan lagu raya kami lebih meriah dengan penampilan kumpulan yang lain.
“Proses rakaman dan pembikinan muzik video juga telah selesai dan Insya-Allah, menjelang Syawal nanti, lagu ini akan diperdengarkan kepada peminat,” katanya.
Selain nyanyian, Inteam yang sibuk menguruskan syarikat mereka sendiri iaitu Inteam Marketing Sdn Bhd setelah memiliki Inteam Records dan Inteam Publishing.
“Di bawah Inteam Marketing, kami  telah mengeluarkan produk kesihatan iaitu Miracle Oil dan Iqismis.
“Miracle Oil adalah pati minyak Habbastus Sauda tanpa campuran. Alhamdulillah, ia telah terjual melebihi 10,000 botol.
“Kegunaannya yang pelbagai serta kualitinya yang dijamin asli menyebabkan produk itu laris dalam masa singkat.
“Insya-ALLAH produk lain bakal menyusul di bawah label Inteam Marketing, antaranya pakaian dan minyak wangi,” katanya.