Tuesday, December 24, 2013

e-Book tingkat prestasi pelajar



HASLINAH HUSSIN, 12, bergenang air mata menahan sebak sebaik menerima keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga, Kuala Terengganu, Terengganu yang diumum pada 14 November lalu. Tanpa disedari air mata membasahi pipi anak bongsu pengawal keselamatan itu.
Pelajar tersebut menangis bukan kerana meraih keputusan cemerlang tetapi tidak dapat menahan kesedihan kerana gagal melakar keputusan yang membanggakan ayahnya, Hussin Ibrahim, 63, yang datang menemaninya.
Menjadi calon tercorot sekolah itu dengan memperoleh keputusan 1A, 3B dan 1C, kesedihan jelas terpancar pada raut wajah Haslinah.
Abjad-abjad tertera pada slip keputusan dilihat berkali-kali sebelum memberanikan diri untuk ditunjukkan kepada ayahnya yang setia menemaninya sejak pagi lagi. Bagaimanapun, raut wajah Hussin sama sekali tidak menunjukkan sebarang reaksi amarah. Dengan perlahan-lahan, naluri seorang ayah memujuk puteri bongsunya itu supaya tidak tertekan dengan keputusan diperoleh.
Lantas membiarkan anaknya bersama rakan lain sambil dia duduk di satu sudut memerhatikan gerak-geri mereka.
Peningkatan pelajaran
Pengawal keselamatan itu menjelaskan, dia tidak menaruh harapan tinggi terhadap anak bongsu daripada lima beradik itu yang hanya mencatat keputusan sederhana dalam pelajaran.
"Ada A dan semua mata pelajaran lulus sudah sudah memadai. Ini kerana dia hanya menunjukkan peningkatan dalam pelajaran sejak dua tahun ini.
"Anak saya ini perlu diajar berkali-kali sebab dia sukar memahami dan jika dia dapat lulus pun merupakan satu pencapaian yang sangat baik," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Biarpun menyedari anaknya memerlukan usaha berlipat ganda untuk berjaya, dia tetap menghantar puteri bongsunya menimba ilmu di sekolah.
Akui Hussin, anaknya itu bukan tergolong dalam pelajar pintar tetapi demi masa depan anaknya dia tetap menghantar ke sekolah.
"Dia seorang pelajar yang sederhana tetapi saya tetap ingin dia menuntut ilmu di sekolah setiap hari. Kena ajar banyak kali baru dia boleh faham tapi anak saya ni memang rajin," katanya sambil mengukir senyuman.

JURUTEKNIK Top IT Industries menunjukkan komponen e-Book yang digunakan murid sekolah rendah di Terengganu.


Jelasnya, dia menyerahkan kepada pihak sekolah memberi ilmu pengetahuan kepada anaknya kerana tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi.
Bagaimanapun, dia memberitahu, sejak dua tahun kebelakangan ini, prestasi anaknya semakin baik.
"Saya perasan perubahan ini berlaku sebaik sahaja sekolah memberi e-Book (buku elektronik) dan mulakan sekolah maya pada tahun 2011.
"Saya tidak begitu memahami penggunaan teknologi itu tetapi apa yang dapat lihat, setiap kali peperiksaan dijalankan, sudah kurang tanda merah pada buku rekodnya.
"Ini bermakna perubahan yang dilakukan pihak sekolah membuahkan hasil dalam meningkatkan prestasi pelajar-pelajar sekolah," ujarnya.
Menurut Hussin yang setia menemani anaknya sepanjang peperiksaan berlangsung, ketika menduduki UPSR baru-baru ini, anaknya terkena keracunan makanan dan banyak kali muntah sepanjang hari pertama.
"Sepanjang tiga hari peperiksaan berlangsung keadaan anak saya semakin baik tetapi keadaan kesihatan mengganggu tumpuannya ketika menduduki peperiksaan," katanya.
Cerita Hussin, anaknya mungkin mendapat markah lebih baik sekiranya keadaan kesihatannya tidak terjejas ketika peperiksaan.
"Kesemua mata pelajaran lulus sudah cukup baik kerana kalau tengok dia muntah hampir setiap lima minit sekali ketika menjawab peperiksaan memang kami jangka dia akan gagal.
"Alhamdulillah keputusan yang diperoleh tidak begitu mengecewakan," katanya.
Pupuk minat
Dalam pada itu, Haslinah mengakui bahawa dia bukan seorang pelajar pintar tetapi pengenalan kelas maya dan pemberian e-book membakar semangat untuk belajar.
Dia menjelaskan guru-guru di sekolah banyak membantu dengan mempelbagaikan kaedah pembelajaran meningkatkan kefahaman para pelajar.
Salah seorang daripada tiga calon SK Paya bunga yang memperoleh keputusan semua A dalam UPSR baru-baru ini, Muhammad Naim Najmi Hazre, 12, berkata, kelas maya dan e-book banyak membantunya.
"Saya berasa seronok untuk belajar dan mudah memahami apa yang diajar oleh guru," katanya.
Jelasnya, pembelajaran secara interaktif dengan menggunakan imej video dan lagu untuk mata pelajaran tertentu seperti sains menyebabkan mereka lebih mudah faham.

DARI kiri: Nurul Fatin Athirah, Muhammad Naim dan Siti Nur Suhaila Sariful Anuar yang mendapat semua A diraikan rakan-rakan di SK Paya Bunga, Kuala Terengganu.


Faham pelajaran
"Dulu cikgu perlu melukis atau tunjuk imej semasa di dalam kelas. Justeru, kami perlu membayangkan sendiri bagaimana rupa sebenar objek ditunjukkan tetapi sekarang guru hanya perlu tunjuk video dengan imej lebih cantik.
"Ia menyebabkan para pelajar lebih mudah memahami pembelajaran di dalam kelas malah tidak membosankan," katanya.
Seorang lagi pelajar memperoleh keputusan 5A, Nurul Fatin Athirah Mohd. Fauzy, 12, memberitahu, penggunaan teknologi itu banyak membantunya.
"Saya rasa seronok belajar di sekolah ini dan setiap hari saya tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke sekolah," ujarnya.
Salah seorang guru sekolah berkenaan, Zulkifli Maliki, 53, memberitahu, para pelajarnya mula menunjukkan minat kerana seronok dengan cara pembelajaran baharu yang diguna pakai itu.
"Pada masa yang sama mereka lebih fokus dan memberi tindak balas dengan apa yang diajarnya dan pelajar secara tidak langsung tidak banyak bermain dalam kelas," katanya.
Pada awal pelaksanaan kelas maya pada 2011, Zulkifli menambah, guru-guru berdepan sedikit masalah dengan sistem digunakan tetapi selepas mengikuti beberapa kursus, mereka mampu menggalas tanggungjawab diamanahkan dalam mendidik pelajar menggunakan teknologi.
"Tidak sukar sebenarnya kalau kita pandai menggunakan teknologi malah murid kelihatan lebih seronok belajar.
"Pada masa sama, para guru akan menjadi lebih bersemangat untuk mengajar apabila para pelajar menunjukkan minat terhadap pembelajaran," katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Paya Bunga, Rohaya Ibrahim, 56, memberitahu, sekolah tersebut sangat kecil dan hanya mempunyai 84 orang dengan hanya satu kelas untuk setiap darjah.
"Saya datang ke sekolah ini pada tahun 2010 dan sudah dimaklumkan mengenai sekolah ini mempunyai pelajar kurang berdisiplin.
"Memang betul apa yang dikata sebab hendak tengok kelas penuh setiap hari memang susah dengan kira-kira 70 peratus pelajar gagal hadir setiap hari," katanya ketika ditemui sempena lawatan beberapa kakitangan Intel ke sekolah tersebut baru-baru ini.
Kebanyakan pelajar sekolah tersebut terdiri daripada golongan berpendapatan rendah. Bahkan, ada antara mereka menjadikan sekolah tersebut tempat untuk meninggalkan anak-anak sementara mereka keluar bekerja.

SEORANG pelajar ketika sesi pembelajaran dalam kelas maya.


Tiada harapan
"Ada ibu bapa yang datang dari Gong Badak dan kerja di Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan mereka hanya hantar anak ke sekolah sebab tidak mahu anak mereka merayau tidak tentu hala," katanya.
Jelasnya, apabila pihak sekolah berbincang mengenai prestasi akademik anak mereka yang kurang memberangsangkan, mereka seperti tidak kisah.
Menurut Rohaya, ibu bapa pelajar terbabit hanya memberitahu bahawa anak mereka sudah tidak ada harapan untuk jadi pandai tanpa meminta pihak sekolah melakukan sesuatu untuk mengubah keadaan tersebut.
Jelasnya, ada juga ibu bapa yang bawa anak mereka keluar bekerja sehingga pukul 2 atau 3 pagi setiap hari menyebabkan anak mereka gagal hadir ke sekolah.
"Kebanyakan ibu bapa pelajar di sini merupakan penjaja dan setiap hari mereka akan bawa anak bersama sehingga awal pagi.
"Kesudahannya mereka gagal untuk bangun pagi dan kejutkan anak ke sekolah walaupun rumah mereka hanya di belakang sekolah ini," katanya sambil menunjukkan beberapa buah rumah yang kelihatan usang yang terletak selang beberapa meter dari pagar sekolah tersebut.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: