
SELEPAS melakar kejayaan menerusi filem adaptasi Ombak Rindu, pengarah Osman Ali akan kembali dengan sebuah lagi karya meruntun jiwa berjudul Langit Cinta.
Bezanya, filem Osman kali ini akan diadaptasi ke novel setelah siap penggambarannya. Kebiasaan sebelum ini, kita sering mendengar filem daripada adaptasi novel ke filem, tetapi kali ini berbeza pula.
Filem yang dijangka ditayangkan pada awal tahun hadapan ini telah memberi kepercayaan kepada penulis Alaf 21 Sdn Bhd, Damya Hanna untuk merealisasikan skrip filem kepada satu naskhah novel.
Mengulas bagaimana dia boleh memilih Damya Hanna untuk menghasilkan novel bagi filemnya itu, Osman memberitahu, beliau sangat menyukai cara penulisan Damya Hanna.
“Sebelum ini juga, saya pernah bekerjasama dengan penulis itu dan yakin kebolehannya dapat menghasilkan novel Langit Cinta yang terbaik.
“Saya juga antara peminat novel Damya Hanna seperti Bicara Hati dan Sepi Tanpa Cinta. Daripada pembacaan itu, jalan cerita dan garapan yang menarik telah menarik minat saya untuk memilihnya sebagai penulis novel filem ini.
“Saya percaya, Damya Hanna adalah pilihan tepat dan yakin dia dapat menggarap filem ini dalam bentuk novel dengan baiknya,” katanya kepada Zass.
Osman turut mengakui yang percubaannya untuk filem adaptasi ke novel adalah percubaan baharunya.
“Memang ini satu percubaan baharu, sebelum ini adaptasi novel ke filem, namun kali ini saya mahu buat kelainan dan berharap formula baharu ini dapat diterima penonton dan peminat novel.
“Tambahan, filem ini nanti akan ditayangkan selepas novel Langit Cinta diterbitkan dan berada di pasaran beberapa minggu sebelum tarikh tayangan.
“Justeru itu, pembaca yang sudah membaca novel secara tidak langsung akan teruja untuk menonton filem Langit Cinta itu pula,” katanya.
Osman menggarap Langit Cinta dengan mempertaruhkan artis seperti Keith Foo, Fazura, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Datuk Jalaluddin Hasan, Farid Kamil dan Siti Saleha.
Filem terbitan bersama Astro Shaw dan Alaf 21 ini mengisahkan percintaan antara dua darjat. Alif Zulkarnain (Keith Foo) yang berasal daripada sebuah keluarga berada sanggup melepaskan segala-galanya demi cintanya terhadap seorang gadis desa, Khadijah (Fazura). Namun, cinta suci mereka ditentang oleh keluarga Alif lalu memisahkan ikatan mereka sebagai suami isteri.
Khadijah terpaksa berjiwa kental untuk berdepan dengan pelbagai dugaan hidup meskipun Alif tiada di sisi. Di saat Khadijah hampir putus harapan pada cinta Alif, Budiman (Farid Kamil) menawarkan dirinya bagi merawat luka di hati Khadijah.
Cabaran baharu
Novelis terkenal, Damya Hanna pula pastinya berasa teruja apabila diberi kepercayaan untuk mengadaptasi filem Langit Cinta yang dijangka menemui penonton hujung tahun ini, ke dalam naskhah novel.
Mengakui adaptasi skrip filem ke novel adalah pengalaman baharu bagi dirinya, namun ia bukan penghalang untuk menggarapnya ke bentuk novel kerana jalan cerita sudah tersedia.
Novelis berusia 33 tahun ini juga mengakui satu cabaran baharu bagi dirinya untuk memanjangkan penceritaan daripada 90 muka surat kepada lebih 580 muka surat novel.
“Sebelum ini jika saya menulis, saya bebas tulis apa sahaja idea sendiri, tetapi kali ini berbeza apabila idea daripada Abang Osman dan terikat dengan skrip. Saya hanya garapnya ke bentuk novel.
“Dari segi babak, saya ambil semua berdasarkan skrip, cuma saya ubah sedikit dialog untuk disesuaikan kerana dalam novel perlu ada kesinambungan. Misalnya satu minit babak wayang saya jadikan satu bab.
“Ketika penggambaran filem di Pulau Tuba, Langkawi juga saya turut ke sana bagi melihat sendiri suasana dan babak utama dijalankan agar memudahkan proses penulisan novel,” katanya
Mengulas mengenai watak pula kata Damya Hanna, memang sedikit mencabar apabila perlu mencipta watak daripada idea orang lain, namun segalanya diatasi dengan baik.
“Memang watak juga terikat dengan skrip, namun saya ada kembangkan lagi watak itu untuk disesuaikan dengan novel.
“Tetapi segala penambahan itu saya maklumkan kepada pihak pengarah dan penerbit. Mereka juga bersetuju dengan penambahan itu,” katanya.
Tambahnya, kini novel itu telah siap sepenuhnya, hanya tunggu proses suntingan pihak penerbit Alaf 21.
“Mungkin akhir bulan Oktober ini atau awal bulan 11, novel ini akan berada di pasaran,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: