SEJAK awal menubuhkan kumpulan, lima anak muda ini sudah memasang mimpi berharap kehadiran mereka diterima dalam arena industri seni tempatan. Walaupun bermula sekadar suka-suka, tetapi kesungguhan mereka membuahkan hasil.
Buktinya, lagu Sudah Ku Tahu masih mendapat sambutan biarpun sudah tiga tahun lagu itu mula diperkenalkan.
"Ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan. Populariti hadir tanpa diduga. Sehingga hari ini ia masih diterima baik malah menjadi fenomena luar biasa.
"Ia menjadi viral dan dinyanyikan oleh ramai orang," kata pengasas kumpulan yang dikenali sebagai Angah.
Angah yang merupakan gitaris kumpulan ini mengakui kejayaan mereka sekarang adalah rezeki besar buat mereka.
“Alhamdulillah, kami memang tidak pernah menjangkakan kejayaan seperti ini. Siapa sangka, bermula dengan sekadar suka-suka, akhirnya lagu ini membawa nama kami ke satu tahap yang lebih baik.
“Terima kasih kepada mereka yang benar-benar menghargai karya kami sehingga menjadi trend dan viral sekaligus membolehkan kami mengukir nama di arena muzik di arus perdana,” katanya kepada Zass, baru-baru ini.
Biarpun nama Projector Band naik secara mendadak, Angah menegaskan mereka tidak mahu cepat lupa diri dan sentiasa akan berpijak di bumi nyata.
“Sebenarnya sebelum Projector Band ditubuhkan, saya memilih setiap anggota kumpulan bukan hanya menilai pada kehebatan mereka bermain alat muzik tetapi juga atas disiplin dan sikap mereka.
“Semua itu penting dalam sesebuah kumpulan kerana itulah asas untuk kami bertahan dan juga menjaga nama baik kami sepanjang menjalani karier ini.
“Untuk menubuhkan sesebuah kumpulan mungkin mudah, tetapi untuk bertahan adalah sebaliknya dan itu saya cuba pertahankan,"  katanya.
Katanya, sejauh mana pun kejayaan diraih, mereka tidak mahu lupa diri atau sombong kerana percaya apa yang kami peroleh pada hari ini hanyalah pinjaman daripada ALLAH SWT.
Platform kembang kerjaya
Lebih membanggakan, tuah single pertama itu tidak hanya memperkenalkan nama Projector Band semata-mata, tetapi menjadi platform meletakkan karier mereka ke satu tahap yang lebih baik.
Tidak mengambil masa lama, kemunculan pertama mereka itu berjaya melayakkan kumpulan ini berada di carta teratas dalam program Muzik Muzik biarpun baharu dicalonkan beberapa minggu lalu.
“Semuanya macam mimpi! Bayangkan, sebelum bergelar artis, kami adalah peminat setia program itu dan juga Anugerah Juara Lagu. Sekarang, kami sendiri yang tercalon.
“Tidak ada apa yang boleh kami katakan, cuma bersyukur,” katanya teruja.
Di sebalik kejayaan itu, Angah tidak menafikan timbul rasa tertekan dalam menghasilkan karya yang seterusnya.
“Tipulah kalau saya tidak rasa tertekan kerana saya yang mencipta lagu untuk kumpulan ini. Tetapi selagi saya dan rakan-rakan lain melakukan yang terbaik, itu sudah cukup buat kami berpuas hati," katanya.
Tambahnya, jika karya akan datang menjulang nama mereka lagi, itu merupakan bonus dan jika tidak, Projector Band akan terus berusaha lakukan yang terbaik.
Selari dengan populariti yang diraih, Projector Band turut tidak terkecuali daripada terkena tempias kritikan dan juga kontroversi.
“Perkara seperti ini memang kami sudah jangkakan, tidak semua orang suka dengan apa yang kita buat dan kami sendiri tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.
“Tetapi segala kritikan itu kami ambil dan pandang daripada sudut positif untuk lebih mematangkan kami dalam bidang ini,” katanya.