Friday, December 13, 2013

Kolumpo ujian pertama Amirul



SOALAN pertama penulis apabila kali pertama bertemu dengan pelakon bernama Amirul Ariff Abdul Wahab pada majlis tayangan perdana filem Kolumpo baru-baru ini berkisar mengenai pertalian darah dengan Johan As'ari.
Sekali imbas wajah Amirul persis Johan, adakah mungkin kalian berdua bersaudara?
Dalam nada gementar, barangkali kerana baru pertama kali dikerumuni petugas media, Amirul menjawab sambil berseloroh: "Rambut sama hitam tapi hati lain-lain, macam mana mahu terangkan sebab ini kuasa Tuhan. Mungkin saya individu ketujuh yang seiras Johan."
Bagaimanapun, tegas Amirul, 25, dia enggan disamakan dengan pelakon itu kerana bimbang faktor itu akan menjadi stereotaip dan peminat menganggap dia cuba menumpang populariti Johan atas dasar berwajah seiras.
"Saya tidak kisah disamakan dengan Johan tapi apabila terlalu ramai yang menegur saya dan menyamakan saya dengannya, saya naik rimas!
"Johan seorang pelakon yang bagus tapi saya tidak mahu dibayanginya dan boleh terjejas kerjaya serta karier saya apabila sering dibandingkan," tambahnya.
Kejutan budaya
Terpanggil untuk membuat temu bual lanjut bersama anak jati Subang Jaya, Selangor itu, Amirul memanjangkan kisah perjuangan sulungnya dalam industri hiburan tempatan.
"Asalnya saya bukan pelakon. Saya seorang krew produksi filem dan biasa terbabit dalam kerja-kerja belakang tabir seperti pereka pencahayaan dan jurukamera.
"Kemudian, dua tahun lalu saya dipaksa oleh teman baik saya untuk menghadiri sesi uji bakat bersama Sheikh Munasar untuk watak Hafidd dalam filem Kolumpo.
BERADA di samping Sharifah Amani dalam filem Kolumpo, gandingan Amirul dan Sharifah Amani mendapat pujian.


"Kata mereka, disebabkan saya malu apabila berdepan dengan kamera saya menepati piawaian karakter yang mereka cari dan syukur Alhamdulillah saya terpilih," ujarnya yang kini masih lagi bertugas sebagai tenaga produksi belakang tabir.
Pelajar lulusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam bidang perfileman itu mengakui sedang cuba menyesuaikan diri dalam atmosfera baharu dunia lakonan dan populariti yang perlahan-lahan mendakapnya.
"Perkara pertama yang saya belajar apabila memasuki industri hiburan adalah memasukkan diri dalam kelompok masyarakat semasa dan menyesuaikan dengan keadaan.
"Tapi, kelemahan saya ialah saya tidak tahu bagaimana cara untuk masuk ke dalam masyarakat, rasa janggal dan tidak yakin.
"Seperti sekarang, saya perlu menyelenggara jadual harian sendiri, hadir ke sesi temu ramah, menguruskan sesi fotografi dan banyak lagi urusan menanti. Sebab itu saya akan gemuruh kalau berdepan dengan terlalu ramai orang.
"Saya seorang pekerja filem, jadi secara lumrahnya saya seorang yang kasar. Tapi apabila memasuki industri saya perlu berlembut, saya dalam proses belajar," katanya yang menyifatkan karakter Hafidd hampir sama dengan peribadinya.
Daripada tiga buah cerita berbeza yang dipersembahkan dalam filem Kolumpo, Amirul memainkan peranan utama dalam kisah enigma seorang remaja lelaki mencari identiti dirinya sehingga bertemu dengan seorang gadis bernama Siti Nur Hayy (Sharifah Amani) yang telah mengubah perspektif pemikirannya secara total.
Kualiti hero
Rencah hidup Amirul baru bermula. Dia berpegang pada prinsip yang dipelajarinya di Aswara. Dia cuma props kepada sesebuah karya filem atau drama yang hanya menggerakkan jalan cerita.
"Tonggak utama adalah penceritaan, tidak penting sebenarnya seseorang pelakon itu. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan pandangan saya tapi bagi saya kejayaan pelakon bergantung pada kejayaan jalan cerita filem," jelasnya.
Ditanya adakah Amirul banyak mendapat bimbingan daripada bapanya yang merupakan pengkritik filem terkenal tempatan, jawab Amirul, dia lebih banyak mendapat ilmu berkenaan bidang perfileman secara kendiri.
"Untuk belajar mengenai filem, saya perlu banyak tengok filem dan banyak membaca. Mujurlah di rumah saya ada perpustakaan mini yang mengumpulkan pelbagai koleksi filem milik ayah saya.
AMIRUL masih belajar menyesuaikan diri dengan bidang lakonan.


"Kalau dulu ketika zaman persekolahan saya seorang budak nakal tapi senakal-nakal saya biasanya saya akan meluangkan masa di ruang kecil di rumah saya untuk membaca bersendirian," kata anak kepada pengkritik filem Abdul Wahab Hamzah itu.
Amirul mengakui dia tidak mempunyai kualiti hero sebuah drama tapi interpretasi hero pada pandangannya lebih merujuk pada kualiti bakat berlakon.
"Saya tiada kualiti seorang hero yang biasanya badan berotot atau mempunyai wajah tampan. Tapi bagi saya, adanya atau tiada seseorang hero bukan faktor utama asalkan mampu menyampaikan jalan cerita," kata Amirul.
Sebagai seorang pelakon yang terdahulu memasuki industri menerusi kerja belakang tabir, Amirul tetap berjaga-jaga perihal kontroversi.
Ujarnya, sama ada sedar atau tidak dia perlu mempersiapkan diri untuk berdepan kontroversi.
Katanya: "Bersedia atau tidak, kontroversi akan tetap datang apabila sampainya waktu. Saya harap pada ketika itu saya boleh menanganinya dan cuba sedaya upaya untuk mengelak kontroversi. Itu sangat tidak bagus dan boleh mendatangkan masalah mental!"


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: