Wednesday, October 14, 2015

‘Mereka hero tak didendang’



‘Mereka hero tak didendang’
Zulkiply (berdiri, tengah) dan Mohamad (berdiri, dua kiri) bersama sukarelawan Home Help yang menyertai Seminar Home Help Peringkat Zon Selatan Tahun 2015.
TELOK KEMANG – Seramai 1,961 sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) aktif melibatkan diri dalam program Home Help iaitu menyediakan perkhidmatan sokongan sosial kepada 6,583 orang klien JKM di seluruh negara.
Ketua Pengarah JKM, Datuk Zulkiply Ramli menyifatkan, semua sukarelawan JKM termasuklah sukarelawan Home Help adalah 'hero tak didendang'.
Menurutnya, Home Help mula dilaksanakan sejak 2012 dan sukarelawan ini berperanan untuk memberi perkhidmatan sokongan sosial kepada klien JKM yang terdiri daripada golongan warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
"Sudah namanya sukarelawan, mereka bergerak secara sukarela tapi sangat konsisten bersama JKM dalam menyumbangkan tenaga untuk membantu warga emas serta OKU di kawasan kediaman masing-masing,” katanya selepas merasmikan Seminar Home Help Peringkat Zon Selatan Tahun 2015 di Resort PNB Ilham, kelmarin.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Komuniti JKM, Zulkifli Ismail dan Pengarah JKM negeri, Mohamad Hapil.
Zulkiply berkata, komitmen ditunjukkan mereka membolehkan JKM berjaya mencapai Petunjuk Pencapaian Utama (KPI) yang ditetapkan oleh kementerian.
"Sasaran KPI tahun lalu adalah untuk mencapai 1,500 orang klien baharu dan JKM berjaya mencapai sasaran sebanyak 148 peratus. Sehingga Disember 2014, JKM berjaya mencapai sejumlah 2,227 klien baharu membabitkan 1,580 warga emas dan 647 OKU.
"Pencapaian yang melebihi sasaran ini membuktikan program ini telah diterima baik oleh masyarakat dan menjadikan ia sebagai program teras dalam sektor komuniti," katanya lagi.
Dalam pada itu, tambah Zulkiply, melalui program Home Help, JKM juga dapat menjimatkan peruntukan kerajaan hampir RM33.9j uta setahun.
"Ini kerana kos untuk melaksanakan Home Help hanyalah sebanyak RM390 seorang sebulan sedangkan kos untuk seorang warga emas di Rumah Seri Kenangan adalah sebanyak RM1,542 sebulan dan RM1,900 untuk seorang OKU yang menetap di Taman Sinar Harapan.
"JKM juga sedang mengorak langkah mewujudkan kerjasama dengan syarikat korporat untuk menyediakan dana kos operasi program ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: