Saturday, December 21, 2013

Bukit Merah Platform warga UiTM kukuh hubungan


PARA peserta kursus bergambar bersama Mustapha Kamal (tengah) selepas sesi perkongsian pengalamannya mengenai perniagaan dan pelaburan di BMLR.


MELALUI kerja berpasukan, matlamat dan misi sesuatu organisasi dapat dicapai secara lebih menyeluruh dan berkesan. Kerja berpasukan yang baik juga akan mengurangkan masalah pembaziran tenaga dan meningkatkan motivasi dalam kalangan anggota sesebuah organisasi.
Baru-baru ini, seramai 40 orang kakitangan Jabatan Komunikasi Korporat (JKK), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor telah menyertai kursus Pengukuhan Kerja Berpasukan di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), Perak.
Sebelum bertolak ke destinasi, Naib Canselor UiTM, Tan Sri Sahol Hamid sempat meluangkan masa bertemu warga JKK bagi memberi kata-kata semangat dan nasihat agar memanfaatkan peluang sepanjang kursus itu.
Keterujaan para peserta jelas terpancar sepanjang perjalanan selama empat jam ke BMLR. Sebaik sahaja tiba di destinasi, peserta diberi taklimat oleh pihak BMLR mengenai aktiviti yang akan dijalankan sepanjang program.
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, Alfina Bakar berkesempatan menyampaikan ucapan alu-aluan dan merasmikan kursus tersebut.
AKTIVITI tali Tarzan menguji kecekapan dan kekuatan fizikal peserta.


Matlamat
Menurutnya, matlamat utama penganjuran program tersebut ialah bagi memantapkan dan menambah baik gerak kerja berpasukan dalam kalangan warga JKK.
“Program seperti ini merupakan platform terbaik untuk memupuk sifat setia kawan dan saling memahami antara satu sama lain dalam satu jabatan. Melalui setiap aktiviti, peserta dapat menguji tahap ketahanan fizikal, mental dan emosi.
“Kesemua peserta diharap dapat meneruskan semangat kerja berpasukan dan mengamalkan interaksi yang baik. Ia juga bertujuan untuk memahami konsep bekerjasama dan terus bersemangat melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.
Sepanjang kursus itu, peserta dihidangkan dengan pelbagai aktiviti lasak dan menguji minda. Setiap aktiviti menerapkan sifat kepimpinan dan tanggungjawab.
Para peserta juga diberi pendedahan mengenai kepentingan berfikiran positif, berdisiplin dan bertolak ansur antara satu sama lain.
Peserta dibahagikan kepada empat pasukan sepanjang program yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu.
Aktiviti lasak
Antara aktiviti lasak yang ditempuh oleh peserta ialah ujian halangan, mencari harta karun, sukaneka, merentas hutan pada waktu malam, Laketown Amazing Race dan memburu.
Bagi aktiviti ujian halangan, peserta dikehendaki mengharungi halangan seperti sarang labah-labah gergasi, merangkak seperti komando, tali Tarzan, survivor hunt dan abseiling.
Aktiviti merentas hutan pada waktu malam merupakan antara aktiviti yang mencabar. Peserta juga berpeluang merasai keindahan alam flora dan fauna di Bukit Merah.
Laketown Amazing Race menyajikan sukaneka yang menyelitkan elemen kerjasama dalam setiap permainan. Peserta perlu menyelesaikan teka-teki, mengasingkan lima jenis kekacang dan menangkap belut.

PERJALANAN ke Pulau Orang Utan Bukit Merah dengan menaiki bot hanya mengambil masa selama lima minit.


Puas hati
Salah seorang peserta, Rozita Nordin, 47, memberitahu, dia amat berpuas hati dengan program yang dianjurkan oleh pihak UiTM itu.
“Bagi saya, survivor hunt merupakan aktiviti yang amat mencabar. Kami perlu menyiapkan dua hidangan makanan dalam masa satu jam menggunakan arang dan dapur batu yang dibuat sendiri,” ujarnya yang menjalankan kesemua aktiviti tersebut secara santai.
Peserta juga berpeluang mengadakan lawatan ke Pulau Orang Utan Bukit Merah untuk melihat kehidupan orang utan secara lebih dekat.
Seorang lagi peserta, Hasrullah Hasmi, 24, berkata, kursus itu memberi peluang kepada peserta untuk bekerjasama dalam menyelesaikan setiap tugasan.
“Saya merupakan peserta paling muda dalam kursus ini dan dilantik sebagai ketua kumpulan. Tugasan itu ternyata memberi cabaran yang besar terutama untuk menguruskan ahli kumpulan yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.
“Bagaimanapun, setiap ahli kumpulan memberi kerjasama yang baik dengan mengikuti setiap arahan yang diberikan. Saya dan pasukan juga berjaya menyelesaikan setiap tugasan dengan sempurna,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Mustapha Abu Bakar turut menyampaikan ceramah tentang kisah kejayaannya dalam perniagaan termasuk menguruskan BMLR.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: