Saturday, October 10, 2015

Legasi Mel Wings


Legasi Mel Wings

DARAH seni yang mengalir dalam tubuh Mel atau nama sebenarnya, Ismail Zainuddin ternyata tidak disia-siakan apabila salah seorang anaknya mengambil keputusan untuk mengikut jejak langkah bekas vokalis Wings itu.
Anak lelakinya, Iqwal Hafiz Ismail atau lebih dikenali sebagai Ewal merupakan penyanyi yang menduduki tangga ketiga dalam program realiti Akademi Fantasia 2014.
Bahkan, siapa sangka, anak bongsu daripada dua beradik itu juga sebenarnya sudah terdedah dalam bidang muzik sejak berusia dua tahun lagi!
"Biasalah, dalam sesebuah keluarga, apabila orang tuanya sudah terjebak dalam bidang seni pasti ada salah seorang anak akan mengikut.
"Saya tidak kisah dengan keputusan Ewal untuk bergelar penyanyi kerana itu adalah minatnya," katanya kepada Zass.
Bagaimanapun, kata Mel, sebagai bapa sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memberi teguran dan nasihat agar anaknya itu menjadi insan yang selamat di dunia dan akhirat.
"Ya, sememangnya bidang nyanyian adalah karier dia. Tetapi, pada masa sama, hubungan kita dengan ALLAH SWT juga perlu dijaga. Umpamanya solat lima waktu.
"Saya selalu menasihatkan dia, apa jua yang dibuat, sentiasalah ingat pada Tuhan dan apabila berbuat silap, segeralah bertaubat," katanya.
Positif dengan bakat yang dimiliki Ewal, Mel turut berpendapat anaknya itu mampu untuk ‘pergi’ lebih jauh dalam bidang seni.
"Insya-ALLAH, perjalanan karier seninya masih lagi panjang dan akan lebih cemerlang kelak.
"Tambahan pula, dia seorang yang rajin dan sangat mendengar kata," katanya.
Dalam pada itu, Mel mengakui semakin selesa menjalani kehidupan sebagai pendakwah selepas mengambil keputusan berhijrah kira-kira 20 tahun lalu.
Namun, itu tidak bermakna dia ‘membuang’ jauh bidang nyanyian, sebaliknya memanfaatkannya dengan cara yang lebih baik.
Tidak hanya itu, perubahan penyanyi yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu juga dilihat menerusi penampilan, akhlak dan tutur kata yang lebih bersopan dan sederhana.
"Alhamdulillah, saya lega dengan jalan yang dipilih. Kini, saya sibuk memenuhi pelbagai undangan berceramah di tempat-tempat umum termasuklah jemputan daripada agensi kerajaan di seluruh negara.
"Dalam setiap undangan itu, selalunya saya akan masukkan dengan pakej menyanyi sekali.
"Walaupun undangan bukanlah kerap, tetapi saya tetap bersyukur dengan rezeki yang ada," katanya.
Pun begitu, ekoran keadaan kesihatan yang tidak menentu sekali gus membataskan pergerakan penyanyi berusia 49 tahun itu.
Situasi itu sekali gus mengundang perit buat keluarganya apatah lagi isterinya, Rose Maini Othman tidak berkerja.
"Selepas terkena serangan strok, akhir tahun lalu, saya terlantar hampir lima bulan. Kini, saya didiagnosis pula menghidap penyakit jantung.
"Sakit itu satu nikmat, bahkan saya percaya dan yakin melalui musibah tersebut ada pengampunan dosa dari ALLAH SWT," katanya.

SH: Bangga dengan Wings

Biarpun hanya seketika, Mel bertuah kerana berpeluang ‘mencurah’ bakti kepada Wings sekitar tahun 1995 dan 1996 sehingga menghasilkan sebuah album, Orang Asing.
Lebih manis, album yang menampilkan pelbagai lagu popular seperti Ranjang Mawar, Lena Diulit Intan, Semalam Yang Hangat dan Rayuan Terakhir itu berjaya terjual lebih 150,000 unit.
"Wings merupakan satu kumpulan muzik yang besar dan terkenal. Mereka ini legenda.
"Dan kerana itu juga, saya merasakan cukuplah dengan menjadi anggota Wings meskipun saya ada mendapat tawaran lain daripada kumpulan muzik lain.
"Cukuplah sekadar saya dan Wings," katanya.
Pada masa sama, Mel turut bangga dengan kejayaan yang telah dikecapi Wings sehingga ke hari ini.
Oleh itu, Mel  akan ‘turun padang’ meraikan sambutan ulang tahun ke-30 Wings menerusi Konsert 30 Tahun Wings yang bakal diadakan di Stadium Merdeka pada 31 Oktober ini.
Kali terakhir, kolaborasi di antara Mel dan Wings dapat dilihat menerusi konsert Wings Opera Hidup Rockestra di Istana Budaya pada 2011.
"Insya-ALLAH, saya bakal menyanyi nanti semata-mata untuk memeriahkan lagi konsert itu.
"Lagipun, ia adalah tanda sokongan dan penghargaan kerana saya pernah bersama Wings satu ketika dahulu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mel kini muncul dengan album solo terbaharunya, Keampunan yang diterbitkan oleh Sufi Kecil Production dan diedarkan oleh Inteam Records serta Sony Music.
Kata Mel, album yang berkonsepkan spiritual ini menceritakan perjalanan seorang hamba ALLAH SWT dalam mencari keredaan-Nya.
"Album ini lebih berbentuk kesedaran dalam diri seseorang bagi memohon keampunan seterusnya bertaubat kepada ALLAH SWT.
"Alhamdulillah, album ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan terutamanya menerusi online sejak dipasarkan dua bulan lalu," katanya.
Keampunan memuatkan 12 lagu iaitu Keampunan, Ulama Ikutan, Dunia Baru,
Menagih Kasih, Perjuangkan Kasih Sayang, Tuhan, Agungkan Tuhan, Huru Hara, Kembalinya Pasti dan Mankind.
Tidak cukup dengan itu, album ini turut memuatkan dua lagu duet iaitu Kasih Sayang (feat Hasnul Diwani) dan Rasul Pilihan (feat Sham Kamikaze).
"Uniknya, semua lagu itu disampaikan dalam muzik santai ditambah dengan liriknya yang cukup syahdu, terus dan tepat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: