• Single baharu RadhiRadhi

SUDAH lama industri tidak disajikan dengan lagu-lagu unik daripada Mohd Radhi Razali, 36, atau Radhi yang satu ketika dulu pernah menggegarkan arena hiburan seni tanah air bersama kumpulan OAG.

Susulan daripada kontroversinya dalam penyalahgunaan dadah, hinggalah kepada perceraiannya sejak beberapa tahun lalu, karier seni jejaka kelahiran Sarawak ini bagai terhenti seketika.

Tampil dengan semangat baharu berbekalkan sokongan keluarga dan rakan-rakannya dalam industri, pelantun 60s TV ini, bakal kembali dengan single terbaharunya selepas projek 3 Duda di samping Asheed Def-Gab-C dan CD Naz.

“Proses lagu ini, sudah hampir 70 peratus siap dan selepas itu akan lancarkannya pada tahun depan,” kata pengacara Switch Off ini.

Radhi berkata, single terbaharunya ini masih mengekalkan konsep muzik yang sama dibawa oleh OAG iaitu rock alternatif indie dan tidak pernah tersasar dari elemen lagu yang diterapkan  seperti sebelum ini.

“Lagu ini masih mengekalkan suntikan happy tune, catchy.

“Pastinya lagu ini akan menghiburkan seiring dengan irama alternatif yang masih digilai anak muda masa kini,” katanya.

Kahwin tahun depan?

Tinggalkan mengenai karier seninya seketika, Radhi mengakui dirinya sangat bertuah kerana dapat mendampingi seorang gadis yang sangat memahaminya, Nur Shahirah Ayu Zahiri, 19 tahun.

“Alhamdulillah, Ayu jenis yang matang dan boleh menerima setiap pandangan saya. Seperti sebelum ini, dia mula berjinak untuk memakai tudung walaupun tidak sepenuhnya.

“Tapi saya terima, biarlah dia perlahan berubah dan saya tak paksa dia. Biar dia bertudung kerana ALLAH bukan kerana paksaan saya,” katanya.

Menurut Radhi, sebelum ini Ayu sentiasa memberi sokongan dan berjaya membawa perubahan dalam dirinya untuk menjalani pemulihan di rumah Pengasih.

“Saya kagum dengan Ayu sebab dia banyak mendorong dan merubah saya. Dia jauh lebih matang berbanding usianya. Dia tak putus asa yakinkan saya yang saya boleh berubah,” katanya.

Walaupun jarak umur mereka jauh berbeza, Radhi menganggap semua itu bukanlah halangan untuk menjalinkan perhubungan.

Sikap matang Ayu yang berusaha membantu dirinya keluar dari belenggu masalah itu membuatkan hatinya terpaut pada gadis itu.

Di tebak mengenai fasa seterusnya perhubungan mereka, Radhi menyerahkan segalanya kepada ketentuan takdir. Baginya, adalah lebih penting untuknya memperbetulkan dirinya terlebih dahulu agar dapat membimbing bakal isterinya itu nanti.

Sementara itu,  Ayu yang juga ditemui bersama Radhi berkata, dia merancang berkahwin pada tahun depan memandangkan kedua-dua pihak keluarga merestui hubungan mereka.

“InsyaALLAH, jika ada jodoh, saya dan Radhi akan melangsungkan perkahwinan," katanya.

Menurut Ayu lagi walaupun bukan mudah berkawan dengan Radhi, namun dia merasa bertuah kerana penyanyi itu sudah berjaya meninggalkan tabiat buruknya itu.

“Alhamdulillah, berkat semangat yang saya berikan termasuklah dorongan daripada keluarga, dia boleh meninggalkan tabiat buruknya,” katanya.