PETALING JAYA: Usia Datuk Rosyam Nor yang sudah mencecah 46 tahun bukanlah halangan untuk beliau berangan-angan mahu menjadi seperti bintang Hollywood, Bruce Willis yang masih laris walaupun sudah berusia 56 tahun.
Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin berkata, pada usianya sekarang dia hanya layak memegang watak-watak aksi berbanding berlakon kisah cinta.
"Pada usia sebegini, saya tidak sesuai lagi membintangi filem-filem cinta. Saya merasakan kalau saya memilih untuk kekal dalam dunia seni, saya lebih sesuai berlakon dalam filem aksi lasak, barulah orang akan kagum.
“Saya mahu jadi seperti Bruce Willis. Dia masih hebat beraksi di layar perak walaupun sudah berusia,” katanya kepada mStar Online.
Ujar Rosyam, selepas penonton selesa melihat wataknya sebagai Tailong dalam filem KL Gangster 2, beliau mahu peminat menilai pula lakonan lasaknya menerusi Balistik
Tambah Rosyam, atas dasar itu dia mengambil peranan untuk menggalas sebagai watak utama dalam filem itu terbitan syarikatnya iaitu RK Screen Sdn Bhd yang bakal ditayangkan pada 9 Januari 2014.
Kata Rosyam, menariknya Balistik yang menelan belanja sebanyak RM2.5 juta menggandingkan barisan pelakon pelbagai bangsa iaitu Rita Rudaini, Adi Putra, Jack Lim, Gan Mei Yan, Jeff Chin, Jason Phang, Datuk Rahim Razali, Marissa Yasmin, Fimie Don dan Rykarl Iskandar.
"Filem ini mempunyai kelainan yang tersendiri dan ia bukan sekadar dipenuhi dengan aksi-aksi lasak semata-mata sebaliknya mesej yang disampaikan dalam filem ini juga cukup kuat.
"Malah, dialog pada semua watak dalam filem ini berunsur kedewasaan dan tiada yang menjerit-jerit. Selain itu aksi ngeri yang dilakukan turut mendapat bantuan khidmat pakar aksi lasak dari Hong Kong," ujarnya.
Balistik mengisahkan Saga (Rosyam), seorang pembunuh upahan profesional yang mendirikan rumah tangga dengan Salena (Rita) rakannya yang membesar bersama di rumah anak yatim. Mereka dikurniakan seorang anak bernama Rykarl (Rykarl).
Saga telah menghilangkan diri bersama Rykarl selepas mencederakan Selena dan selepas enam tahun mereka bertemu kembali. Namun Selena ingin menuntut haknya sebagai ibu untuk mengambil semula Rykarl.
Pada masa sama, Saga menjadi buruan kumpulan gengster dan pihak polis di mana suami Selena iaitu Nizam, merupakan Inspektor polis yang sedang memburu Saga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: