• 47 Ronin

KISAH sebenar yang diolah dengan mencampurkan unsur-unsur seperti yang dilihat dalam The Lord of The Ring dengan pertempuran samurai cekal seperti filem Gladiator.

Pertempuran antara kuasa baik dan kuasa jahat menyaksikan satu kelainan yang cuba dibawa dalam filem ini di samping strategi peperangan samurai yang sangat menarik.

Aksi ilmu mempertahankan diri samurai yang di bawa oleh Keenu Reeves memberikan impak yang menarik. Pelakon terkenal filem siri Matrix itu cuba mencipta nama semula dalam filem terbaharu ini.

Dia yang sebelum ini tenggelam dengan beberapa filem seperti Man of Tai Chi dan Henrry’s Crime cuba mencipta kelainan dengan watak seorang samurai.

Selain itu gabungan kesan-kesan khas (CGI) merancakkan lagi jalan cerita dan watak antagonis dalam filem tersebut.

Beberapa aksi pertempuran watak utama dengan kuasa jahat yang mampu menjelma sebagai seekor naga dilihat seperti realiti untuk menghidupkan lagi jalan cerita tersebut.

Penghayatan Reeves dalam filem ini terbukti berjaya diterjemahkan menjadi satu lakonan yang mantap.

Watak sampingan lain seperti Hiroyuki Sanada, Tadanobu Asano tidak boleh di pandang remeh kerana hasil gandingan mereka mewarnai filem ini.

Selain aksi, filem ini turut menyelitkan kisah cinta menerusi watak Kai dan Mika yang juga merupakan salah satu kisah yang terdapat dalam legenda Jepun.

Satu cabaran besar buat pengarah Carl Eric Rinsch, bagi memastikan karyanya itu tidak membelakangi atau memutar belitkan legenda popular ini.  Juga merupakan debut filem buat dirinya, Rinsch turut mengambil risiko besar dengan mendapatkan ramai pelakon dari negara matahari terbit itu.

Kesudahan yang mengecewakan?

Selepas aksi pertempuran yang cukup hebat dan bertenaga dan hasil gerak kerja kamera, pencahayaan, kesan bunyi yang cukup mantap, penulis terasa dikecewakan pengarah pada babak pengakhiran.

Kemungkinan pengarah tidak mahu meletakkan sekual atau pengakhiran klise, maka pengarah filem meletak pengakhiran yang tidak semantap awal dan pengakhiran cerita.

Namun, tidak bermakna filem ini membosankan kerana 47 Ronin masih mampu menghiburkan penonton.

Justeru bagi mengetahui apakah pengakhirannya, jangan lupa saksikan 47 Ronin di pawagam sekarang!