Tuesday, December 24, 2013

Gotong-royong perangi denggi

KANAK-KANAK turut terbabit dalam aktiviti gotong-royong di PPR Kerinchi baru-baru ini.


SEJAJAR dengan visi syarikat bagi menyokong kehidupan lebih sihat dan kediaman yang bersih, pengeluar penyembur serangga perosak Shieldtox, Reckitt Benckiser (RB) telah menjayakan program gotong-royong bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya demam denggi.
Program yang diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur itu merupakan program kemasyarakatan berkonsep pendidikan yang menghiburkan.
Kira-kira 2,400 penduduk terlibat dalam gotong-royong tersebut yang turut diselangi acara menarik seperti pertandingan mencari harta karun, melukis, mewarna, perlawanan sepak takraw dan pertunjukan kebudayaan.
Pihak Jabatan Kesihatan turut menyampaikan ceramah ringkas berkenaan kawalan haiwan perosak.
Gotong-royong yang bermula pada awal pagi itu menyaksikan kerjasama penduduk dan sukarelawan membersihkan sampah sarap dan longkang yang tersumbat bagi memastikan tiada air yang bertakung. Sebanyak 30 beg sampah berjaya dikumpulkan sepanjang gotong-royong yang berjalan selama dua jam itu.
"Kesihatan yang baik adalah kunci kebahagiaan. Maka visi kami adalah menyediakan penyelesaian inovatif bagi membolehkan orang ramai memiliki kediaman yang menggembirakan dan menjalani kehidupan yang lebih sihat.
"Denggi bukan sahaja mengganggu kehidupan, malah turut menjejaskan orang di sekeliling kita.
"Masyarakat perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan persekitaran sentiasa bersih dan selamat.
"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dan masyarakat setempat dalam program komuniti yang bermakna ini," ujar Pengarah Pemasaran RB, Abhishek Chuckarbutty.
Seorang pelukis profesional turut melukis mural pada dinding yang bertemakan Shieldtox Melindungi Tanpa Keraguan bagi menunjukkan betapa pentingnya mencegah nyamuk aedes daripada membiak.

AKTIVITI semburan asap antara langkah mengawal penularan wabak denggi.


Kes denggi meningkat
Berdasarkan laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, kira-kira 2.5 bilion atau 40 peratus daripada populasi dunia hari ini tinggal di kawasan berisiko denggi. Ia merupakan penyakit endemik di lebih 100 negara di Asia, Amerika dan Afrika.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula menganggarkan sebanyak 50 hingga 100 juta jangkitan dilaporkan setiap tahun termasuk 500,000 kes denggi berdarah dan 22,000 kematian dengan majoriti melibatkan kanak-kanak.
Mengikut laporan yang dipetik daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia pula, terdapat peningkatan kes denggi bagi tempoh Januari hingga November tahun lalu berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu sebanyak 11,486 kes dengan 61 kematian dilaporkan di negara ini.
"Ramai orang masih tidak tahu bagaimana nyamuk aedes membiak. Ia boleh membiak walaupun dalam sedikit air bertakung," dedah Chuckarbutty.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar memainkan peranan masing-masing dalam mencegah pembiakan nyamuk aedes dengan membersihkan longkang yang tersumbat dan membuang air di dalam baldi, pasu bunga dan bekas penyiram pokok.
Orang ramai juga perlu membersihkan dulang atau bekas takungan yang diletakkan di bawah unit pendingin hawa bagi mengelakkan ia menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Turut hadir pada acara tersebut ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Naquib Rahman.
RB juga mengumumkan pelaksanaan beberapa lagi projek komuniti di seluruh negara dalam masa yang terdekat. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.rb.com/my-sg.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: