Thursday, December 26, 2013

Black Kecewa Lagu Tema Filem Nyanyiannya Gagal Popular


Black Hanifah
PETALING JAYA: Penyanyi Black terkilan apabila lagu nyanyiannya berjudul Puisi Sang Dewi yang dijadikan lagu tema filem Lemak Kampung Santan gagal mendapat perhatian.
Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md. Hanafiah, 26, berkata, promosi terhadap lagu tersebut yang diserahkan sepenuhnya kepada produksi filem itu juga tidak dilakukan dengan baik.
"Lagu ini sepatutnya hit sebelum Takkan Terpisah kerana ia sebuah lagu yang kuat dan dijangka boleh pergi lebih jauh, malangnya ia langsung tidak diketahui dan dimainkan di mana-mana radio.
"Mungkin silap kami kerana tidak buat promosi sebaliknya menyerahkan tugas tersebut kepada pihak produksi filem untuk mempromosikannya bersama filem itu," katanya kepada mStar Online.
Lemak Kampung Santan yang membariskan pelakon Hans Isaac dan Neelofa sebagai teraju utama telah menemui penonton pada 8 Ogos lalu.
Dalam pada itu tambah Black, biarpun strategi mempromosi sesebuah lagu boleh dilakukan melalui filem dan drama, namun populariti drama atau filem tersebut juga mempengaruhi 'naik turun' lagu tersebut.
Bagaimanapun dia dan pihak pengurusan 8Unit kini lebih berhati-hati dalam rangka mempromosikan sesebuah lagu baharu agar mencapai sasaran yang ditetapkan.
Selain lagu Puisi Sang Dewi sebagai lagu tema Lemak Kampung Santan, single Takkan Terpisah turut menjadi lagu tema drama berjudul Jodoh Itu Milik Kita terbitan Astro.
"Bagi saya cara mempromosi filem dan lagu adalah dua strategi yang berbeza, sayang kalau lagu tersebut bagus dan boleh hit tapi sepi begitu sahaja, kos untuk buat lagu bukan murah," katanya.
Dalam pada itu, Black berkata, dia bakal muncul dengan album kedua pada awal tahun depan yang memuatkan enam buah lagu termasuk Puisi Sang Dewi, Takkan Terpisah danTeman Pengganti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: