KULIM - Gerai buah-buahan di Taman Mutiara, Sungai Kob, di sini, menjadi tumpuan pelanggan bukan untuk mendapatkan buah sebaliknya membeli jus tembikai berharga 50 sen.
Norhanisah Ghazali, 31, berkata, perniagaan jus tembikai itu telah diusahakannya sejak Ramadan tahun lalu dengan niat menjual sambil beramal.
“Namun tahun lepas saya hanya menjual 600 bungkus jus tembikai, pada kali ini ia meningkat kepada 1,000 bungkus setiap hari untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, walaupun jumlah bungkusan bertambah namun kualiti jusnya tetap dijaga dan hanya menggunakan air mineral yang dibeli di pasaraya.
“Saya tak mahu nanti orang cakap jual harga murah tapi menipu, saya berniaga dengan ikhlas dan niat untuk beramal,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga berkata, malah pada tahun ini dia terpaksa mengupah seorang pembantu dan berharap rezeki yang diperoleh menjual jus itu dapat dikongsi dengan orang lain.
Dalam pada itu, seorang pelanggan Suhaila Sharafudin, 42, berkata, harga jus yang ditawarkan adalah murah.
“Saya datang dari Sungai Kob untuk dapatkan jus ini walaupun terpaksa menunggu giliran tapi saya tak kisah kerana ia sedap malah murah.
“Hari ini saya beli enam bungkus untuk dihidangkan kepada ahli keluarga saya ketika berbuka puasa nanti,” katanya.