SELEBRITI 
ini mula mencipta nama dalam bidang penyiaran sejak menjuarai program realiti televisyen, Malaysian Top Host pada 2005.
Rentetan itu, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain terus positif membina kerjayanya sehingga berjaya menjadi wartawan dan pengacara terkenal di TV3.
Bagaimanapun, ketika di puncak karier, Nurul Syuhada Nurul Ain atau lebih mesra disapa sebagai Nurul memilih untuk berehat sekitar tahun 2012.
Situasi itu terus berlanjutan sehinggalah isteri kepada Raja Amir Syah Raja Azwa ini dikurniakan sepasang cahaya mata kembar, Raja Abdul Mateen dan Raja Nour Emaan, kira-kira dua tahun lalu.
"Selain menyambung pengajian, tujuan saya berehat adalah untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada keluarga.
"Lagi pula, saya ingin membesarkan sendiri anak kembar saya.
"Dan... kalau boleh, saya tidak mahu langsung ketinggalan akan setiap detik istimewa ketika membesarkan mereka," katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis Pra Tonton & Sidang Media Program Ramadan Astro 2016, baru-baru ini.
Kini, setelah dua tahun menyepikan diri daripada dunia pengacaraan, Nurul kembali menghiasi kaca televisyen menerusi rancangan terbaharu, Salam Duha.
Tanpa berselindung, wanita kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini mengakui teruja apabila diberi peluang untuk kembali beraksi di hadapan kamera dan menyampaikan informasi kepada masyarakat.
"Salah satu sebab kenapa saya menerima tawaran untuk kembali mengacara adalah kerana anak-anak.
"Alhamdulillah, anak-anak saya kini semakin membesar. Mereka sudah berusia setahun lapan bulan. Lagipun, ada pengasuh yang akan jaga mereka sewaktu saya bekerja," katanya.
Meskipun begitu, jauh di sudut hati Nurul, turut terselit perasaan bimbang dan curiga untuk muncul kembali di kaca televisyen.
"Kadang-kadang, timbul juga rasa kurang yakin dalam diri saya.
"Terlintas juga di fikiran ini apakah kemunculan semula saya masih mampu menarik minat penonton seperti dahulu ataupun sebaliknya," katanya.
Pada masa sama, selebriti berusia 32 tahun ini mengakui minat terhadap bidang kewartawanan dan pengacaraan tidak pernah luntur daripada jiwanya.
Lebih beruntung lagi, Nurul juga mendapat restu daripada suaminya untuk kembali bekerja.
"Apa yang paling penting, suami sudahpun memberi izin kepada saya untuk bekerja semula. Alhamdulillah.
"Jujurnya, suami saya tidak ada masalah kerana dia sentiasa menyokong setiap apa yang saya lakukan.
"Asalkan, saya tahu membahagikan masa di antara kerja dan keluarga," katanya.
Atas dasar itu juga, Nurul mengakui tidak bersedia untuk kembali terikat dengan mana-mana stesen televisyen seperti dahulu.
"Saya selesa melakukannya secara 'freelance' kerana jadualnya yang lebih fleksibel,” katanya.
Akui kekok
Menyentuh mengenai program terbaharu kendaliannya, Salam Duha, Nurul menambah, ia adalah sebuah program bual bicara yang menjadi platform untuk menyampaikan berita atau informasi Islamik serta aktiviti komuniti Muslim di serata dunia.
"Program ini memaparkan aktiviti dan informasi terkini mengenai perkembangan agama Islam yang berlaku di serata dunia.
"Ia kemudiannya akan dikupas dengan lebih lanjut terutamanya mengenai aktiviti keagamaan dan pelbagai produk Islamik yang menarik," katanya.
Biarpun pernah mengacara beberapa program besar seperti Nona dan Majalah 3, Nurul bagaimanapun mengakui agak kekok ketika di awal penggambaran.
"Ini adalah penampilan pertama saya di kaca televisyen selepas dua tahun berehat. Ia juga merupakan program pertama saya bersama Astro.
"Dahulu, saya sering mengendalikan program berbentuk bual bicara, dalam Salam Duha pula, saya beraksi di studio yang menggunakan teknik ‘green screen’.
"Awalnya, saya agak kekok tetapi lama-kelamaan, semuanya berjalan dengan lancar," katanya.
Salam Duha akan bersiaran pada setiap Sabtu dan Ahad, pada jam 8 pagi di Astro Oasis (saluran 106), sepanjang bulan Ramadan ini.
Sebelum ini, Nurul pernah terlibat sebagai juri jemputan bagi program Ikon Siarawan 2016 selain dilantik sebagai Duta Ariani pada tahun 2015.
Dalam perkembangan lain, Nurul bakal terlibat sebagai pengacara dalam program Malaysia Hari Ini (MHI) yang bakal ditayangkan sempena Aidilfitri nanti
.