Friday, December 27, 2013

Fazley Tidak Melenting Lagu Kek Ciptaannya Dipersendakan


Fazley Yaakob
SHAH ALAM: Penyanyi dan pakar motivasi Datuk Fazley Yaakob menganggap tindakan segelintir pihak yang memperlekehkan lagu baharunya berjudul Chocolate Cake sebagai salah satu publisiti kepada lagu tersebut.
Fazley, 34, berkata, dia sedar lagu tersebut sukar untuk diterima oleh masyarakat tempatan, namun dia percaya ia akan menjadi perhatian kerana keunikannya.
"Saya sudah menjangkakan perkara ini akan terjadi selain ramai yang mengkritiknya dan bercakap negatif tentang lagu ini. Perkara-perkara itu saya anggap sebagai publisiti kepada lagu tersebut.
"Secara tidak langsung orang ingin mendengar dan mengkaji liriknya walaupun dalam masa yang sama mereka mentertawakannya," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Chocolate Cake, di Restoran The Sumbs, di sini, pada Khamis.
Jelas Fazley, lagu tersebut juga tersenarai antara beberapa lagu seperti Havoc (Joe Flizzow), Aduh (Ajai) dan Pengodam Jiwa (Adam) yang sukar diterima, namun menjadi perbualan dan bahan carian di laman-laman sosial.
Chef Terry, Fazley dan Ray sedang menilai kek coklat yang dihias beberapa artis dan penyampai radio EraFM.
Katanya, apa juga tanggapan masyarakat sama ada baik atau buruk terhadap sesebuah karya itu, ia tetap memberi kesan promosi lagu tersebut.
"Maklum balas di radio sangat baik, apabila ia mendapat permintaan pendengar selepas dua minggu di siarkan berbanding lagu saya sebelum ini memerlukan masa lebih sebulan," katanya.
Bercerita tentang lagu tersebut, Fazley berkata, dia mendapat idea daripada seorang chef ketika belajar tentang masakan di Le Cordon Blue Paris di Perancis.
Katanya, kek dan manisan melambangkan kisah percintaan pasangan kekasih di negara tersebut.
"Ketika saya belajar di sebuah sekolah masakan di Paris, chef tersebut menyuruh saya menulis lagu tentang kek coklat.
"Chef tersebut meminta agar resipi kek coklatnya dimasukkan ke dalam lirik lagu itu," katanya yang turut menolak dakwaan kekurangan idea dalam menghasilkan lirik sehingga menggunakan resipi masakan dalam lagu tersebut.
Sementara itu, Fazley berkata, pihaknya dalam perancangan untuk mengalih bahasa lagu berkenaan kepada bahasa Perancis untuk cuba memasuki pasaran negara itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: