Thursday, December 26, 2013

Legasi Nasi Ayam Pak Mal


SEBANYAK 600 pinggan nasi ayam dijual setiap hari di restoran ini.


SELEPAS hampir separuh abad legasi nasi ayam Pak Mal bertapak di Shah Alam, keenakan hidangan popular itu jarang sekali tewas untuk menambat hati pengunjung.
Apatah lagi, hidangan yang menggunakan resipi turun-temurun sejak tiga generasi itu dihidangkan bersama sup beraroma, daging ayam yang empuk dan sambal yang ditawarkan pada harga hanya RM5 sepinggan.
Bermula dengan pembukaan sebuah gerai di Petaling Jaya pada tahun 1969 dan kemudiannya berpindah ke Seksyen 10 dan 11, Shah Alam, Restoran Pak Mal Nasi Ayam telah diasaskan oleh Kamarul Hilal Jubri yang lebih disenangi dengan panggilan Pak Mal.
Restoran tersebut kini diuruskan oleh anak Kamarul Hilal, Ameerul Izham bersama isterinya, Asmani Abdullah, masing-masing berusia 27 tahun.
Selain nasi ayam sebagai hidangan utama, menu nasi kukus yang dihidangkan bersama potongan ayam goreng merah berempah dan gulai daging kawah serta soto juga antara hidangan kegemaran pengunjung. Restoran tersebut turut menyajikan hidangan Barat seperti stik, chicken chop dan fish and chips serta hidangan Thai.
Seorang pelanggan setia, Syamimi Fizuan Mohd. Sofi, 22, yang menetap di Seksyen 24, Shah Alam sejak tiga tahun lalu, berkata, restoran berkenaan adalah lokasi wajib yang perlu dikunjungi sekiranya berada di Bandar Raya Anggerik itu.
“Antara sebab saya gemar makan di sini ialah makanan yang disediakan lazat. Selain itu, layanan pekerja di sini juga amat baik
“Sejak tiga tahun lalu berkunjung di restoran ini saya tidak pernah berasa bosan, malah kadangkala terasa mengidam untuk makan di sini,” katanya ketika ditemui di restoran berkenaan baru-baru ini.
Lain pula kisahnya bagi Siti Asyikin Ariffin, 22, dari Johor yang pertama kali berkunjung ke restoran itu. Dia berpendapat kelebihan nasi ayam itu terletak pada sambal dan isi ayam yang lembut.

PELANGGAN mula memenuhi Restoran Pak Mal Nasi Ayam pada pukul 11 pagi.


Harga berpatutan
Bagaimanapun, Siti Asyikin berkata, dia lebih tertarik untuk merasa nasi yang dihidangkan bersama potongan ayam goreng merah dan gulai daging kawah.
“Saya mahu mencuba pelbagai variasi menu lain yang turut disediakan di sini. Oleh itu, nasi kukus adalah pilihan saya. Gulai kawah boleh menjadi satu lagi tarikan popular pelanggan selain nasi ayam yang sedia terkenal di sini,” katanya.
Sebagai pengurus, Asmani berkata, kepuasan pelanggan adalah keutamaan perkhidmatan di restoran tersebut.
“Kami di sini sangat menghormati pelanggan kerana mereka adalah sumber rezeki perniagaan ini. Segala peringkat penyediaan makanan dan minuman diambil berat, ini termasuk dari aspek keenakan setiap hidangan, penggunaan ramuan halal dan penjagaan kebersihan dapur dan persekitaran restoran.
“Sebagai langkah terus memperbaiki dan mengekalkan mutu perkhidmatan, saya sentiasa memesan kepada kesemua 17 orang pekerja kami agar menguntum senyuman dan melayan pelanggan seperti kita melayan saudara kandung sendiri iaitu dengan penuh rasa hormat,” ujarnya.
Menurut Asmani, pelanggan di Restoran Pak Mal Nasi Ayam terdiri daripada pelbagai golongan antaranya penuntut di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dan pekerja di sekitar Shah Alam.
Katanya, dia yakin antara sebab utama pelanggan mengunjungi restorannya ialah hidangan-hidangan yang ditawarkan di sana bukan sahaja enak tetapi juga pada harga berpatutan iaitu serendah RM5 untuk hidangan seperti nasi ayam, soto dan masakan bergoreng sehingga RM10 bagi hidangan Barat.
“Setiap hari kira-kira 600 pinggan nasi ayam habis dijual.
“Bagi memenuhi keperluan pelanggan, kami juga menerima tempahan awal bagi mereka yang ingin menganjurkan majlis di sini,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: