Saturday, December 21, 2013

Klik untuk stok barangan runcit



AMALAN membeli-belah barangan keperluan rumah bagi sesetengah pihak dilihat sebagai satu rutin yang memenatkan.
Namun demikian, ramai juga melihatnya sebagai satu aktiviti menyeronokkan terutamanya bagi mereka yang suka melakukannya bersama ahli-ahli keluarga.
K. Deveke, 56, dari Kampung Jawa, Klang memberitahu, dia selalu ditemani suami dan anak-anak ketika membeli barangan keperluan rumah. Cara itu merupakan satu peluang untuknya mengetahui keperluan setiap ahli keluarga.
"Membeli-belah pada hari ini sangat mudah terutama di pasar raya. Tempat letak kereta juga banyak dan kita dapat membeli-belah dalam suasana selesa. Barangan keperluan tersedia dalam sebuah bangunan sekali gus memberikan kepuasan kepada saya.
"Saya tidak tahu sekiranya perasaan sama dapat dicapai jika membeli-belah secara dalam talian. Bagaimana kita hendak menentukan kualiti sesuatu barangan hanya berpandukan gambar di skrin komputer?," tanyanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Walaupun tidak pernah membeli sebarang keperluan diri secara dalam talian, wanita itu mengakui, ia menjadi trend pada hari ini.
"Empat orang anak saya turut membeli-belah secara dalam talian, cuma mereka tidak membeli barangan runcit," katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga biasanya akan ke pasar raya berhampiran kawasan tempat tinggal. "Walaupun, tempat letak kereta banyak disediakan oleh pihak pasar raya, namun ada kalanya kami terpaksa berjalan agak jauh.
"Namun, kami tidak kisah kerana ia dapat merapatkan hubungan kami sekeluarga," kata suami Deveki, Nadeson Periannan, 53, tentang rutin membeli barangan runcit mereka.
Anak mereka, Nanthini, 23, berkata, dia hanya membeli barangan secara dalam talian membabitkan pakaian.
"Pada hari ini, banyak pasar raya dibuka berhampiran kawasan perumahan. Di kawasan saya tinggal terdapat beberapa buah pasar raya dan kedai.
"Ini kerana, masih ramai pelanggan yang lebih suka melihat dan memeriksa produk sebelum membeli, terutama sekali sayur-sayuran dan barangan keperluan dapur," ujarnya.
Pandangan berbeza dilemparkan oleh pengasas dan penulis majalah dalam talian, JewelPie, Sara Khong Cheng Kuan, 27, yang mengakui pembelian secara dalam talian sebagai salah satu alternatif pembelian barangan yang mudah dan mengujakan.

WANITA moden mula beralih dengan memilih membeli-belah barangan runcit secara dalam talian.


Selesa
Ini kerana, katanya, dia tidak perlu berhadapan keadaan seperti kesesakan lalu lintas, berebut-rebut mencari tempat letak kereta dan membayar caj yang dikenakan.
Selain itu, dia tidak perlu beratur panjang ketika membuat pembayaran dan membawanya pulang ke rumahnya yang merupakan sebuah unit kondominium.
"Saya paling tidak selesa apabila terpaksa memunggah semua barang naik ke rumah walaupun menggunakan lif. Kadangkala barangan yang dibeli agak berat sekali gus membuatkan saya berasa penat.
"Saya seringkali berfikir, alangkah baiknya jika semua tersebut boleh dibeli secara dalam talian tanpa perlu keluar rumah dan barang dihantar hingga ke rumah," katanya.
Mendaftar
Kini, impian Sara tercapai apabila pasar raya besar Tesco merupakan satu-satunya pasar raya besar di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan beli-belah dalam talian yang dikenali sebagai Tesco Online Shopping melalui laman web eshop.tesco.com.my.
Selain itu, ujarnya, terdapat lebih 10 perkhidmatan pembelian barang runcit dalam talian yang disediakan, sama ada berpusat di sesuatu kawasan tertentu atau di seluruh negara.
"Saya hanya perlu mendaftar akaun dan memilih barangan yang disenaraikan dalam kategori tertentu, misalnya makanan atau minuman. Kemudian, saya boleh memilih slot masa untuk penghantaran ke rumah.
"Laman web yang disediakan juga membolehkan saya memeriksa pembelian yang dibuat selain boleh menambah atau menolak barangan tertentu sebelum mengesahkan tempah," katanya.
SARA lebih selesa membeli barangan runcit secara dalam talian.


Akhir-akhir ini, Sara hanya melakukan pembelian barangan keperluan rumah secara dalam talian kecuali jika membeli dalam kuantiti kecil atau memerlukannya segera.
Kelemahan
Ditanya mengenai kelemahan membeli barangan runcit dalam talian, katanya, masalah paling ketara ialah pembeli tidak boleh mengenal pasti kesegaran sesuatu produk yang ditawarkan.
"Ini kerana, pembelian hanya berpandukan satu gambar yang standard dan pembeli mungkin sangsi terhadap kualiti barangan tersebut. Ini lazimnya, membabitkan barangan makanan segar seperti makanan laut, buah-buahan, sayur-sayuran, daging dan produk sejuk beku.
"Kelemahan lain ialah barangan yang dibeli tiada stok dan tiada pengganti barangan tersebut atau barang yang diganti bukan pilihan kita," katanya sambil memaklumkan sesetengah penyedia perkhidmatan mempunyai polisi untuk tidak menerima pembayaran tunai atau baucar diskaun sekiranya pembelian dibuat dalam talian.
Selain itu, ujar Sara, pembeli tidak merasai pengalaman atau keseronokan memilih produk secara fizikal.
"Namun, ada beberapa tip yang saya ingin kongsi apabila membeli barangan runcit dalam talian," kata Sara sambil menunjukkan gambar beberapa biji kentang yang dibungkus secara asing.

KELUARGA Deveke memilih untuk membeli di pasar raya kerana dapat meluangkan masa berkualiti bersama keluarganya.


"Di Tesco Online Shopping misalnya, kita boleh membeli menggunakan berat berbanding kuantiti. Ini boleh mengurangkan penggunaan plastik bungkusan," katanya.
Sara juga menasihati agar pengguna memilih kemudahan pasar dalam talian tertentu yang membenarkan pelanggan untuk menukar barangan yang dibeli.
Jimat masa
Bagi Norasurah Abd. Wahab, 32, dari Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, tawaran untuk membeli barangan runcit dalam talian ialah satu pilihan yang menarik.
Ini kerana, peluang itu mampu menjimatkan masa dan tenaganya, terutama apabila seharian sibuk menguruskan perniagaan dan rumah.
Ketika ditemui, Norasurah yang sedang menyusun barangan yang dibeli di kabinet bilik dapurnya berkata, "Saya akan membeli barangan rumah untuk kegunaan selama sebulan dan kosnya mencecah ratusan ringgit.
"Penghantaran barangan dilakukan secara profesional dan terus ke rumah. Ini amat memudahkan saya," ujarnya.
Beliau turut memberitahu, pembelian secara dalam talian dapat menghindar anaknya memilih makanan yang tidak menyihatkan.
"Kalau di pasar raya, anak saya akan memilih semua jenis makanan ringan dan saya tidak berpeluang menghalangnya. Kini, semua urusan dilakukan menggunakan komputer riba dan saya mempunyai kuasa sepenuhnya untuk memilih barangan untuk keluarga saya," jelasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: