Friday, December 13, 2013

Ultra FM guna lima selebriti jadi deejay


Fizi, Mon Ryanti, Sharifah Shahirah, Jimmy Shanley dan Mamat menjadi peneraju Ultra FM yang berfrekuensi melalui gelombang 101.3 FM.


STESEN radio tempatan berkembang lagi dengan kehadiran satu lagi stesen baharu yang dikenali sebagai Ultra FM yang berfrekuensi melalui gelombang 101.3FM.
Hanya beroperasi sekitar Lembah Klang, Ultra FM menampilkan lima selebriti terkenal tanah air iaitu Jimmy Shanley, Mamat Sepah, pelakon Mon Ryanti, pelawak Sharifah Shahira dan pendatang baharu Fizi.
Menurut Pengurus Saluran Ultra FM, Mira Sakhia Shamsuddin, pemilihan penyampai dibuat berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang tersebut dan juga kemampuan dalam menghiburkan pendengar.
"Sebagai stesen radio baharu, pembabitan selebriti-selebriti tersebut dilihat mampu membantu stesen radio Ultra FM menarik perhatian pendengar.
"Sebagai contoh, pemilihan Jimmy dan Mamat untuk kendalikan segmen Ultra 6-10 yang ke udara setiap hari pukul 6 hingga 10 pagi. Jimmy memang seorang penyampai radio manakala Mamat seorang pelawak.
"Kerjasama kedua-duanya mampu menceriakan pendengar, malah pada masa sama memberi pendedahan terkini mengenai isu semasa," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran stesen radio berkenaan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.
Bercerita lebih lanjut, Mira memberitahu, Ultra FM merupakan radio di bawah syarikat Copyrite Laureate Sdn. Bhd.
"Ia mula beroperasi sejak bulan Mac lalu dan kontinya bertempat di sebuah lot kedai di Jalan Pahang, Kuala Lumpur," katanya lagi.
Disoal adakah pemilihan Mamat dibuat berdasarkan kecenderungan stesen radio lain yang menggunakan pelawak sebagai penyampai sejak kebelakangan ini, Mira berkata, dia lebih tertarik dengan keinginan Mamat menjadi penyampai radio.
Bukan itu sahaja, Mira juga memberitahu, Mamat mempunyai pengalaman sebagai penyampai radio bersama Sepah di sebuah stsen radio lain sebelum ini.
Sementara itu, akui Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Noor Murad, dia memang sukakan muzik dan sudah lama menyimpan impian menjadi penyampai radio.
Bagaimanapun, jelas Mamat, dia tidak mahu menyaingi Jimmy kerana sedar pengacara itu jauh berpengalaman daripadanya.
"Atas pengalaman yang pernah saya raih sebelum ini sebagai penyampai radio bersama Sepah, saya gunakan sebaiknya dalam Ultra FM bersama Jimmy pula.
"Jimmy lebih suka berbincang isu semasa. Jadi saya cuba melawakkan atau meredakan isu yang dimainkan Jimmy. Namun, jika ia melibatkan isu-isu yang besar saya akan lebih berhati-hati ketika melawak," tuturnya.
Menampilkan konsep yang pelbagai dari segi muzik yang disajikan kepada pendengar, Ultra FM berusaha memenuhi cita rasa semua golongan merangkumi peminat muzik lama, baru, dangdut, malar segar (evergreen) yang bersesuaian matlamat Ultra FM mencintai segala genre muzik.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: