LEWAT tahun 1980-an, nama Ali sudah mula meniti di bibir peminat seni hiburan tempatan. Ali bersama kumpulannya Terra Rosa berjaya meletakkan nama mereka sebaris dengan kumpulan popular ketika itu seperti Search dan Wings.
Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail sebenarnya memang sudah aktif menyanyi di kampungnya, Klang, Selangor. Mana-mana kenduri kahwin, dialah akan menjadi penyanyinya.
“Waktu tu, saya tidak ada kumpulan pun. Kalau ada band panggil, saya pergi sahaja sebab memang suka menyanyi.
“Macam tu juga kalau ada pertandingan Battle of The Band, saya akan masuk mana-mana kumpulan yang tak ada vokalis,” katanya.
Namun, selepas memenangi Battle of The Band beberapa kali, Ali bersama kawan-kawannya berhasrat melangkah lebih jauh lagi.
“Kami berangan nak jadi artis rakaman. Lagipun, dua kawan saya boleh cipta lagu. Lepas menang pertandingan itu, kami dilamar syarikat rakaman CBS.
“Selepas tanda tangan kontrak, kami menunggu. Senarai lagu juga kami dah beri. Agak lama kami menanti. Tapi, tak ada berita. Kami cuba lagi masuk pertandingan yang sama, apabila diumum pemenang, kami disunting pula oleh syarikat FGM. Selepas berbincang dengan CBS, kami dilepaskan. Lagu-lagu yang kami beri pun, kami ambil semula,”  katanya.
Bermulalah episod Ali dan temannya merakam lagu untuk album pertama mereka. Album pertama Epigoni memuatkan lagu-lagu hebat mereka, antara yang paling mendapat sambutan adalah Bunga Angkasa.
Lagu ini berjaya menambat hati pendengar dan mendapat perhatian ramai.
“Usaha kami berhasil. Lagu tu meletop di corong radio hingga hampir dua bulan menjuarai carta.  Cuma, ketika itu kami guna nama ‘No Nama’ sebab kami memang tiada nama khusus lagi.
“Apabila pihak syarikat rakaman minta kami fikir nama lain, mulalah kami gelabah. Kami duduk semeja, buka kamus dan cari nama yang sedap. Akhirnya nama Terra Rossa kami ambil. Tapi tu tak ada dalam kamus Bahasa Inggeris pun. Nama tu kami ambil daripada perkataan Brazil yang bermaksud 'tanah yang subur'.
“Nama tu kami gunakan sebagai nama pentas kami,” katanya yang bernaung dengan syarikat Pony Canyon selepas setahun bersama syarikat rakaman FGM.
Hampir lima tahun bersama Terra Rossa, banyak persembahan pentas yang mereka lakukan bersama.
Tarik diri
Asam garam berkumpulan, pasti ada pasang surutnya. Ali menarik diri daripada kumpulan yang mempopularkan namanya itu setelah bersama selama lima tahun.
“Banyak masalah dalaman kami ketika itu. Hala tuju kami juga tidak menentu. Dalam satu kumpulan memang tidak boleh ada dua atau tiga ketua.
“Apabila perkara begitu berlaku, daripada masalah kecil, boleh jadi besar. Kerana itu, saya tarik diri. Saya ambil keputusan untuk bergerak secara solo.
“Alhamdulillah, dengan disiplin yang saya pegang sejak awal pembabitan, serta sedar, inilah periuk nasi saya, perjalanan kerjaya saya begitu baik sekali,” katanya.
Setahun bergerak secara solo, Ali sekali lagi disunting, kali ini menjadi vokalis untuk kumpulan XPDC.
“Masuk kumpulan ini, saya gunakan kesempatan yang ada, lagi pula, kumpulan ini mempunyai peralatan lengkap untuk sesi latihan. Saya akan buat latihan sebelum apa-apa persembahan. Itulah prinsip saya.
“Peminat pun boleh nampak kami semakin solid dan matang. Selain itu, sebelum persembahan, kita perlu buat ‘soundcheck’ untuk memastikan persembahan kita berjaya,” tambahnya.
Katanya, dalam pada mengecap kejayaan dengan persembahan pentas, XPDC dan dirinya turut dilanda kontroversi terutamanya dalam sebuah album Konsert Raksasa XPDC hingga mereka dikecam.
“Kami menjadi mangsa keadaan apabila persediaan untuk merakam lagu telah dicemari dengan kesilapan teknikal syarikat rakaman.
“Atas kesilapan itu, kami diminta berguru dengan orang muzik untuk memantapkan kefahaman kami. Orang itu adalah Datuk Ramli MS. Banyak yang kami belajar daripada beliau,” katanya yang bersama XPDC selama lapan tahun.
Disambut bak kenamaan
Bercerita pengalaman mengadakan persembahan, Ali berkongsi saat mereka diundang ke Brunei Darussalam.
“Sampai di lapangan terbang, ada bunyi kompang. Kami toleh ke belakang, tengok kalau-kalau ada orang kenamaan yang lalu sama masa dengan kami.
"Tapi, tak nampak, dan wakil penganjur di sana beritahu itu untuk menyambut kami. Tidak habis terkejut dengan kompang, terkejut lagi kerana ada kereta limousin yang bawa kami ke hotel. Mewah betul rasanya. Jakun kami dibuatnya. Tak sangka kami dilayan sampai macam itu sekali,” katanya.
"Kami memang selalu dijemput ke fun fair. Kalau persembahan korporat tu ada lah juga, Cuma pengalaman di Brunei tu memang tak akan dilupakan," tambahnya.
 Kini, Ali masih aktif di pentas persembahan walaupun sudah berubah penampilan. Baginya, ada banyak cara untuk menyampaikan dakwah.
"Hidup kita hanya sementara, jadi persiapkanlah diri kerana dunia sudah tidak lama," katanya.