|
MENDAKAP mesra kenangan 2013 yang hampir melabuhkan tirai, Kosmo! memilih tiga bintang paling popular tahun ini. Emma Maembong, nama yang mula dikenali selepas membintangi drama rantaian Kau Yang Terindah hujung tahun 2012 dan mendapat perhatian sepanjang tahun 2013.
Selain introduksi nama keluarga yang unik, Emma turut dihantui kontroversi beberapa kisah silamnya termasuk spekulasi cinta bersama pelawak tersohor, Zizan Razak.
Begitu juga Zizan, namanya tidak pernah lekang daripada bibir peminat sepanjang tahun 2013. Deretan kejayaan dan anugerah diraih tidak melunturkan api sensasi yang melingkari kariernya.
Kecemerlangan bidang nyanyian, kejayaan mengadakan konsert sulung pertama tahun ini dan tahun paling banyak merangkul anugerah membuktikan Hafiz Suip penyanyi paling progresif 2013.
Ikuti perkongsian tawa dan tangis sepanjang tahun 2013 dan jangkaan perkembangan tahun mendatang Emma, Zizan dan Hafiz.
Emma menggapai mimpi
Menoleh kembali setahun ke belakang, Emma Maembong atau empunya nama penuh Fatimah Rohani Ismail, 21, langsung tidak terduga akan berada pada tahap ini.
Bahang populariti adakalanya memusnahkan masa privasinya dan mengundang pelbagai cerita tidak enak. Kisah peribadi dikorek dan dijadikan bahan ulasan, kelemahan dijadikan sasaran, pantang peluang ada saja ingin menghentam.
"Betulkah saya menjadi tumpuan? Apabila difikirkan semula, Emma sebenarnya masih Emma yang dulu dan seperti orang lain mahukan kehidupan yang sederhana.
"Alhamdulillah, kalau dibandingkan dengan masa silam Emma rasa ini satu mimpi yang langsung tidak pernah terduga. Emma percaya keberadaan dalam industri ini untuk mencari rezeki, walau ada yang cuba menjatuhkan Emma anggap itu sekadar cabaran
|
"Diserang kontroversi tidak mematahkan semangat sebaliknya Emma cuba berfikir positif, reda dan selesaikan masalah sebaik mungkin," ulasnya serius.
Permulaan kerjaya Emma lewat tahun 2012 dipacu dengan fotografi sulungnya bersama Kosmo!, ketika itu khalayak mula memandang pesona seorang Emma Maembong.
"Impian Emma membantu keluarga telah terlaksana, orang ramai sudah semakin mengenali nama keluarga Maembong dan Emma sudah membuktikan tidak semestinya tiada pelajaran tidak boleh berjaya.
"Tahun 2014 mengundang debaran buat Emma, ibaratnya Emma baru saja mendapat lesen untuk berlakon dan kalau mahu pecut laju-laju takut terbabas pula," kiasnya yang menyasarkan untuk terjun dalam bidang pengacaraan dan berlakon teater.
Zizan pasang azam
Juara Maharaja Lawak Mega 2012, bintang filem KL Gangster 2 dan Bikers Kental, pengacara rancangan Melodi dan Akademi Fantasia 2013, melancarkan single kedua Infiniti Cinta bersama Kaka Azraff selain trofi pelbagai anugerah tersusun indah bukti Zizan Razak wajah terlaris 2013.
Mengulas fenomena menjadi kegilaan ramai sejak Raja Lawak musim pertama hingga kini, pemilik syarikat pengurusan artis Wire Fame Entertainment itu masih mencari resipi baharu saban tahun.
"2013 berjalan lancar, sedar tak sedar sudah masuk bulan Disember dan jadual kerja memang padat tapi berbaloi. Saya juga terkejut banyak anugerah dirangkul tahun ini dan terharu masih ada peminat yang tidak putus-putus menyokong saya.
"Untuk meletakkan diri sebagai selebriti paling laris sebenarnya bergantung pada rezeki dan penyampaian. Saya masih mencari-cari sesuatu yang baharu untuk dipentaskan.
"Yang penting ikhlas dan belajar daripada kesilapan. Ramai lagi yang laris cuma kurang menonjol tapi saya sentiasa menanamkan prinsip saya bekerja dan mencari ilmu, kalau letak sebagai tempat cari glamor susahlah," jelasnya yang tidak lekang dihujani pertanyaan spekulasi hubungan dengan Emma.
Berlakon, menyanyi, mengacara dan menjadi usahawan. Apa lagi yang Zizan Razak mahukan dalam kerjaya?
"Saya tidak pernah meletakkan gred dalam karier dan sejujurnya saya selalu melihat diri lemah serta selalu berusaha.
"Kadangkala saya takut dengan pujian dan saya sendiri tidak tahu dimanakah kedudukan saya sekarang. Yang penting pandai bawa diri dan sentiasa mencari kelemahan dan kekuatan kita.
"Tahun 2014 saya harapkan semakin banyak kejayaan saya tempa dan tidak dinafikan industri kita perlukan lebih banyak bakat," tutur Zizan yang sedang mencanai bakat di pentas teater.
Hafiz tidak leka
Kitar hayat penyanyi berbakat besar, Hafiz Suip dalam industri hiburan tanah air baru sahaja bermula. Langkahnya diatur menyelusuri setiap liku yang ditempuh semakin laju tatkala bakat yang dipertaruhkan mudah diterima serta sering diberikan pengiktirafan.
Biarpun kejayaan yang ditempa sepanjang tempoh tersebut begitu besar maknanya buat anak muda kelahiran Bumi Kenyalang ini, namun begitu, akuinya, masih banyak yang perlu dipelajari bagi memperbaiki diri dalam perjuangan melentur karier ke peringkat yang lebih tinggi.
"Alhamdulillah, rezeki yang saya terima setakat ini berkat hasil usaha bersama pihak pengurusan dan juga para peminat yang tidak pernah putus memberikan sokongan dan dorongan terhadap saya.
"Apa yang telah saya kecapi sepanjang tahun 2013 membawa erti yang cukup besar terhadap perkembangan karier ke peringkat yang lebih tinggi," ujar Hafiz yang menggungguli Anugerah Industri Muzik Ke-20 (AIM 20) yang berlangsung baru-baru ini.
Tahun 2013 sekali lagi menyaksikan Hafiz memonopoli penganjuran anugerah-anugerah berprestij dalam dan luar negara antaranya Anugerah Planet Muzik, Anugerah Bintang Popular serta Shout! Awards.
Bersyukur dengan setiap pengiktirafan yang diterima, Hafiz memberitahu, jangkaan dan harapan para peminat turut meningkat seiring dengan lambakan anugerah yang diterimanya sejak kebelakangan ini.
"Walaupun sering menerima anugerah, saya perlu sedar itu bukan tiket untuk bersenang-lenang. Apa yang pasti ia menjadi tanda aras untuk saya lebih kuat berusaha dalam memberikan yang terbaik kepada peminat," katanya yang banyak menerima nasihat daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: