|
DIA bukan membuat pengumuman bakal bertunang atau berkahwin dengan kekasihnya yang merupakan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia (GBB1M) yang berusia 27 tahun, Shahrul Nasrun Kamarudin.
Sebaliknya, penyanyi putih melepak, Adira mengadakan sidang akhbar baru-baru ini bagi mempromosikan produk kecantikan sulungnya, Adira Beauty Signature yang merupakan sabun pemutih kulit.
Sabun tersebut merupakan produk permulaan buat penyanyi berusia 23 tahun itu sebelum menerokai produk lain pada masa akan datang.
Mudah untuk mengeluarkan produk sendiri, namun ramai yang beranggapan Adira menggunakan kuasa yang ada pada kekasihnya untuk mendapat kelulusan mudah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tidak cukup dengan itu, penyanyi kelahiran Sabah itu juga kini dikatakan sudah pandai bergaya dan menjalani kehidupan mewah selepas mengenali pemuda berasal dari Kelantan itu.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Adira pada majlis pelancaran Adira Beauty Signature di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Apakah yang boleh Adira kongsikan mengenai produk kecantikan sulung anda, Adira Beauty Signature ini?
ADIRA: Ramai peminat yang tanya macam mana saya boleh putih dan ingin mengetahui rahsia di sebalik kulit putih yang saya miliki. Disebabkan itu, saya terfikir untuk mengeluarkan produk pemutih dan berkongsi rahsia saya dengan para peminat.
Sebelum ini ada yang mendakwa Adira menggunakan produk pemutih untuk memutihkan kulit?
Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak menggunakan mana-mana produk lain. Sabun ini sahaja produk keluaran saya dan saya menggunakannya.
Sudah berapa lama Adira menggunakan sabun ini?
Saya sudah menggunakan sabun ini sejak setahun yang lalu. Jadi, tidak perlu rasa was-was dan ragu-ragu kerana produk ini juga sudah dihantar ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk ujian sebelum produk berkenaan dibenarkan untuk jualan.
Ada yang beranggapan produk Adira ini begitu mudah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Adakah kelulusan tersebut diperoleh dengan bantuan kekasih anda?
Dia (kekasih) tiada kaitan langsung dalam perniagaan ini dan saya tidak melibatkan dirinya dalam mendapatkan kelulusan tersebut.
Bukan mudah untuk saya mendapatkan kelulusan KKM kerana ia mengambil masa hampir lima bulan.
Saya tidak pernah berniat untuk menggunakan kekasih dalam perniagaan yang saya lakukan. Saya ceburi bisnes ini untuk masa depan saya dan keluarga.
|
Adakah kekasih menjadi pendorong untuk Adira terbabit dalam perniagaan?
Sebelum mengenali dia lagi saya sudah menyimpan keinginan untuk mempunyai perniagaan sendiri. Ia dikuatkan lagi dengan nasihat kawan-kawan dan keluarga. Mereka menyarankan saya perlu mempunyai perniagaan sebagai langkah untuk masa akan datang. Saya juga memperoleh inspirasi melihat kejayaan artis lain seperti Datuk Siti Nurhaliza yang mempunyai produk sendiri.
Bagaimanapun, saya akui banyak belajar cara-cara berniaga daripada Shahrul. Dia juga banyak bagi sokongan kepada saya.
Selain itu, Shahrul juga dilihat sering menemani Adira dalam majlis-majlis hiburan rasmi. Adakah ia permintaan Adira atau dia sendiri yang ingin bersamadi setiap acara hiburan?
Setakat ini, baru tiga kali dia menemani saya ke majlis hiburan. Saya selesa dia menemani saya. Itupun kalau dia lapang dan tidak sibuk bekerja. Bagi saya, tindakannya itu bukan untuk mengongkong saya tetapi sekadar memberi sokongan.
Sudah berapa lamakah hubungan cinta kalian berlangsung? Ada perancangan ke alam perkahwinan?
Saya dengan Shahrul sudah berkawan hampir setahun. Memang kami ada berbincang mengenai hal itu (kahwin) tetapi belum ada sasaran bila (tarikh). Tunggu masa yang sesuai.
Saya pun baru berusia 23 tahun dan ingin mengukuhkan karier dahulu.
Adira sekarang semakin pandai bergaya dengan barangan berjenama dan khabarnya hidup mewah. Adakah ia mempunyai kaitan dengan Shahrul?
Memang saya akui, dulu tidak pandai bergaya dan tidak pandai memakai barangan berjenama. Namun, saya belajar daripada orang yang berpengalaman seperti Shahrul. Saya akui, dia memang pandai bergaya.
Saya juga belajar daripada rakan-rakan artis lain tetapi semua barangan yang saya pakai adalah hasil titik peluh sendiri. Saya tidak mewah kerana saya masih ada keluarga yang perlu dijaga.
Duit banyak juga boleh habis. Terpulang kepada individu bagaimana ingin menghasilkan duit lebih banyak. Bagi saya, perniagaan adalah cabang untuk kita cari lebih banyak duit.
Boleh kongsikan apakah bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan sabun itu dan berapakah harganya?
Sabun Adira Beauty Signature mengandungi ekstrak buah, Glutathione, minyak Jojoba dan Vitamin C. Sabun tersebut berharga RM60 dan ia boleh dibeli secara dalam talian, Twitter, Facebook dan Instagram di bawah nama jenama tersebut atau boleh hubungi 017-320 4300. Selain itu, bagi 100 pembeli pertama produk sabun itu, mereka berpeluang menikmati makan malam bersama saya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: