|
KEBERANIAN memperanakkan kepercayaan diri. Kepercayaan memperanakkan enthusiasm (semangat) buat pelakon dan juga pengarah, Jehan Miskin.
Tidak kecewa jika menjadi mangsa suntingan Lembaga Penapis Filem (LPF), Jehan nekad menghasilkan drama bersiri What If musim kedua dengan lebih brutal pada bulan Ogos tahun depan.
"Saya tidak risau buat sesuatu yang mencabar diri. Saya lebih risau tidak dapat beri apa yang penonton mahukan.
"Apa yang saya peroleh menerusi Twitter, rata-rata ramai penonton What If tertarik dengan kisah brutal yang dipaparkan di setiap episod siri What If.
"Dari situ saya dapat tahu penonton suka pada sesuatu yang gila," ungkap Jehan mengenai drama seram dan suspen 13 episod, What If yang mengisahkan beberapa cerita berlainan pada setiap episod.
Kemahuan penonton itu membuatkan Jehan ingin hasilkan What If musim kedua dengan lebih ganas dan gila.
Jelas, musim pertama What If banyak babak yang dipotong LPF. Sebagai pembikin karya, Jehan akui tugasnya adalah memberikan apa yang penonton mahukan.
Malah, pelakon dan pengarah berusia 34 tahun itu juga tidak menghalang LPF memotong babak-babak dalam dramanya kerana itu adalah tugas mereka.
"Saya jumpa ramai pengkarya yang sudah malas hendak menghasilkan filem brutal sebab sudah melabur beribu ringgit tetapi babak tersebut akhirnya dipotong.
"Saya cuma fikir positif sahaja. Mana tahu ada babak-babak yang kita buat tidak dipotong. Saya akan buat selagi ia tidak melanggar nilai-nilai agama," luahnya ketika ditemui pada sesi temu bual secara eksklusif pelantikannya sebagai jurucakap produk minyak wangi, jenama Romano.
Musim kedua What If yang akan memulakan penggambaran sekitar bulan Mac 2014, masih mengekalkan Josiah Hogan sebagai watak utama manakala watak pelakon Tony Yusoff dikembalikan dalam What If 2 dengan watak lebih besar.
|
Isu besar
Jehan yang pernah mengarah untuk telefilem, dokumentari dan video korporat juga bakal menghasilkan satu lagi drama siri selepas What If 2.
Bukan cinta, aksi atau seram, drama Jehan itu akan memaparkan isu besar yang berlaku di Malaysia.
"Selepas What If, saya akan buat satu lagi siri mengenai masalah yang berlaku sekarang. Mungkin saya nampak itu sebagai masalah tetapi orang lain nampak perkara itu biasa," jelasnya yang akui sentiasa melakukan nashkah luar dari kotak pemikiran manusia.
Siri yang masih belum mempunyai tajuk itu akan dilakonkan oleh satu nama besar dalam industri lakonan tempatan.
Terikat dengan pembikinan drama bersiri juga menjadikan Jehan tidak lagi muncul di kaca TV.
Kali terakhir muncul menerusi drama bersiri Awan Dania, bagaimanapun Jehan tidak menolak jika ada watak dan jalan cerita drama bersiri yang bagus untuknya.
"Ramai peminat di Twitter yang bertanya bila saya mahu berlakon drama semula. Bukan saya tidak mahu berlakon.
"Sebenarnya, berlakon dalam sebuah drama siri memerlukan masa penggambaran selama tiga bulan. Jika saya terima tawaran berlakon bagaimana dengan syarikat saya, Mastermind Group?
"Disebabkan itu saya cuma ambil tawaran berlakon telefilem, filem dan program seperti Fear factor Selebriti sahaja tetapi jika ada watak menarik, saya akan buat," katanya yang bakal muncul menerusi filem arahan Mamat Khalid iaitu Apokalips X.
Mengulas mengenai wataknya dalam Apokalips X pula, pelakon berasal dari Pulau Pinang itu memberitahu, dalam filem tersebut dia membawa watak Kala Jengking .
Jelas Jehan lagi, filem yang memaparkan kehancuran Kuala Lumpur itu banyak memaparkan babak berlawan. Begitupun, Mamat Khalid juga ada menyelitkan nilai-nilai murni dalam filem itu.
|
Anak
Antara berlakon dan mengarah, Jehan bagaimanapun memilih yang kedua.
"Lain kepuasannya bila kita jadi pengarah berbanding berlakon. Kepuasannya macam dapat anak," kongsi Jehan lagi.
Terlanjur bercerita tentang anak pula, Jehan yang bernikah dengan wanita Korea iaitu Julie Camelia Rhee pada 4 Mei lalu juga mengakui masih merancang untuk mempunyai cahaya mata.
"Kami baru berkahwin enam bulan. Tidak merancang untuk dapatkan anak dalam masa terdekat. Kami gembira hidup berdua buat masa ini," ujarnya yang bakal pergi berbulan madu kali kedua selepas ke pulau Maldives pada bulan Ogos lalu.
Sunyi seketika tanpa sebarang kontroversi selepas berkahwin, bagaimanapun sekitar bulan Ogos lalu, Jehan berdepan dengan dugaan apabila memuat naik sekeping gambar memakai rantai di laman sosial Instagramnya.
Ramai pengikut Instagramnya menuduh Jehan memakai rantai berlambang salib, sedangkan kata Jehan, loket itu adalah lambang pengakap.
Bagaimanapun, selepas Jehan menjelaskan mengenai loket tersebut, masih ramai pengikut yang tidak berpuas hati. Lantaran itu, dia mengambil keputusan akan memadam komen tersebut atau menghalang pengikut tersebut terus akses dalam Instgramnya.
"Saya jawab pasal isu rantai itu secara berhemah tetapi ada segelintir yang masih tidak puas hati. Saya anggap mereka itu haters saya. Paling saya tidak suka apabila peminat dan haters saling bergaduh dalam Instgram saya.
"Disebabkan itu, saya ambil keputusan block mereka (haters) daripada IG saya," luahnya yang akan berhati-hati selepas ini dalam memuat naik gambar di IG.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: