Thursday, December 26, 2013

Didik OKU dalami ibadah solat



LAUNGAN azan menandakan masuknya waktu solat fardu Zohor. Orang ramai berpusu-pusu masuk ke pekarangan masjid untuk menunaikan rukun Islam kedua itu.
Di satu sudut di masjid yang tersergam indah itu, kelihatan sekumpulan insan istimewa sedang berkumpul. Ada yang berbaring, ada yang berkerusi roda dan ada yang duduk di sisi keluarga.
Meskipun pergerakannya terbatas, namun Rahmat Jamil, 17, benar-benar bersyukur kerana berpeluang berada di majlis itu. Bahkan, peluang berkumpul bersama rakan-rakan untuk mempelajari ilmu agama bukanlah peluang yang selalu diperoleh oleh insan sepertinya.
Mengakui amat bertuah kerana terpilih untuk menyertai program seumpama itu, remaja lembam yang berasal dari Lahad Datu, Sabah itu, benar-benar teruja.
"Pergerakan kami agak terbatas dan aktiviti untuk kami sertai juga terhad. Saya bersyukur berada di sini sekurang-kurangnya saya dapat memahami dan memperbetulkan bacaan solat," jelas Rahmat yang tahu serba sedikit mengenai asas solat. Remaja yang agak kurang lancar pertuturannya menjelaskan, sebelum ini dia hanya mengetahui pergerakan asas solat.
Kerah kudrat
Begitu juga dengan Afiqah Syamimi Mohd. Aizuddin, 15. Remaja lembam itu menjelaskan, dia kini memahami konsep solat seperti yang dituntut oleh agama.
"Sebelum ini ramai dalam kalangan kami beranggapan ibadah solat adalah sesuatu yang sukar, namun selepas mengikuti program ini, ternyata ia ibadah yang cukup mudah dilakukan," katanya ketika ditemui.
Mereka sebenarnya merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU). Hari itu, mereka dengan tekad yang sama atas nama seorang Islam mengerah segala kudrat dan tenaga untuk hadir ke masjid.
Tujuannya hanya satu iaitu mempelajari asas-asas solat sebagai seorang OKU. Bukan sesuatu yang mudah, tetapi dengan inisiatif Pertubuhan Prihatin Orang Kurang Upaya 1Malaysia (Prihatin), semua yang dirancang menjadi kenyataan.
SEORANG peserta membantu mengelap mulut rakannya.


Menggunakan jenama I Love Klinik Solat Bersama OKU Sabah, Prihatin tampil menerusi pendekatan teori dan amali untuk mendekatkan golongan OKU dengan kewajipan solat.
Berlangsung selama dua hari di Masjid Bandaraya di Likas, Kota Kinabalu, Sabah, pelbagai pengisian diatur sepanjang program tersebut. Acara tersebut disertai hampir 200 peserta mewakili 19 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) seluruh Sabah.
Takrif solat seperti yang ditetapkan ahli-ahli fiqah membawa pengertian beberapa ucapan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam dan dengannya seseorang beribadah kepada Allah, menurut syarat-syarat yang telah ditentukan.
Solat juga merupakan penghubung antara hamba dan Tuhannya. Ibadah solat merupakan salah satu daripada tuntutan Rukun Islam dan ibadah yang utama selepas mengucap dua kalimah syahadah.
Solat diwajibkan kepada seseorang mukalaf yakni berakal dan baligh lima waktu sehari semalam. Malah, kecacatan tidak mengecualikan seseorang daripada menunaikan solat selagi memenuhi syarat-syarat wajib solat.
Pakar motivasi yang juga pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Ustaz Dr. Shauqi Othman berkata, golongan OKU boleh menunaikan solat mengikut kemampuan mereka.
Ikut kemampuan
Katanya, Allah tidak memberi ujian ataupun bebanan kepada seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Atas sebab itu, golongan seperti OKU juga boleh menunaikan solat.
"Islam membolehkan seseorang Muslim melakukan sesuatu ibadah termasuk solat sesuai dengan kemampuan tanpa memberatkan mereka.
"Jika seseorang itu tidak mampu berdiri, maka dia boleh solat dengan cara duduk, jika tidak boleh duduk, dia boleh melakukannya hanya dengan berbaring," katanya ketika ditemui pada program tersebut.
SHAUQI (belakang) melakukan demonstrasi kepada peserta-peserta OKU yang menyertai bengkel solat.


Sepanjang program tersebut, Shauqi turut berkongsi ilmu dengan para peserta OKU mengenai cara-cara menunaikan solat mengikut kategori kecacatan.
Selain itu, para peserta juga diberi bimbingan mengenai syarat-syarat solat seperti berwuduk, menutup aurat dan menghadap kiblat.
"Setiap individu yang beragama Islam wajib solat tidak kira dia insan yang sempurna fizikal ataupun sebaliknya. Jika kita sebagai manusia perlukan makanan dalam kehidupan, begitu jugalah kita perlukan solat dalam kehidupan.
"Harus diingat, lebih banyak ujian yang kita terima maka lebih banyak pahala yang kita peroleh asalkan kita bersabar dan berada di atas landasan Allah," ujar Shauqi.
Beliau turut mengakui terdapat segelintir OKU yang tidak mampu menguasai bacaan-bacaan wajib dalam solat selain memiliki kekangan untuk menghafal surah.
Dalam hal ini katanya, setiap OKU perlu mempraktikkan perkara tersebut berulang-ulang kali dengan bantuan ibu bapa ataupun guru termasuklah pergerakan solat.
"Jika OKU itu tergolong dalam kalangan mereka yang bisu atau tidak boleh bercakap, maka dia hanya perlu menggerakkan bibir ketika melafazkan surah dan bacaan-bacaan dalam solat.
"Begitu juga dengan OKU yang lain kerana pelbagai kaedah boleh dilakukan untuk bersolat mengikut kemampuan masing-masing," jelasnya.
Kewajipan bersolat dalam kalangan OKU bukan hanya tertakluk kepada solat fardu, malah solat Jumaat juga perlu ditunaikan oleh golongan OKU kaum lelaki.
"Kita jangan malu datang ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat hanya kerana kita golongan OKU. Di sisi Tuhan, kita semua sama dan apa yang membezakan kita adalah amalan kita," tegasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Usahawan Istimewa (OKU) Malaysia, Norman Ismail mengakui golongan OKU berdepan dengan cabaran untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan insan normal lain.
Justeru katanya, golongan seperti ini tidak perlu merasa rendah diri dan tersisih, sebaliknya mencari platform terbaik untuk menonjolkan diri.
Sebagai contoh katanya, Persatuan Usahawan Istimewa yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu memainkan peranan bukan hanya untuk menjaga kebajikan para OKU, bahkan melatih mereka berdikari.
SEORANG peserta OKU membuat demonstrasi solat sambil dibimbing oleh petugas prihatin dalam Program I Love Solat.


Ilmu agama
"Masyarakat sering melabel golongan OKU sebagai orang yang suka meminta-minta sehinggakan golongan ini sering menjadi mangsa pihak lain untuk meraih keuntungan.
"Atas dasar itu persatuan memikul tanggungjawab besar dalam membantu golongan ini khususnya untuk meningkatkan ekonomi dan pendapatan mereka menerusi khidmat nasihat dan latihan yang disediakan," katanya.
Bagaimanapun ujar beliau, sebelum menempuh kehidupan berdikari, setiap OKU perlu mempersiapkan diri dengan ilmu agama termasuk dalam hal-hal solat.
"Saya tertarik untuk terlibat dalam program ini selepas melihat pendekatan yang diberikan kepada para OKU khususnya dalam ilmu-ilmu berkaitan agama.
"Bab agama sangat penting kerana sama ada dia OKU ataupun insan biasa banyak didasari oleh amalan dan ketaatannya kepada Tuhan," ujarnya.
Tenaga pengajar PDK Desa Kencana Lahad Datu, Rusni Lutong berkata, perjalanan jauh hampir 10 jam yang ditempuh rombongannya untuk menyertai program berkenaan nyata berbaloi dengan segala ilmu yang diterima.
"Para peserta bukan hanya didedahkan dengan cara bersolat yang sebenar, malah mereka turut diberi peluang menunjukkan bakat masing-masing menerusi pertandingan azan dan nasyid.
"Penglibatan ibu bapa juga penting dalam membantu kami menjayakan aktiviti berkumpulan, sekali gus memberi semangat kepada anak-anak OKU untuk terus berusaha mencari ilmu," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: