Monday, October 12, 2015

Mia Wasikowska semakin cipta nama



Mia Wasikowska
Mia Wasikowska
SEBELUM terlibat dalam bidang lakonan, aktres cantik, Mia Wasikowska merupakan seorang penari balet sejak berusia sembilan tahun lagi.

Bagaimanapun, lima tahun kemudian, aktres kelahiran Canberra, Australia itu memutuskan untuk berhenti menari dan mencuba satu bidang seni yang baharu.
 
"Satu ketika dulu, ketika berada di sekolah tari,  saya boleh berlatih sehingga 35 jam seminggu.

"Namun, keinginan terhadap tarian itu sudah mulai berkurangan ketika saya mula berusia 14 tahun. Situasi itu memaksa saya mencuba suatu bidang baharu," katanya.

Wasikowska akhirnyamencuba bidang lakonan selepas mendapat tawaran membintangi siri televisyen (TV), All Saint pada 2004. Pada awalnya, dia banyak membintangi siri TV dan filem Australia seperti Suburban Mayhem (2006), Lens Love Story (2006), Rogue (2007) dan I Love Sarah Jane (2008).

Selepas berjaya di negara kelahirannya, Wasikowska mengambil keputusan  melebarkan sayap ke Amerika Syarikat selepas terpilih untuk membintangi siri TV,  In Treatment terbitan HBO.

Keadaan itu memaksanya berpindah ke Los Angeles sementelahan lagi dia ditawarkan berlakon filem Defiance (2008), That Evening Sun (2009) dan Amelia (2009).

Popular kerana Alice?

Populariti Wasikowska mula mencanak naik selepas dipilih menjayakan watak Alice menerusi filem Alice In Wonderland (2010) yang diarahkan oleh Tim Burton.

"Selepas tiga kali menjalani sesi uji bakat bersama Tim, akhirnya saya dipilih memegang watak itu," katanya.

Filem itu memberi peluang kepada Wasikowska bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Johnny Depp, Helena Bonham Carter dan Anne Hathaway.

"Mereka semua sangat menyenangkan, bahkan saya tidak berasa kekok  berlakon bersama. Ia adalah satu pengalaman berharga dan indah," katanya.

Pun begitu, Wasikowska sempat melahirkan kembimbangan sekiranya tidak berjaya membawakan watak Alice dengan berkesan.

"Watak Alice itu sendiri sudah kukuh dan memiliki peminatnya sendiri. Sudah tentu, mereka mempunyai idea tersendiri tentang karakter tersebut.

"Itu sangat menakutkan saya. Tapi, saya dan Tim sudah berbincang akan hal ini dan mencuba membawa karakter itu dengan cara saya sendiri," katanya.

Malah, Wasikowska kini bakal kembali menjadi Alice selepas bersetuju membuat sekuelnya, Through The Looking Glass yang dijangka ditayangkan pada Mei 2016.

Biarpun sudah popular, dia  tidak begitu menggemarinya sebaliknya lebih senang  merendah diri.

“Biarlah hanya nama saya yang disiarkan tanpa mengenali saya. Bekerjalah secara bijak.

Selepas membintangi filem itu, dia menerima pelbagai tawaran filem lain seperti The Kids Are All Right (2010), Jane Eyre (2011),Restless (2011), Albert Nobbs (2011), Lawless (2012), The Turning (2013), Stoker (2013), Only Lovers Left Alive (2013), Tracks (2013), The Double Hannah (2013), Maps to The Stars (2014) dan Oscar Wilde’s The Nightingale and The Rose (2014).

Jadi penulis muda

Dalam perkembangan lain, Wasikowska akan membuat kemunculan dalam filem terbaharunya, Crimson Peak.

Pengarahnya, Guillermo del Toro memberitahu filem itu mendapat inspirasi daripada filem gothic klasik seperti The Innocents dan Rebecca.

Crimson Peak mengisahkan  kehidupan penulis muda bernama Edith Cushing (Wasikowska), yang baharu mengetahui suaminya, Sir Thomas Sharpe (Tom Hiddleston) kurang normal.
Keadaan itu menyebabkan berlakunya kejadian yang mengejutkan seterusnya membuka satu rahsia besar. Apakah yang berlaku? Nantikannya di pawagam mulai 15 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: