|
SEPERTI santainya dia menghulurkan salam sebelum memulakan perbualan, prinsip hidupnya juga mudah. Dia harus terus bergerak, tidak boleh terus berada di takuk lama dan tidak perlu takut berdepan risiko.
Ungkapan selamba itu tidak hanya lancar di bibir. Penjelajahan yang telah dilalui sepanjang lebih 10 tahun bereksperimentasi dengan muzik hampir membenarkan segala kata-kata vokalis hebat.
Azlan pernah merentasi perjalanan nyanyian bersama Meet Uncle Hussein (MUH), namun bermula 2009, layar bahteranya bertukar corak. Bersama-sama grup yang dikenali sebagai Azlan & The Typewriter, pelantun lagu Tanda-Tanya yang masih mencalonkan dirinya dalam senarai lima vokalis unggul lelaki dalam Anugerah Industri Muzik ke-20 itu ternyata masih ampuh.
Ditemani rakan-rakan yang sudah menjadi saudara permuafakatan muziknya termasuklah Andy (gitaris), Kee (gita kedua), Zack (dram) dan Man (bass), Azlan atau nama sebenarnya Norazlan Roslee itu bersedia membentangkan sebuah lagi karya bernama album.
"Sebenarnya single pertama daripada album berkenaan yang bertajuk Bukan Ugutan sudah pun dilancar ke YouTube dan dihantar ke radio-radio," tutur tersenyum sambil menambah penghasilan album ketiga bersama The Typewriter sudah berlangsung mengikut perancangan.
Masih lagi bereksperimentasi meneruskan ideologi bahawa muzik yang bijak haruslah berada di hadapan penggemar muzik masa kini, penyanyi berstatus bapa itu melenturkan apa yang tersurat dan tersirat di sebalik kesungguhannya menghasilkan sebuah album.
Pengalaman merupakan guru muziknya sudah banyak kali mendidiknya untuk sedar bahawa untuk menjadi kaya, pemuzik hari ini tidak boleh bergantung kepada penjualan album.
"Saya dan The Typewriter memang buat album studio untuk peminat tegar kami sahaja. Kami buat, rakam, terbitkan dan edarkan sendiri.
"Ringkasnya, album bagi seseorang penyanyi atau grup muzik sekarang tidak ubah seperti kad nama. Kalau seseorang individu mahu menyatakan bahawa dia wakil dari syarikat mana atau apa perusahaan yang dilakukannya, orang itu akan bagi kad nama. Sama macam kami. Mahu perkenalkan diri bahawa kami penyanyi dan pemuzik yang serius, kami hasilkan dan tunjukkan album. Ia semacam identiti sahaja. Selebihnya, survival kami sebagai pemuzik harus datang daripada pelbagai cabang. Kena ada strategi lain," kemas lontaran dari dada vokalis cukup popular menerusi judul-judul seperti Idola dan Lagu Untukmu itu.
Untuk album yang bakal jadi pembuka tirai 2014 buat Azlan & The Typewriter itu, Azlan ternyata masih gemar bermain nada dan ritma yang mungkin kurang lunak di telinga peminat yang baru mula hendak berjinak dengan muzik.
|
Belum puas
"Muzik dalam album itu mungkin sukar diterima peminat baharu tetapi peminat muzik yang mengikuti perkembangan muzik saya sebelum ini, mungkin mereka akan suka. Untuk album bersama The Typewriter, memang konsep begitu. Kami belum berhajat mahu bertukar pegangan.
"Walaupun sudah masuk album ketiga, kami masih ada banyak idea. Masih belum puas bereksperimentasi. Bila buat kerja sama-sama lagi banyak idea boleh dihasilkan. Ini yang suka bekerja dalam sebuah kumpulan," katanya yang cukup sedar bahawa survival muzik berkumpulan itu tidak mudah.
Memetik semula kata-katanya dalam satu wawancara terdahulu. Kata Azlan: "Semua orang boleh menjadi seseorang walaupun asalnya dia bukan sesiapa. Bak kata pepatah Inggeris, from zero to hero. Segalanya tidak mustahil dalam industri, begitu juga dengan survival sebagai anak seni.
"Saya pegang satu moto hidup, nak seribu daya, tak nak pergi mati."
Ada banyak kaitannya daripada setiap percakapan Azlan. Dia tidak pernah melencong daripada setiap kenyataan yang pernah keluar dari mulutnya.
Tambah Azlan: "Mungkin sebab itu juga The Beatles berpecah. Mungkin ada sebab lain yang lebih kukuh, tapi memang survival pemuzik kumpulan itu berat dipikul kalau tidak sepenuh jiwa raga. Saya mungkin beruntung kerana dari mula lagi dikenali sebagai vokalis.
"Sebab itu saya tetap akan hasilkan album sebagai pemuzik berkumpulan. Konsep album berkumpulan akan banyak fokus kepada muzik kami, rock alternatif," katanya memberi bayangan bahawa ada sebuah lagi album studio bakal terhasil."
Zaman hilang budaya
Masih larut bercerita tentang pengisian dan falsafah yang terkandung dalam album terbaharunya itu, kata Azlan, penulisan muzik dan lirik lagu-lagu kali ini lebih matang dan serius.
"Penghasilan album ini solid bersama anak band The Typewriter tanpa menjemput pemuzik lain. Kiranya kami memang rock & roll sangat. Liriknya juga tidak terbatas kepada isu Melayu sahaja tetapi tidak bercakap tentang politik. Antara tajuk lagunya termasuklah Akuarium dan Pasar Karat. Ada satu bait-bait lirik yang saya suka macam 'sekarang zaman hilang budaya, tersalah kata pistol jawabnya'. Lirik-lirik begitu ada dalam album berkenaan.
"Dalam penulisan lirik, saya banyak baca tulisan arwah Loloq. Bagi saya album Aku Amy ialah satu penghasilan yang dahsyat. Album itu pun rasanya untuk peminat tegar bukan bermain di radio," buah fikirnya dikongsi lagi.
|
Menyambung tentang survival anak band, Azlan ternyata ada strategi dalam melancarkan peluru-peluru muziknya. Dia bekerja atas landasan yang dibina sendiri. Dia membentuk tembok-tembok pendinding agar tidak mudah dipengaruhi atau terpengaruh dengan perang semasa.
"Saya ada pergerakan yang telah disusun. Saya bekerja ikut keperluan. Ada projek bersama band dan projek solo atas nama Azlan. Tapi ke mana-mana pun saya pergi, saya tetap membawa nama Azlan & The Typewriter.
"Untuk 2014, sengaja saya mahu ketengahkan projek band terlebih dahulu. Sebenarnya saya ada rahsia. Saya punya idola saya," katanya memetik nama-nama seperti Awie Wings dan Amy Search sebagai ikon penting yang mempengaruhi gerak hatinya.
Tanpa perlu malu untuk mengakui mencontohi jejak orang lama dalam industri, kata Azlan: "Untuk hidup dalam industri begini, perlumbaan saya tidak bersandarkan laju atau lambat. Saya bawa imej rock dalam nada muzik yang kami gemar, tapi dalam soal vokal, saya terlalu hormat kepada dengan vokal Amy dan Awie. Begitu juga dengan band muzik popular macam Hyper Act. Muzik boleh pergi dengan bermacam rasa, tapi vokalis menentukan hidup mati sesebuah band."
Mengenali Azlan, tanpa lantunan vokal yang cukup mengagumkan itu tidak mengesahkan keberadaan Azlan di atas mana-mana pentas. Azlan menyimpan sedikit 'kuasa' balada dalam vokalnya tanpa total dimasukkan ke dalam buah karya bersama The Typewriter.
"Rasanya saya masih baru dengan konsep balada rock. Kalau hendak dengar lagu-lagu begitu. Kena tunggu album solo. Perancangan memang sudah ada. Tapi saya mahu dahulukan album bersama band," tutupnya sambil bertekad mahu mengurang berat badan sebagai persediaan beraksi lebih energi atas pentas persembahan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: