Saturday, December 21, 2013

Jenama AS kedua Harmony Fabulous



SEJURUS sahaja Polaris Industries Inc. (Polaris) memegang tampuk sebagai tauke baharu jenama motosikal Victory pada 2010, penganalisis industri meramalkan satu perang lama antara dua legenda motosikal Amerika Syarikat (AS) itu bakal berulang. Harley-Davidson akan berdepan Victory.
Bagi Polaris, kejayaan meminang Victory hanyalah satu strategi untuk mempelbagaikan rangkaian produk kenderaan sedia ada. Polaris terlibat dalam bidang rekaan, kejuruteraan, pengeluar dan pemasaran kenderaan off-road seperti kenderaan semua laluan (ATV) dan snowmobile.
Di satu sudut, ada pengkritik beranggapan Polaris mahu menjamah sebahagian daripada kek pasaran milik Harley-Davidson Inc. Dakwaan itu sememangnya selari dengan laporan Forbes baru-baru ini bahawa Polaris meletakkan semula Victory untuk bersaing secara langsung dengan Harley-Davidson.
Kembalinya musuh tradisi
Isu itu kembali hangat apabila Polaris mengambil alih musuh tradisi Harley-Davidson Inc. iaitu Indian Motorcycle pada April 2011. Menerusi pemilikan dua jenama unggul negara Uncle Sam, Harley-Davidson memberi perhatian serius terhadap Polaris.
Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Harley-Davidson, Keith Wandell menerusi portal berita Milwaukee Journal Sentinel ada menyatakan dia memandang semua pesaing syarikat itu dengan serius termasuk Indian Motorcycle dan Victory.
“Sejauh mana kami merasakan (Harley-Davidson) baik, usaha (sedia ada) akan digandakan. Kami tidak akan bergantung semata-mata pada warisan sedia ada dan kembali kerja setiap hari kerana persaingan semakin sengit,” kata Wandell.

VICTORY dijangka muncul sebagai salah sebuah jenama motosikal unggul dalam tempoh tiga tahun lagi di negara ini.


Di pasaran AS, Harley-Davidson mendominasi segmen motosikal cruiser dengan pegangan pasaran hampir 60 peratus. Malah kedudukannya cukup utuh sehinggakan mampu menepis saingan pengeluar utama motosikal Jepun seperti Yamaha, Honda dan Kawasaki dengan mudah.
Untuk memastikan kedua-dua jenama Polaris tidak bersaing sesama sendiri, syarikat itu menempatkan rangkaian motosikal Victory untuk mereka yang menitikberatkan soal prestasi dan sedikit elemen kemodenan.
Sementara itu, Indian Motorcycle pula disasarkan kepada penggemar tegar untuk tunggangan setiap hari dan kepada mereka yang ingin ‘menunjuk-nunjuk’. Strategi Polaris itu membantu para pelanggan untuk membezakan kedua-dua jenama itu dan memilih jentera mengikut mengikut kesesuaian masing-masing.
Di Malaysia, Victory telah tiba menemui pelanggan tempatan minggu lalu. Pengedar rasmi ialah Harmony Fabulous Sdn. Bhd. (Harmony Fabulous), salah sebuah syarikat subsidiari Kumpulan Naza. Harmony Fabulous juga merupakan entiti yang mengedarkan rangkaian motosikal Indian Motorcycle.
Kumpulan Naza merupakan pengimport dan pengedar rasmi produk Harley-Davidson di Malaysia menerusi anak syarikatnya, Naza Prestige Bikes Sdn. Bhd. Ini bermakna ada tiga jenama motosikal cruiser AS menapak di bawah empayar Kumpulan Naza.

MODEL Judge dalam segmen cruiser tampil dengan imej rugged.


Soalnya sekarang, adakah kehadiran Victory akan menyumbang pada kejatuhan jualan motosikal Harley-Davidson? Bagaimana pula dengan nasib Indian Motorcycle selepas ini?
Pada majlis pelancaran Victory di Glenmarie, Shah Alam di Selangor, Naib Presiden Naza Two Wheels Division, Nik Danial Nik Mahmood dengan optimis menyatakan Victory tidak akan menjejaskan jualan Harley-Davidson. Katanya, pasaran Malaysia tidak seperti di AS.
Nasib Indian Motorcycle
Berhubung nasib Indian Motorcycle selepas ini, tiada sebarang jawapan atau penjelasan diberikan mengenai apa yang akan berlaku selepas ini. Apa yang dinyatakan ialah Indian Motorcycle akan memperkenalkan model baharu tidak lama lagi.
Strategi memasarkan ketiga-tiga jenama itu seolah-olah menjadi rahsia dan enggan didedahkan kepada umum. Mungkin kerana sudah ada kelompok grey importer (pemegang AP) yang memberi tamparan hebat dalam segmen motosikal cruiser tempatan. Jika ada persaingan, maknanya perniagaan semakin sihat.
Rangkaian Victory yang diperkenalkan membabitkan sebanyak 12 model yang tergolong dalam tiga kategori iaitu cruiser, bagger dan touring. Koleksi paling besar adalah kelas cruiser yang merangkumi tujuh model.
Bagi rangkaian bagger dan touring, masing-masing melibatkan dua dan tiga model motosikal. Kesemua model motosikal dalam tiga kelas itu menggunakan konfigurasi enjin V-twin dengan sistem transmisi enam kelajuan.

MODEL touring Victory Cross Country Tour sesuai bagi mereka yang gemarkan aktiviti kembara.


Untuk melancarkan jualan Victory di Malaysia, Kumpulan Naza telah mendirikan sebuah pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) berukuran 557 meter persegi yang memperagakan beberapa model terbaharu Victory.
Selain itu, premis dua tingkat itu juga menjual koleksi pakaian untuk golongan lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Tingkat atas pula menawarkan rangkaian produk penjagaan motosikal dan beberapa aksesori motosikal bagi mereka yang mahukan sedikit kelainan. Kos bagi pembukaan pusat itu adalah sebanyak RM5 juta.
Motosikal Victory dijual pada harga serendah RM97,800 hingga RM199,800 seunit. Itu harga asas tidak termasuk caj-caj pendaftaran dan insurans.
Harmony Fabulous perlu bijak menyusun strategi dan memastikan siapakah sasaran pelanggannya. Jangan sampai bakal pembeli mula celaru untuk memilih produk sesuai untuk mereka.
Penerangan yang diberikan perlu jelas dan bantu pembeli ketahui apakah bezanya Harley-Davidson, Victory dan Indian Motorcycle. Semoga berjaya!


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: